Terkini
Bekalan beras tempatan dijangka pulih dalam tempoh sebulan – Mat Sabu
Bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) di seluruh negara, dijangka pulih dalam tempoh sebulan susulan langkah intervensi segera yang sedang dilaksanakan kerajaan.
- Bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) di seluruh negara, dijangka pulih dalam tempoh sebulan susulan langkah intervensi segera sedang dilaksanakan kerajaan.
- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata langkah intervensi menerusi Program Khas BPT itu akan meningkatkan lebih 20 peratus kuota pengeluaran beras di pasaran seluruh negara.
- “Bagaimanapun, saya ingin menasihati pengguna supaya tidak risau atau panik sehingga membeli BPT secara berlebihan.
- “Peningkatan mendadak permintaan beras tempatan kebelakangan ini menyebabkan berlakunya kekurangan stok berkenaan di beberapa lokasi tertentu, namun langkah intervensi kementerian sedang dilaksanakan dengan segera ketika ini,” katanya.
- Pada 2 September lalu, pengilang padi dan pemborong beras negara dilaporkan diminta meningkatkan bekalan BPT sebanyak 20 peratus menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan, sebagai langkah intervensi memulihkan bekalan itu di pasaran.
- Beliau akan mengadakan satu lagi sesi libat urus dengan pengilang dan pemegang taruh industri beras negara, Khamis ini.
JOHOR BAHRU: Bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) di seluruh negara, dijangka pulih dalam tempoh sebulan susulan langkah intervensi segera yang sedang dilaksanakan kerajaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata langkah intervensi menerusi Program Khas BPT itu akan meningkatkan lebih 20 peratus kuota pengeluaran beras di pasaran seluruh negara.
“Menerusi langkah intervensi kementerian menerusi Program Khas BPT itu, kita jangkakan bekalan BPT negara dapat dipulihkan dalam tempoh sebulan ini.
“Bagaimanapun, saya ingin menasihati pengguna supaya tidak risau atau panik sehingga membeli BPT secara berlebihan.
“Peningkatan mendadak permintaan beras tempatan kebelakangan ini menyebabkan berlakunya kekurangan stok berkenaan di beberapa lokasi tertentu, namun langkah intervensi kementerian sedang dilaksanakan dengan segera ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau stok keterjaminan makanan membabitkan BPT di sebuah Pasaraya Besar Giant Tampoi, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Pada 2 September lalu, pengilang padi dan pemborong beras negara dilaporkan diminta untuk meningkatkan bekalan BPT sebanyak 20 peratus menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan, sebagai langkah intervensi memulihkan bekalan itu di pasaran.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataan dilaporkan memaklumkan, hasrat itu telah dipersetujui pengilang padi dan pemborong beras dalam satu sesi libat urus pada 27 Ogos lalu, di Alor Setar, Kedah.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, beliau akan mengadakan satu lagi sesi libat urus dengan pengilang dan pemegang taruh industri beras negara, Khamis ini.
“Pada 7 September ini kementerian akan adakan beberapa lagi sesi libat urus bersama pemegang taruh dalam bidang industri padi beras.
“Kementerian akan adakan sidang media khas selepas sesi itu bagi menerangkan kaedah dan mekanisme penyelesaian jangka pendek dan panjang bagi menangani isu BPT.
“Selain itu, projek tanaman beras SMART SBB Mini Sekinchan MADA-BERNAS akan kita pertingkatkan lagi bagi memastikan bekalan BPT negara ditingkatkan lagi.
“Jika dilihat hasil SMART SBB Mini Sekinchan ini hasil pengeluaran BPT sudah meningkat kepada lebih tiga tan kepada 14 tahun berbanding hanya 11 tan semusim.
“Tahun hadapan kementerian akan meningkatkan peruntukan bagi padi beras bagi memastikan infrastruktur pengairan sawah mencukupi bagi meningkatkan produktiviti penghasilan BPT selain menambah satu lagi musim penghasilan beras kepada lima musim dalam tempoh dua tahun,” katanya.
Sumber: Berita Harian