Terkini
Graduan jangan memilih kerja, elak jadi penganggur terhormat – Sultan Ibrahim
- “Jika terlalu memilih (pekerjaan), para graduan akan kekal menjadi ‘pengganggur terhormat’ dan peluang yang ada akan direbut pekerja asing. Akibatnya awak semua, dan negara yang akan rugi,” titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) kali ke-100 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Kampus Induk UiTM di Shah Alam hari ini.
- Sultan Ibrahim turut bertitah menasihati para graduan agar tidak mengamalkan sikap terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata, kerana ia akan melahirkan generasi yang lemah dan pasif.
SHAH ALAM — Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah mengingatkan para graduan agar tidak bersikap terlalu memilih kerja dan segera merebut peluang ada, khususnya dalam menghadapi persaingan sengit daripada pekerja asing.
Seri Paduka Baginda bertitah bahawa sikap terlalu memilih bukan sahaja merugikan diri graduan sendiri tetapi turut memberi kesan negatif kepada pembangunan negara.
“Jika terlalu memilih (pekerjaan), para graduan akan kekal menjadi ‘pengganggur terhormat’ dan peluang yang ada akan direbut pekerja asing. Akibatnya awak semua, dan negara yang akan rugi,” titah Seri Paduka Baginda pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) kali ke-100 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Kampus Induk UiTM di sini hari ini.
Sultan Ibrahim turut bertitah menasihati para graduan agar tidak mengamalkan sikap terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata, kerana ia akan melahirkan generasi yang lemah dan pasif.
“Sebagai generasi baharu yang bakal memimpin negara, saudara-saudari hendaklah menolak sikap buruk ini. Budaya dan sikap bergantung hidup boleh membunuh keyakinan diri serta semangat untuk memajukan diri, akhirnya ia akan membenam usaha negara untuk terus maju,” titah Seri Paduka Baginda.
Titah Sultan Ibrahim setiap individu, termasuk generasi muda, pegawai kerajaan dan ahli politik perlu berani melakukan perubahan dalam diri terlebih dahulu untuk memastikan kemajuan yang lebih besar dapat dicapai demi masa depan bangsa dan negara.
Seri Paduka Baginda seterusnya menzahirkan penghargaan kepada UiTM atas usaha membina generasi graduan yang kompeten dan berharap universiti itu akan terus memainkan peranan sebagai pusat ilmu yang memacu kemajuan bangsa.
“Syabas dan tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian,” titah Sultan Ibrahim.
Pada majlis itu Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Canselor UiTM yang ketujuh.
Turut berangkat ke istiadat hari ini ialah Pro-Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.– BERNAMA