Connect with us

Terkini

Berpoligami untuk elak zina?

Satu kajian pada 2007 dijalankan penyelidik Projek Tinjau Nasional Sisters in Islam (SIS) mendapati sebanyak 77 peratus daripada lelaki mengamalkan poligami berkata, mereka mengahwini lebih daripada seorang wanita bagi mengelak melakukan zina.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Berpoligami untuk elak zina?
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Tepuk dada tanya diri sudahkah kita menelaah sebetul-betulnya makna dan tujuan poligami itu yang disebabkan demikian kerana pepatah Melayu lama ada berkata, nafsu tidak bertepi.
  • Jangan dilupa akan amaran dinyatakan Allah SWT kepada sesiapa yang berhasrat untuk berpoligami agar bersedia untuk melakukan keadilan dan sekiranya merasa bimbang tidak akan berlaku adil, maka Allah SWT menerangkan dengan sejelasnya bahawa berkahwinlah hanya seorang sahaja.
  • Amaran tegas itu adalah untuk menjaga kemaslahatan umat manusia terutama kaum wanita.

 

Satu kajian pada 2007 dijalankan penyelidik Projek Tinjau Nasional Sisters in Islam (SIS) mendapati sebanyak 77 peratus daripada lelaki mengamalkan poligami berkata, mereka mengahwini lebih daripada seorang wanita bagi mengelak melakukan zina.

Apakah hanya dengan berpoligami sahaja dapat mengelak daripada melakukan maksiat?

Sudah pastilah pertanyaan itu akan dibahaskan dengan hujah kita tidak boleh mengharamkan sesuatu yang halal dari hukum syarak.

Menurut Imam As-Syafi’e dalam kitab Al Fiqhul Manhaji, hukum asal poligami adalah harus tetapi hukum tersebut boleh berubah mengikut situasi sama ada sunat, makruh, ataupun haram.

Makruh berpoligami apabila ia dilakukan hanya sekadar untuk berseronok-seronok sedangkan suami sendiri ragu akan kemampuan dirinya untuk berlaku adil terhadap isteri- isterinya daripada sudut nafkah zahir dan batin.  

Sunat hukumnya apabila suami memerlukan isteri yang lain misalnya bagi mendapatkan zuriat kerana isterinya pertama mandul atau sakit atau suami mempunyai keinginan amat kuat sehingga isteri seorang tidak mampu untuk melayaninya. 

Suami juga berkeyakinan, mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya zahir dan batin, maka ketika ini tiada halangan baginya untuk berpoligami.  

Haram jika seseorang lelaki ingin berpoligami merasa zhan (ragu-ragu) atau yakin dia tidak mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya, boleh jadi kerana kemiskinan atau kerana kelemahannya atau dia tidak yakin dirinya dapat mengawal kecenderungan dan sifat prejudisnya.

Namun, semua golongan juga perlu tahu bahawa perkahwinan itu bukanlah sekadar menghalalkan sesuatu yang haram.

Hanya kerana hendak mengelak diri dari melakukan zina maka dicadangnya berpoligami seolah memperlihatkan mereka yang berbini dua, tiga atau empat ini adalah kerana berkehendak memuaskan nafsu kendiri semata-mata.

Jangan terlalu riang menyanyikan ‘Hai senangnya dalam hati kalau beristeri dua,  terasa dunia ana yang punya’, sedangkan poligami ada tujuan dan fungsinya. 

Apakah jaminan sekiranya berpoligami, si suami ini tidak lagi akan terjebak dengan zina?

Mungkin tidak dinafikan pasangan yang sedia ada tidak mempunyai kelebihan atau keistimewaan tertentu jika hendak dibandingkan dengan cinta hati yang baru muncul dalam kehidupannya. 

Persimpangan sebegini ada ketikanya mengundang ketewasan pada akal yang dangkal.

Bagaimanapun, tepuk dada tanya diri sudahkah kita menelaah sebetul-betulnya makna dan tujuan poligami itu yang disebabkan demikian kerana pepatah Melayu lama ada berkata, nafsu tidak bertepi.

