Connect with us

Terkini

Tindakan boleh diambil terhadap Muslim dalam NGO jika langgar ajaran Islam – Menteri Agama

Published

on

Foto: Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar
  • Demikian penjelasan Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail tentang bagaimana Kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang melibatkan ajaran sesat susulan keputusan terkini Mahkamah Persekutuan dalam kes SIS Forum (Malaysia).
  • Mohd Na’im berkata tindakan penguatkuasaan itu boleh dilakukan kerana Mahkamah Persekutuan dalam kes tersebut juga memutuskan bahawa fatwa mengenai pemikiran liberalisme dan pluralisme agama yang diwartakan Jabatan Fatwa Negeri Selangor tersebut adalah sah setakat mana ia merujuk kepada: “mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam”; dan “mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam”.

KUALA LUMPUR —  Jika terdapat sebarang kesalahan menyalahi ajaran Islam dilakukan oleh sesebuah pertubuhan, tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap orang yang menganut agama Islam dalam pertubuhan tersebut.

Demikian penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Dewan Rakyat, bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail tentang bagaimana Kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang melibatkan ajaran sesat susulan keputusan terkini Mahkamah Persekutuan dalam kes SIS Forum (Malaysia).

Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun lalu dilaporkan membenarkan rayuan SIS Forum (Malaysia) dan pengasas
bersamanya Zainah Mahfoozah Anwar, dalam tindakan mereka yang mencabar fatwa dikeluarkan pada 2014 oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu menyeleweng daripada ajaran Islam.

Panel empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara (ketika itu), Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 3-1 megetepikan fatwa berkenaan, sejauh mana ia terpakai kepada syarikat dan institusi.

Menjelas lanjut, Mohd Na’im berkata tindakan penguatkuasaan itu boleh dilakukan kerana Mahkamah Persekutuan dalam kes tersebut juga memutuskan bahawa fatwa mengenai pemikiran liberalisme dan pluralisme agama yang diwartakan Jabatan Fatwa Negeri Selangor tersebut adalah sah setakat mana ia merujuk kepada:

a) “mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam”; dan

b) “mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam”.

“Kerajaan sentiasa menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan dalam masa sama, akan terus memperkukuh kerangka perundangan, pentadbiran dan penguatkuasaan agar ajaran Islam yang sahih terpelihara serta penyelewengan dapat dicegah secara tuntas dan berhemah,” katanya.

Menjawab soalan apakah langkah Kerajaan dalam menangani ancaman penyebaran pemikiran Islam Liberal dan Pluralisme agama dalam kalangan umat Islam, Mohd Na’im berkata antara tindakan diambil adalah mengeluarkan hukum, mewartakan fatwa dan perundangan.

Selain itu, kerajaan juga melaksanakan kajian terhadap bahan penerbitan, buku, filem, dan kandungan media digital yang menyebarkan fahaman sedemikian, serta melaksanakan pemantauan berkala dan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah melalui Pihak Berkuasa Agama Negeri serta Agensi Persekutuan.

“JAKIM akan terus melaksanakan langkah jangka panjang dengan mengukuhkan kurikulum pendidikan Islam secara formal dan tidak formal dalam institusi pendidikan di Malaysia dan memperkemas undang-undang berkaitan bagi mencegah penyebaran ideologi liberalisme dan pluralisme terhadap masyarakat Islam.

“Pendidikan Islam secara tidak formal sentiasa diperluas melalui media sosial dan pengisian program-program di masjid serta surau yang lebih tersusun dengan memastikan tenaga pengajar yang dilantik mempunyai tauliah daripada Pihak Berkuasa Agama Negeri,” katanya. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author