Terkini
Parti politik mungkin dibenar tubuh cawangan di kampus universiti – Khaled
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menolak kemungkinan akan memberi kelonggaran untuk parti politik menubuhkan cawangan mereka di kampus universiti.
- Ini kerana pelbagai pindaan telah dilakukan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, meliputi aspek kegiatan pelajar, urus tadbir universiti dan sebagainya. – Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
- “Memang kita beri kebebasan kepada pelajar untuk sertai mana-mana parti politik di dalam atau luar kampus, termasuk mereka boleh tawarkan diri bertanding dalam pilihan raya.”
- “Memandangkan kerajaan tiada cadangan mansuhkan AUKU, maka amalan sedia ada lantikan Naib Canselor UA diteruskan seperti sebelumnya, iaitu pelantikan Naib Canselor sebuah UA dilakukan oleh menteri ikut prosedur serta ketetapan akta diluluskan oleh Parlimen, iaitu AUKU 1971,” katanya.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menolak kemungkinan akan memberi kelonggaran untuk parti politik menubuhkan cawangan mereka di kampus universiti.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini kerana pelbagai pindaan telah dilakukan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, meliputi aspek kegiatan pelajar, urus tadbir universiti dan sebagainya.
“Memang kita memberi kebebasan kepada pelajar untuk menyertai mana-mana parti politik di dalam atau luar kampus, termasuk mereka boleh menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya.
“Jadi, semua itu sudah dilonggarkan dan kemungkinannya termasuk perkara seperti dicadangkan Yang Berhormat,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) sama ada KPT akan memberi kelonggaran untuk parti politik menubuhkan cawangan mereka di kampus universiti bagi menyuburkan amalan demokrasi dan membudayakan politik matang, selaras dengan reformasi pendidikan.
Sementara itu, menjawab soalan asal Muhammad Islahuddin berhubung pelantikan Naib Canselor universiti awam (UA) oleh menteri dan warga universiti tidak diberi autonomi untuk mengundi Naib Canselor mereka susulan keputusan kerajaan tidak memansuhkan AUKU pula, Mohamed Khaled berkata, amalan sedia ada diteruskan seperti biasa.
“Memandangkan kerajaan tiada cadangan untuk memansuhkan AUKU, maka amalan sedia ada lantikan Naib Canselor UA diteruskan seperti sebelumnya, iaitu pelantikan Naib Canselor sesebuah UA dilakukan oleh menteri dengan mengikut prosedur serta ketetapan akta diluluskan oleh Parlimen, iaitu AUKU 1971,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) berhubung kesediaan KPT mengadakan dialog berhubung AUKU, Mohamed Khaled memberi jaminan bahawa sebarang kelemahan dalam akta terbabit, boleh dipertimbangkan untuk dibuat pindaan.
“Antara perkara yang kita sedang pertimbang untuk lakukan ialah meminda soal persatuan pelajar menguruskan sendiri akaun kewangannya. Itu dalam proses, dan insya-Allah akan kita cuba bawa dalam penggal Parlimen akan datang,” katanya.
Sumber: Berita Harian