Terkini
Dr Zulkifli Al-Bakri jawab salah faham terhadap Hadis 40 Imam Nawawi
PENENTANGAN yang dilakukan segelintir pihak terhadap Program Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah bersifat salah faham dan ikut-ikutan.
- Penentangan yang dilakukan segelintir pihak terhadap Program Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah bersifat salah faham dan ikut-ikutan.
- Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau melihat salah faham itu berlaku daripada dua sudut iaitu teknikal dan kandungan hadis.
- Dari sudut teknikal, Dr Zulkifli melihat terdapat kerisauan yang ditimbulkan oleh Majlis Perundingan Agama Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST).
- Menjawab kerisauan tersebut, Dr Zulkifli menjelaskan telah jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan berkenaan kebebasan beragama yang mana semua agama boleh dianuti serta diamalkan secara harmoni dan aman damai.
- “Kandungan hadis 40 secara jelasnya menyemai kehidupan yang harmoni dan akhlak yang baik, serta merungkai permasalahan kehidupan dengan sebaiknya. Malah, hal ini turut ditegaskan oleh Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
- “Beliau menyebut: Ia begitu jelas bahawa hasrat kerajaan menggunakan modul itu untuk pelajar Islam dan mereka yang membantah ini seharusnya merujuk dulu isi kandungan hadis itu kerana apa yang terkandung hanyalah ajaran al-Quran yang disabdakan kepada Rasulullah dan bukan ajaran tambahan yang dicipta sesuka hati.” katanya.
PENENTANGAN yang dilakukan segelintir pihak terhadap Program Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah bersifat salah faham dan ikut-ikutan.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau melihat salah faham itu berlaku daripada dua sudut iaitu teknikal dan kandungan hadis.
Dari sudut teknikal, Dr Zulkifli melihat terdapat kerisauan yang ditimbulkan oleh Majlis Perundingan Agama Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST).
Menjawab kerisauan tersebut, Dr Zulkifli menjelaskan telah jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan berkenaan kebebasan beragama yang mana semua agama boleh dianuti serta diamalkan secara harmoni dan aman damai.
“Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyebut tentang Islam sebagai agama Persekutuan itu tidak hanya sekadar bersifat ritual, akan tetapi tafsirannya adalah lebih luas dan meliputi Islam sebagai agama dan cara hidup umat Islam di Malaysia.
“Terdapat juga Seksyen 50(1) Akta Pendidikan 1996 yang menjelaskan bahawa sekiranya di dalam sesuatu institusi pendidikan terdapat lima orang murid atau lebih yang menganut agama Islam, maka murid-murid itu hendaklah diberi pengajaran agama Islam oleh guru yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
“Kandungan hadis 40 secara jelasnya menyemai kehidupan yang harmoni dan akhlak yang baik, serta merungkai permasalahan kehidupan dengan sebaiknya. Malah, hal ini turut ditegaskan oleh Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
“Beliau menyebut: Ia begitu jelas bahawa hasrat kerajaan menggunakan modul itu untuk pelajar Islam dan mereka yang membantah ini seharusnya merujuk dulu isi kandungan hadis itu kerana apa yang terkandung hanyalah ajaran al-Quran yang disabdakan kepada Rasulullah dan bukan ajaran tambahan yang dicipta sesuka hati.” katanya.
Mengulas mengenai sudut kandungan hadis, Dr Zulkifli melihat ada pihak yang menimbulkan kegusaran kerana terdapat perintah memerangi bukan Muslim dalam hadis ke-8 daripada hadis 40 tersebut.
Jelas beliau, hubungan antara golongan Muslim dan bukan Muslim dalam sesebuah negara dikira dalam konteks kewarganegaraan yang mana masing-masing dilindungi di bawah satu perlembagaan yang sama.
Katanya, ia berbeza dengan prinsip yang ada pada zaman silam iaitu golongan bukan Islam lebih dikenali sebagai zimmi (mendapat perlindungan daripada Muslim dengan bayaran cukai).
Sehubungan itu, Dr Zulkifli berkata, sudah pasti hak bukan Muslim jelas terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jika dihimpunkan nas Quran dan hadis berkaitan, kita akan dapati bahawa terdapat banyak perintah Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW untuk berbuat kebaikan kepada bukan Muslim yang baik.
“Rasulullah SAW mempunyai jiran dalam kalangan ahli kitab yang dilayan baik oleh Baginda dengan memberikan hadiah kepada mereka, begitu juga sebaliknya mereka turut menghargainya dengan memberi Nabi SAW hadiah. Bahkan Rasulullah SAW mengutuk keras dan mengancam mereka yang menzalimi kafir mu’ahid.
“Justeru, tindakan memetik mana-mana ayat al-Quran atau hadis tanpa memahami kaedah Bahasa Arab dan tanpa meneliti keseluruhan tema berkaitan adalah tidak bertanggungjawab, dan amat gopoh dalam membuat penilaian,” jelas beliau.
Untuk rekod, KPM pada 25 Ogos lalu mengumumkan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di 61 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.
Jelas KPM, pelaksanaan program tersebut disasarkan kepada guru dan murid-murid beragama Islam sahaja.
Begitupun, MCCBCHST telah mengeluarkan kenyataan dengan menolak pengajian penghayatan hadis 40 Imam Nawawi di sekolah dengan dakwaan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan hak kebebasan beragama.
Sumber: Utusan TV