Terkini
Tingkat pemahaman Islam dan Ramadan menerusi Orchid Ramadan Raya
Tingkatkan pemahaman mengenai Islam dan erti Ramadan sebenar menerusi Orchid Ramadan Raya.
- Orchid Ramadan Raya dianjurkan di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan sepanjang bulan puasa untuk meningkatkan pemahaman mengenai Islam dan erti Ramadan sebenar.
- Program hasil kerjasama Yayasan Al Khaadem dan Cheng Ho Multi Culture Education Trust ini mengalu-alukan orang ramai dari berbilang agama dan latar belakang.
- “Walaupun saya bukan seorang Muslim, saya menghormati dan akan terus mempromosikan nilai-nilai murni Islam, kerana saya percaya bahawa Al-Quran adalah ubat terunggul dan Hadis adalah vitamin terbaik,” – Pengasas Cheng Ho Multi Culture Education Trust, Tan Sri Lee Kim Yew.
- Orang Islam dan bukan Islam harus merasai erti sebenar Ramadan untuk muhasabah diri bersama,” – Presiden Yayasan Al Khaadem Dato’ Sheikh Hussain Yee.
SERI KEMBANGAN – Tingkatkan pemahaman mengenai Islam dan erti Ramadan sebenar menerusi Orchid Ramadan Raya.
Itu objektif utama program hasil kerjasama Yayasan Al Khaadem dan Cheng Ho Multi Culture Education Trust.
Pengasas Cheng Ho Multi Culture Education Trust, Tan Sri Lee Kim Yew berpendapat nilai-nilai Islam sebenar perlu dijelaskan agar dapat memperkukuh keharmonian pelbagai agama di negara ini.
“Walaupun saya bukan seorang Muslim, saya menghormati dan akan terus mempromosikan nilai-nilai murni Islam, kerana saya percaya bahawa Al-Quran adalah ubat terunggul dan Hadis adalah vitamin terbaik,” katanya dalam ucapan perasmian program tersebut di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan semalam.
Tambahnya, penganjuran program ini merupakan salah satu usahanya sebagai rakyat Malaysia untuk menghormati prinsip pertama dan kelima Rukun Negara, iaitu ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’, dan ‘Kesopanan Dan Kesusilaan’.
Inisiatif ini turut disambut baik oleh Yayasan Al Khaadem.
Presidennya Dato’ Sheikh Hussain Yee berkata, semua golongan perlu memahami erti sebenar bulan suci ini tanpa mengira latar belakang dan agama.
“Sebagai rakyat Malaysia yang bangga di negara berbilang agama, kita harus menghormati akar umbi kita. Orang Islam dan bukan Islam harus merasai erti sebenar Ramadan untuk muhasabah diri bersama”.
Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah ketua agama dan perwakilan dari komuniti agama berbeza.
Antaranya, Daozhang Tan Hoe Chieow daripada Persekutuan Pertubuhan Agama Tao Malaysia, Ven Datuk K Sri Dhammaratana, dari Maha Vihara Buddha, Venerable Jue Cheng daripada Persatuan Fo Guang Shan, Sister Loh Pai Ling selaku Presiden Persatuan Mubaligh Buddha Malaysia; Reverend Archbishop Julian Leow Beng Kim dari Keuskupan Agung KL dan lain-lain.
Orkid Ramadan Raya yang dijadualkan berlangsung di Palace of the Golden Horses bermula 23 Mac hingga 21 April 2023 mengalu-alukan orang ramai dari berbilang agama dan latar belakang untuk berkumpul di acara ini demi memperkukuh kepelbagaian dan pengetahuan masyarakat yang harmoni.
Selain bufet Warisan Serantau untuk berbuka puasa, program itu juga akan diisi dengan pameran kesenian dan kebudayaan Islam menampilkan seni khat oleh artis Cina Muslim serta dan juga naskah Al Quran terpanjang di dunia. – The Merdeka Times