Connect with us

Terkini

Konvensyen Syariah-Sivil 2025 desak pinda Perlembagaan perkukuh Mahkamah Syariah

Published

on

Foto: Konvensyen Perundangan Syariah Dan Sivil 2025.
  • Antara resolusi dipersetujui untuk diterima adalah gesaan agar beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk Butiran 1 Senarai II- Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memartabatkan jenayah syariah.
  • Resolusi tersebut turut mendesak Kerajaan mendedahkan kepada umum segala syor Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Dengan Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dilantik pada 5 Disember 2023, bagi menyelesaikan isu pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.
  • Kerajaan turut diminta mengambil cadangan serta syor pengamal undang-undang syariah dan sivil, berkaitan laporan syor tersebut.

 

KUALA LUMPUR — Konvensyen Undang-Undang Syariah dan Sivil 2025  yang diadakan baru-baru ini memutuskan untuk mengangkat beberapa resolusi penting, dengan tumpuan utama kepada usaha memperkasakan institusi undang-undang syariah dan mengharmonikan perundangan syariah dan sivil.

Menurut kenyataan dikongsikan kepada The Merdeka Times hari ini, pihak penganjur konvensyen iaitu Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), menyatakan bahawa persetujuan para peserta untuk mengangkat resolusi itu antara lain kerana menyedari kepentingan keharmonian antara kedua-dua sistem perundangan tersebut dalam menjamin keadilan, ketelusan, dan kesejahteraan masyarakat Malaysia yang majmuk.

Justeru, antara resolusi dipersetujui untuk diterima adalah gesaan agar beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk Butiran 1 Senarai II- Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memartabatkan jenayah syariah.

Ia juga menyokong usaha memperkukuh bidang kuasa Mahkamah Syariah melalui pindaan perundangan yang relevan, serta menyeru penyeragaman pelaksanaan undang-undang Syariah di seluruh negeri bagi menjamin keseragaman dan keadilan.

Selain itu, resolusi tersebut turut mendesak Kerajaan mendedahkan kepada umum segala syor Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dilantik pada 5 Disember 2023, bagi menyelesaikan isu pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Kerajaan dalam masa sama diminta untuk mengambil cadangan serta syor daripada pengamal undang-undang syariah dan sivil, berkaitan dengan laporan syor tersebut.

Dari sudut pendidikan dan literasi undang-undang, resolusi itu menyatakan sokongan terhadap integrasi kurikulum undang-undang Syariah dan Sivil di institusi pengajian tinggi bagi melahirkan pengamal undang-undang yang holistik.

Foto: Resolusi Konvensyen Undang-Undang Syariah Dan Sivil 2025

Diakhir kenyataan itu, ia menyatakan bahawa resolusi tersebut diangkat sebagai komitmen bersama untuk memperkukuh sistem perundangan negara secara inklusif, adil, dan berteraskan nilai-nilai murni.

Ia juga berharap resolusi itu menjadi asas kepada tindakan susulan yang konstruktif dan berimpak tinggi. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author