Terkini
Afghanistan mahu jadikan Malaysia rujukan bangun dasar pendidikan negara
- Program kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ke Kementerian Pendidikan (KPM) pada awal bulan ini dilaksanakan berdasarkan panduan dan nasihat Kementerian Luar Negeri (KLN) serta mendapat khidmat sokongan kementerian dan agensi lain.
- KPM dalam kenyataan hari ini berkata, kunjungan itu bertujuan menyokong hala tuju pendekatan dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan, yang mana Kerajaan Malaysia bersedia memberikan bantuan dari segi pembangunan kapasiti dalam bidang kesihatan dan kemanusiaan yang akan menyumbang kepada kemajuan sosial negara berkenaan.
- “Kunjungan ini turut memberi pendedahan kepada delegasi Afghanistan untuk melihat sendiri dan memahami model pendidikan terbaik di negara Islam moden yang disegani di peringkat antarabangsa.
- “Delegasi Afghanistan juga telah menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di negara tersebut khususnya daripada aspek pembangunan kurikulum, latihan dan pembangunan guru serta teknologi pendidikan,” katanya di sini hari ini.
- Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respon kepada kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dalam sidang media di Parlimen semalam yang dilaporkan meminta penjelasan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkenaan lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan diterajui Taliban ke KPM pada awal bulan ini, antara lain difahamkan bertujuan melihat sistem pendidikan di negara ini.
KUALA LUMPUR — Program kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ke Kementerian Pendidikan (KPM) pada awal bulan ini dilaksanakan berdasarkan panduan dan nasihat Kementerian Luar Negeri (KLN) serta mendapat khidmat sokongan kementerian dan agensi lain.
KPM dalam kenyataan hari ini berkata, kunjungan itu bertujuan menyokong hala tuju pendekatan dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan, yang mana Kerajaan Malaysia bersedia memberikan bantuan dari segi pembangunan kapasiti dalam bidang kesihatan dan kemanusiaan yang akan menyumbang kepada kemajuan sosial negara berkenaan.
KPM berkata dalam kunjungan itu pihaknya telah melaksanakan pembentangan yang memberi gambaran menyeluruh mengenai sistem pendidikan negara, termasuk berkenaan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan wanita di Malaysia.
Katanya, ia memperlihatkan sistem pendidikan negara yang inklusif dan tumpuan kepada peningkatan akses dan ekuiti merentasi status sosial ekonomi, gender, etnik dan geografi.
“Ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4: Pendidikan Berkualiti (Sustainable Development Goal – SDG 4) termasuk untuk menghapuskan kesenjangan jantina dan memastikan akses sama rata dan menyeluruh di semua peringkat pendidikan.
“Kunjungan ini turut memberi pendedahan kepada delegasi Afghanistan untuk melihat sendiri dan memahami model pendidikan terbaik di negara Islam moden yang disegani di peringkat antarabangsa.
“Delegasi Afghanistan juga telah menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di negara tersebut khususnya daripada aspek pembangunan kurikulum, latihan dan pembangunan guru serta teknologi pendidikan,” katanya di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respon kepada kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dalam sidang media di Parlimen semalam yang dilaporkan meminta penjelasan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkenaan lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan diterajui Taliban ke KPM pada awal bulan ini, antara lain difahamkan bertujuan melihat sistem pendidikan di negara ini.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mempersoalkan tujuan KPM membenarkan lawatan delegasi dari negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Ahli Parlimen DAP itu berkata apa yang lebih penting adalah Afghanistan merupakan satu-satunya negara yang menyekat kelompok wanita daripada belajar di sekolah menengah dan universiti.
Mengulas lanjut, KPM berkata komitmen kementerian itu selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu yang menyatakan Malaysia bersedia untuk meningkatkan kerjasama dengan Afghanistan, tanpa menafikan hak pendidikan wanita.
“Komitmen KPM adalah selari dengan kenyataan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu yang bersedia meningkatkan kerjasama dengan Afghanistan. Pada masa sama, hak pendidikan tidak boleh dinafikan.
“Justeru, Malaysia komited dan mendukung penuh hak pendidikan kepada wanita serta akses pendidikan kepada kanak- kanak perempuan,” katanya. — The Merdeka Times