Terkini
Tangguh pembentangan RUU kawalan produk merokok, KKM didakwa belakangkan keutamaan kesihatan rakyat
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) didakwa membelakangkan keutamaan kesihatan rakyat Malaysia khususnya anak muda apabila sekali lagi menangguhkan pembentangan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 pada sidang Parlimen kali ini.
- KKM didakwa membelakangkan keutamaan kesihatan rakyat Malaysia khususnya anak muda apabila sekali lagi menangguhkan pembentangan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 pada sidang Parlimen kali ini.
- Pengerusi I-Medik Kuala Lumpur, Dr Mohammad Faezuddin Shamsualharis berkata penangguhan kali ini dilihat amat mustahak memandangkan KKM juga mengeluarkan cecair nikotin dalam Akta Racun sebelum ini.
- Pihak kerajaan khususnya KKM digesa ambil langkah proaktif mengembalikan semula bahan cecair nikotin di dalam Akta Racun.
- KKM diharap buat keputusan tepat (decisive) demi keselamatan dan kesihatan rakyat sejagat.
- Pada Isnin lalu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dirujuk sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan.
KUALA LUMPUR — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) didakwa membelakangkan keutamaan kesihatan rakyat Malaysia khususnya anak muda apabila sekali lagi menangguhkan pembentangan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 pada sidang Parlimen kali ini.
Pengerusi I-Medik Kuala Lumpur, Dr Mohammad Faezuddin Shamsualharis berkata penangguhan kali ini dilihat amat mustahak memandangkan KKM juga mengeluarkan cecair nikotin dalam Akta Racun sebelum ini.
Keputusan itu juga menyaksikan bahan cecair nikotin termasuk penggunaan rokok elektronik tidak boleh dikawal selia melalui mana-mana akta sebelum sidang Parlimen yang dijangka berlangsung pada Oktober 2023.
Katanya, situasi ini sekali gus membolehkan penjualan rokok elektronik kepada semua kategori umur termasuk kanak-kanak.
“Melalui sidang Parlimen semalam (12 Jun), kita diberitahu statistik angka remaja di Malaysia yang menggunakan rokok elektronik meningkat daripada 9.8 peratus (2017) kepada 14.9 peratus (2022).
“Bahkan, terdapat Ahli Parlimen yang membangkitkan satu kematian remaja akibat vape. Adakah kita ingin melihat ahli keluarga sendiri yang menjadi mangsa kepada bahan tembakau ini baru kita akan membuat tindakan yang betul?”katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Faezuddin menggesa pihak kerajaan khususnya KKM mengambil langkah proaktif dengan mengembalikan semula bahan cecair nikotin di dalam Akta Racun.
Beliau turut berharap KKM dapat membuat keputusan tepat demi keselamatan dan kesihatan rakyat sejagat.
“Usah mendabik dada ketika berjalan di Parlimen untuk membentangkan Akta Undang-Undang Kawalan Merokok Demi Kesihatan Awam namun akhirnya tiada langsung keberanian mempertahankannya dalam sesi perbahasan,” katanya.
Pada Isnin lalu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dirujuk sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan.
Katanya, perkara itu diambil kira selepas menerima maklum balas menerusi sesi libat urus yang diadakan pada 6 Mac lalu. — The Merdeka Times
Sumber: Facebook I-Medik Kuala Lumpur