Connect with us

Terkini

Mahkamah Tinggi putuskan larangan Kedah terhadap lesen perjudian tidak berperlembagaan

Mahkamah Tinggi Alor Setar memutuskan tindakan Kerajaan Negeri Kedah untuk menghentikan pengeluaran dan memperbaharui lesen premis perjudian mulai 1 Jan 2023 tidak berperlembagaan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Memetik media tempatan pada Selasa, Mahkamah Tinggi Alor Setar memutuskan tindakan mulai 1 Jan 2023 yang diluluskan semasa mesyuarat EXCO negeri Kedah itu adalah ‘ultra vires’ dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.
  • Penghakiman disampaikan Hakim Mahazan Mat Taib pada 20 Jun lalu yang memihak kepada wakil tiga syarikat perjudian yang memfailkan saman terhadap kerajaan Kedah.
  • Difahamkan, kerajaan Kedah telah memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
  • PAS Kedah semalam dilaporkan mempertahan tindakan kerajaan negeri menutup sepenuhnya semua premis dan kedai perjudian mulai 1 Januari 2023 lalu.
  • “Alasan dikemuka syarikat judi itu bahawa tindakan menghapuskan aktiviti perjudian itu tidak mempertimbang kepelbagaian kaum di negeri ini sebenarnya jelas tersasar. 
  • “Agama dan budaya mana yang membenarkan penganutnya berjudi? Sudah tentu tidak ada. Bahkan ia tidak membawa sebarang kebaikan melainkan semata-mata keuntungan yang dibolot operator premis judi berkenaan,” kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya.

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi Alor Setar memutuskan tindakan Kerajaan Negeri Kedah untuk menghentikan pengeluaran dan memperbaharui lesen premis perjudian mulai 1 Jan 2023 tidak berperlembagaan.

Memetik media tempatan pada Selasa, mahkamah memutuskan tindakan yang diluluskan semasa mesyuarat EXCO negeri itu adalah ‘ultra vires’ dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Penghakiman itu disampaikan Hakim Mahazan Mat Taib pada 20 Jun lalu yang memihak kepada wakil tiga syarikat perjudian yang memfailkan saman terhadap kerajaan Kedah.

Mahkamah juga mengarahkan kerajaan Kedah, menteri besar, Majlis Bandaraya Alor Setar dan datuk bandar membayar pampasan kepada planitif yang mengalami kerugian akibat keputusan itu.

Difahamkan, kerajaan Kedah telah memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada 14 Nov 2021 mengumumkan kerajaan Kedah tidak lagi akan meluluskan lesen premis perjudian selain mengehadkan penjualan arak di seluruh negeri, berkuat kuasa serta-merta.

Sanusi berkata keputusan itu dibuat bagi mengelakkan mudarat lebih besar kepada penduduk selain bagi mencapai sasaran sifar judi.

Susulan itu media melaporkan pada 1 Januari 2023, semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya berikutan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian.

Menurut salah satu permohonan semakan kehakiman difailkan SM Lottery Sdn Bhd, pemohon berhujah keputusan kerajaan negeri adalah tidak sah, tidak rasional dan melanggar perlembagaan.

Kedai judi itu mendakwa keputusan pentadbiran Kedah gagal mengambil kira komposisi pelbagai etnik rakyat negeri itu.

Pemohon berhujah keputusan kerajaan negeri itu dibuat tanpa rundingan terlebih dahulu dengan pihak berkepentingan di Kedah.

Kedai judi itu juga berpendapat Perkara 74 dan 75 Perlembagaan Persekutuan hanya memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan untuk menggubal undang-undang dan peraturan mengenai perjudian.

PAS Kedah semalam dilaporkan mempertahan tindakan kerajaan negeri menutup sepenuhnya semua premis dan kedai perjudian mulai 1 Januari 2023 lalu.

Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata langkah penutupan itu dibuat mengikut bidang kuasa kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah.

“PAS Kedah mengambil maklum mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang membenarkan semakan kehakiman terhadap tindakan Kerajaan Negeri Kedah menghentikan premis dan kedai perjudian di Kedah bermula 1 Januari 2023 yang lalu.

“Alasan dikemuka syarikat judi itu bahawa tindakan menghapuskan aktiviti perjudian itu tidak mempertimbang kepelbagaian kaum di negeri ini sebenarnya jelas tersasar. 

“Agama dan budaya mana yang membenarkan penganutnya berjudi? Sudah tentu tidak ada. Bahkan ia tidak membawa sebarang kebaikan melainkan semata-mata keuntungan yang dibolot operator premis judi berkenaan,” katanya. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *