Connect with us

Terkini

PU Azman sudah kena 12 pertuduhan jenayah seksual

Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias, yang lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada 2017.

Wartawan TMT

Published

on

PU Azman sudah kena 12 pertuduhan jenayah seksual
Foto: PU Azman

 

  • PU Azman didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada 2017.
  • Pada 7 Disember lalu, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Klang atas empat pertuduhan lakukan amang dan komunikasi seksual serta kelucahan melampau pada tiga remaja lelaki tahun ini.
  • Selanjutnya, PU Azman turut didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada tahun sama pada 12 Oktober.
  • Walaubagimanpun, PU Azman tidak mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan berkenaan.

 

SHAH ALAM: Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias, yang lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada 2017.

Bagaimanapun, Azman, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Rasyihah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang turut dikenali sebagai Cik Man, didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah inap desa di Jalan Kebun dekat sini pada September 2017.

Dengan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zatil Hidayah Ali menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa dan lain-lain saksi pendakwaan.

Peguam bela, Fahmi Adilah, memohon jaminan tidak terlalu tinggi dikenakan atas faktor kewangan tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan ketika ini selepas siasatan dilakukan terhadapnya sejak September lalu.

Katanya, tertuduh juga sudah membayar jaminan keseluruhan RM74,000 bagi pertuduhan-pertuduhan di Mahkamah Seremban; Mahkamah Klang dan Mahkamah Ampang.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi kes serta melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Januari depan.

Semalam, lelaki itu didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang dengan satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun.

Pada 7 Disember lalu, PU Azman didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Klang atas empat pertuduhan melakukan amang dan komunikasi seksual serta kelucahan melampau pada tiga remaja lelaki tahun ini.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada tahun sama pada 12 Oktober.

PU Azman tidak mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan berkenaan.

 

Sumber: Berita Harian

Author

Terkini

Kenyataan ekonomi terjejas akibat gerakan boikot tidak tepat — Pengerusi BDS Malaysia

Pengerusi Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia menyifatkan dakwaan mengatakan ekonomi akan terjejas berikutan gerakan boikot dijalankan ketika ini adalah tidak tepat.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pengerusi Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail.
  • Pengerusi BDS Malaysia, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail berkata kenyataan itu tidak tepat kerana mereka yang tidak membeli minuman dan makanan di kedai diboikot akan membuat perbelanjaan di kedai lain serta peluang pekerjaan juga akan bertambah di syarikat lain yang tidak terbabit secara langsung dengan Israel, atau ia mengutuk kezaliman Israel secara terbuka.
  • Mohd Nazari tidak menafikan dalam jangka pendek pekerja di syarikat diboikot akan terjejas susulan gerakan itu, namun ia hanya masalah bersifat sementara kerana dalam jangka panjang kelompok berkenaan boleh bekerja di syarikat pilihan baru pengguna yang akan berkembang.
  • Katanya, terdapat banyak restoran tempatan dimaklumkan kepada beliau sedang berkembang dan menjadi lebih maju, susulan boikot ke atas syarikat francais asing seperti McDonald’s dan Starbucks.
  • “Jika pengurusan syarikat terbabit ingin pastikan perniagaan mereka tidak diboikot dan nasib pekerja mereka tidak terjejas, senang sahaja… jangan ada apa-apa kaitan langsung dengan Israel,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
  • Beliau berkata demikian ketika mengulas ciapan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di platform X pada Khamis yang menyatakan pekerja tempatan sedang menanggung sengsara akibat boikot dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.

KUALA LUMPUR — Pengerusi Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia menyifatkan dakwaan mengatakan ekonomi akan terjejas berikutan gerakan boikot dijalankan ketika ini adalah tidak tepat.

Pengerusinya, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail berkata ia tidak tepat kerana mereka yang tidak membeli minuman dan makanan di kedai diboikot akan membuat perbelanjaan di kedai lain.

Selain itu, peluang pekerjaan juga akan bertambah di syarikat lain yang tidak terbabit secara langsung dengan Israel, atau ia mengutuk kezaliman Israel secara terbuka.

“Bukan susah untuk kutuk kezaliman Israel. Saya pun hairan kenapa ada syarikat yang masih enggan lakukan benda yang baik ini.

“Jika mereka kutuk kezaliman Israel secara jelas dan terbuka, saya yakin pengguna akan pergi balik ke kedai mereka,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ciapan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di platform X pada Khamis yang menyatakan pekerja tempatan sedang menanggung sengsara akibat boikot dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.

Kor Ming yang juga Naib Pengerusi DAP turut memuat naik tangkap layar artikel berita Cina bertajuk, ‘Gelombang boikot menyebabkan pekerja KFC dipotong gaji, pendapatan bulanan pasangan RM600 untuk menyara 3 anak’.

Foto: Tangkap layar ciapan Nga Kor Ming.

Mengulas lanjut, Mohd Nazari tidak menafikan dalam jangka pendek pekerja di syarikat diboikot akan terjejas susulan gerakan itu, namun ia hanya masalah bersifat sementara kerana dalam jangka panjang kelompok berkenaan boleh bekerja di syarikat pilihan baru pengguna yang akan berkembang.

Malah, katanya terdapat banyak restoran tempatan dimaklumkan kepada beliau sedang berkembang dan menjadi lebih maju, susulan boikot ke atas syarikat francais asing seperti McDonald’s dan Starbucks.

“Jika pengurusan syarikat terbabit ingin pastikan perniagaan mereka tidak diboikot dan nasib pekerja mereka tidak terjejas, senang sahaja… jangan ada apa-apa kaitan langsung dengan Israel. 

“Keluar dari Israel. Atau keluarkan kenyataan mengutuk kezaliman Israel di Gaza,” kata pengerusi BDS Malaysia. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending