Connect with us

Terkini

Tayangan filem Pulau wajar dibatalkan – Ustazah Asma’ Harun

Trailer filem Pulau yang diterbitkan Fred Chong didakwa memaparkan adegan berunsur kelucahan ringan atau soft porn secara terang-terangan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Rasyidah Zulkifli

Published

on

Tayangan filem Pulau wajar dibatalkan - Ustazah Asma’ Harun
Foto: Ustazah Asma' Harun
  • Trailer filem Pulau yang diterbitkan Fred Chong didakwa memaparkan adegan berunsur soft porn yang bertentangan dengan budaya masyarakat kita.
  • “Hasil keuntungan daripada tontonan masih tetap diberi kepada semua pelakon dan jika dilihat dari aspek dosa serta pahala maka wajarlah filem ini DIBATALKAN sebelum tayangannya bulan Mac nanti, mudah-mudahan mereka terselamat daripada dosa yang berterusan,” katanya dalam posting Facebook, semalam.
  • “Ia jelas menunjukkan filem ini berselindung di sebalik genre seram tetapi mempromosikan babak-babak panas yang memualkan,” katanya.
  • Asma juga terkejut apabila membaca respon yang diberikan salah seorang pelakon filem itu yang mengatakan “kalau ada yang tak suka tak perlu tengok”. 
  • “Jika budaya luc*h sudah menjadi darah daging kanak-kanak seawal usia 5 tahun, adakah kita nak bertanggungjawab? Apatah lagi jika budaya jijik itu dilakukan oleh anak-anak kita sendiri?,” soalnya.

KUALA LUMPUR – Trailer filem Pulau yang diterbitkan Fred Chong didakwa memaparkan adegan berunsur kelucahan ringan atau soft porn secara terang-terangan.

Ia juga mempamerkan nilai budaya kebaratan yang disifatkan tidak sesuai dengan adat ketimuran masyarakat di Malaysia.

Pendakwah bebas terkenal, Asma’ Harun berkata, trailer berkenaan langsung tidak menghormati sensitiviti pelbagai kaum dan agama di negara ini.

“Ia jelas menunjukkan filem ini berselindung di sebalik genre seram tetapi mempromosikan babak-babak panas yang memualkan dan perlu diketahui menonton atau melakonkan watak yang berunsur lucah adalah haram dan ia tergolong dalam sesuatu yang dikeji dan tercela, sama ada yang ringan atau berat.

“Saya dimaklumkan ada dalam kalangan pelakon filem tersebut maklum akan wujudnya babak tidak senonoh tersebut tetapi bukan dirinya yang melakukan babak tersebut, sekiranya benar pun ia tetap dikira bersubahat. 

“Hasil keuntungan daripada tontonan masih tetap diberi kepada semua pelakon dan jika dilihat dari aspek dosa serta pahala maka wajarlah filem ini DIBATALKAN sebelum tayangannya bulan Mac nanti, mudah-mudahan mereka terselamat daripada dosa yang berterusan,” katanya dalam posting Facebook, semalam.

Katanya, terkejut apabila membaca respon yang diberikan oleh salah seorang pelakon filem tersebut yang mengatakan “kalau ada yang tak suka tak perlu tengok”. 

“Tolong jangan ambil mudah tentang perkara yang terang-terangan merosakkan masyarakat khususnya generasi muda.

“Bukan semudah itu kita hanya pejam mata, tolong lihat sudut pandang yang lebih luas kerana industri filem ini ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

“Jika budaya luc*h sudah menjadi darah daging kanak-kanak seawal usia 5 tahun, adakah kita nak bertanggungjawab? Apatah lagi jika budaya jijik itu dilakukan oleh anak-anak kita sendiri?,” soalnya.

Asma menegaskan para alim ulama, ibu bapa, pendakwah, ilmuwan dan pakar motivasi “berusaha keras” mendidik anak-anak muda mengenai bahaya menonton pornografi.

“Akhirnya dikeluarkan filem yang mempengaruhi kepada aktiviti tidak bermoral ini dan bukan kita tidak tahu kesan ketagihan pornografi, tetapi demi keuntungan dunia moral serta masa depan masyarakat sanggup digadaikan,” katanya.

Kebebasan berkarya perlu mengekalkan ketinggian budaya tempatan dan agama, walaupun pihak penerbit adalah dalam kalangan bukan Islam. 

“Kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana filem yang mempromosikan babak yang melampau, lucah dan berlebihan kerana ramai penggiat filem negara telah berjaya menghasilkan filem berkualiti, mampu mendidik rakyat dan mendapat sambutan yang baik tanpa memaparkan babak tidak senonoh. 

“Menjadi penerbit atau pengarah filem dan mempunyai sumber yang banyak bukanlah tiket untuk melakukan apa sahaja yang diingini.

“Ingatlah, masyarakat memerhati perkembangan industri perfileman Malaysia dan Alhamdulillah kita dapat lihat sekarang ramai mempunyai kesedaran lalu menolak filem atau drama yang membawa mesej negatif,” katanya.

Asma juga menasihatkan kepada penerbit-penerbit yang mahu meraih kejayaan dalam industri perfileman mestilah menghasilkan karya yang menjaga sensitiviti budaya dan agama serta sarat dengan mesej yang baik kepada masyarakat.

“Sungguh, kalian bukan sahaja berjaya membawa perubahan ke dalam jiwa orang ramai bahkan turut didoakan dan mendapat pahala yang mengalir sampai bila-bila,” katanya – The Merdeka Times

Sumber: Facebook Ustazah Asma’ Harun

 

 

Author