Malah, jangan dilupa akan amaran dinyatakan Allah SWT kepada sesiapa yang berhasrat untuk berpoligami agar bersedia untuk melakukan keadilan dan sekiranya merasa bimbang tidak akan berlaku adil, maka Allah SWT menerangkan dengan sejelasnya bahawa berkahwinlah hanya seorang sahaja.

Amaran tegas itu adalah untuk menjaga kemaslahatan umat manusia terutama kaum wanita.

 

Poligami punca utama penceraian?

Sebanyak tiga negeri yang mencatatkan kes penceraian tertinggi iaitu Selangor mencatat kes paling tinggi iaitu sebanyak 30,901, Sabah (22,331 kes) dan Johor sebanyak 16,718 kes dari tahun 2014 hingga 10 Julai 2016.

Menurut Kajian Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa mendapati punca utama perceraian dalam kalangan dewasa Islam adalah pengabaian nafkah dan tanggungjawab, isu orang ketiga dan poligami, penglibatan dalam penyalahgunaan dadah dan penganiayaan.

Apa dapat disimpulkan pengabaian nafkah dan tanggungjawab yang termasuk dalam konsep adil juga masih menjadi polemik dalam perkahwinan begitu juga dengan poligami.

Benar, Islam sendiri membenarkan penceraian.

Namun, jangan kerana ingin membina masjid baharu, yang lama dirobohkan dan menjadi berantakan.

Ini kerana tidak dinafikan, sesetengah daripada kalangan wanita akan terburu-buru meminta cerai daripada suami sama ada setelah atau bakal dimadukan sedangkan alasan perceraian hanya disebabkan suami ingin berpoligami, sebenarnya bukanlah alasan munasabah.

Kecualilah dalam perkahwinan yang dibina telah wujud alasan yang syarie sifatnya, ataupun suami tidak berlaku adil ketika melaksanakan poligami.

Justeru, bagi golongan wanita atau isteri janganlah terlalu menganggap si suami itu ana seorang yang punya kerana anda tidak boleh menafikan hak suami untuk berpoligami sebaliknya mereka perlu tahu akan hak-hak mereka dalam perkahwinan dan bertingkahlah dengan lebih bijaksana juga saksama.

Jika benar suami anda berkemampuan, mampu berlaku adil maka permudahkanlah urusan mereka dalam membina sebuah lagi perkahwinan.

 

Menikah di sempadan, bukti ‘tidak mampu’ berpoligami?

Satu realiti yang menakutkan juga apabila terdapat ramai suami  berkahwin di luar negara kerana enggan mengikuti undang-undang syariah yang menetapkan mereka perlu membuktikan kemampuan untuk berpoligami. 

Kesalahan matrimoni ini tidak dihiraukan memandangkan apabila mereka pulang ke Malaysia, undang-undang masih mengiktiraf perkahwinan poligami tersebut tambahan pula hukuman yang dikenakan adalah disifatkan tidak menakutkan. 

Tujuan pendaftaran ini tidak lain adalah juga untuk menjamin isteri yang dinikahi tersebut tidak akan terabai haknya.

Kajian dijalankan tahun 2009 hingga 2013 di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor mendapati faktor permohonan berpoligami ditolak berikutan ekonomi tidak kukuh, gagal membuktikan isu patut atau perlu, salah prosedur, bakal wali tidak bersetuju dan lain-lain lagi yang berpunca dari pihak pemohon sendiri gagal memenuhi kehendak enakmen.

Kesimpulannya, buat semua bakal pengantin dan pasangan suami isteri juga jangan dilupa bahawa seorang anak itu tidak boleh memilih siapa ibu bapa mereka.

Mereka akan dibentuk mengikut acuan yang anda sediakan.

Jangan terlalu mengejar kenikmatan sementara, sedangkan malapetaka menanti anda sekiranya ‘aku mampu’, sekadar di bibir tapi tidak dijadikan nyata. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *