Terkini
Mahkamah Persekutuan benar masyarakat Orang Asli rayu henti pembinaan empangan
Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran untuk merayu kepada sekumpulan Orang Asli dalam usaha mereka bagi menghentikan dua syarikat daripada membina empangan hidro di atas tanah nenek moyang mereka di Gopeng.
- Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran untuk merayu kepada sekumpulan Orang Asli dalam usaha menghentikan dua syarikat daripada membina empangan hidro di atas tanah nenek moyang mereka di Gopeng.
- Panel tiga hakim diketuai oleh Tengku Maimun Tuan Mat menyatakan pemohon memenuhi keperluan di bawah seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
- Dalam kes sivil, Mahkamah Persekutuan hanya akan mendengar rayuan atas merit jika pemohon menimbulkan soalan undang-undang yang belum pernah diputuskan oleh mahkamah tertinggi atau melibatkan soalan penting di mana keputusannya akan menjadi kepentingan awam.
- Soalan diluluskan oleh Mahkamah Persekutuan melibatkan sama ada dalam interpretasi Seksyen 18 Akta Relief Spesifik 1950, tindakan pemulihan tanah boleh mendapatkan kedua-dua relief spesifik dan satu tuntutan alternatif ganti rugi.
- Pada 2018, 22 penempatan Orang Asli dari Ulu Geruntum, Gopeng, mengemukakan saman menamakan dua syarikat swasta, kerajaan Perak, pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Pejabat Tanah dan Galian Perak, dan kerajaan persekutuan sebagai defendan.
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran untuk merayu kepada sekumpulan Orang Asli dalam usaha mereka bagi menghentikan dua syarikat daripada membina empangan hidro di atas tanah nenek moyang mereka di Gopeng.
Panel tiga hakim diketuai oleh Tengku Maimun Tuan Mat menyatakan pemohon memenuhi keperluan di bawah seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Turut menjadi anggota panel ialah Hakim Zabariah Yusof dan Nordin Hassan.
Dalam kes sivil, Mahkamah Persekutuan hanya akan mendengar rayuan atas merit jika pemohon menimbulkan soalan undang-undang yang belum pernah diputuskan oleh mahkamah tertinggi atau melibatkan soalan penting di mana keputusannya akan menjadi kepentingan awam.
Soalan yang diluluskan oleh Mahkamah Persekutuan melibatkan sama ada dalam interpretasi Seksyen 18 Akta Relief Spesifik 1950, tindakan pemulihan tanah boleh mendapatkan kedua-dua relief spesifik dan satu tuntutan alternatif ganti rugi.
Pada 21 April 2021, pesuruhjaya kehakiman pada masa itu, G Bhupindar Singh membenarkan Orang Asli untuk mendapatkan injunksi interlokutori terhadap Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd dan Conso Hydro atau wakil mereka sementara menunggu penyelesaian kes utama.
Bagaimanapun, pada 1 April tahun lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan injunksi tersebut.
Peguam Aaron Mathews, Vinu Kamalananthan, Conrad Lopez, Sarah Tiong Wei Shin dan Shahrul Azwan mewakili Orang Asli manakala Goik Kenzin, Ramesh Sivakumar dan Calvin Lim mewakili syarikat dalam prosiding hari ini.
Pada 2018, 22 penempatan Orang Asli dari Ulu Geruntum, Gopeng, mengemukakan saman menamakan dua syarikat swasta, kerajaan Perak, pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Pejabat Tanah dan Galian Perak, dan kerajaan persekutuan sebagai defendan.
Kumpulan itu mahu kerja membina empangan dihentikan kerana ia melanggar hak masyarakat mereka ke atas tanah nenek moyang yang didakwa dibersihkan tanpa kebenaran.
Kumpulan itu terdiri dari suku Semai berasal dari enam kampung di kawasan Ulu Geruntum, iaitu Kampung Sungai Kapor, Kampung Sat, Kampung Ulu Kepayang, Kampung Empang Main, Kampung Poh dan Kampung Ulu Geruntum.
Kedua-dua syarikat memulakan projek di Sungai Geruntum pada 2012.
Kumpulan Orang Asli mendakwa projek itu memusnahkan ladang pokok buah-buahan dan kira-kira 50 kubur nenek moyang tanpa kebenaran suku Semai di Ulu Geruntum.
Mereka mendakwa sumber air juga tercemar.
Plaintif menambah, agensi-agensi negeri dan persekutuan mempunyai kewajipan fidusiari untuk melindungi hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta Orang Asli 1954.
Antara deklarasi dan injunksi yang diminta oleh plaintif bahawa mereka adalah pemilik sah tanah nenek moyang di Ulu Geruntum dan defendan tidak mempunyai hak untuk merosakkan atau memusnahkan hak tanah mereka.
Mereka juga memohon perintah mahkamah untuk memerintahkan syarikat-syarikat tersebut untuk meninggalkan tanah dengan segera dan memberi pampasan kepada mereka atas pencerobohan tersebut.
Kumpulan itu juga mahu mahkamah memerintahkan kerajaan persekutuan dan negeri memberi pampasan kepada mereka kerana gagal memenuhi kewajipan fidusiari mereka.
Sumber: Free Malaysia Today