Terkini
(VIDEO) 13 pelajar Kolej Vokasional didapati bersalah bunuh Mohamad Nazmie Aizzat
- Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol berkata berdasarkan penilaian keseluruhan bukti, mahkamah berpuas hati bahawa 13 tertuduh bertindak secara bersama dengan niat bersama hingga menyebabkan kematian mangsa.
- Katanya, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
- Mahkamah menetapkan 28 Ogos ini untuk prosiding hukuman sementara menunggu laporan akhlak daripada Pegawai Kebajikan Masyarakat mengikut peruntukan Seksyen 90(12) Akta Kanak-Kanak 2001.
- 13 remaja itu dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama kolej berkenaan pada jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.
KUALA LUMPUR — Seramai 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu didapati bersalah membunuh rakan mereka, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, dalam kejadian di asrama kolej berkenaan tahun lalu.
Ketika membacakan keputusan itu hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol, berkata semua tertuduh yang berusia antara 16 hingga 19 tahun didapati bersalah mengikut Seksyen 302 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jelas beliau, berdasarkan penilaian keseluruhan bukti, mahkamah berpuas hati bahawa 13 tertuduh bertindak secara bersama dengan niat bersama hingga menyebabkan kematian mangsa.
Katanya, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
“Pembelaan tertuduh sama ada berupa penafian total, alibi, pengakuan separa atau menuding kepada pelajar lain didapati bercanggah dengan bukti saksi bebas serta tidak munasabah.
“Hujahan pembelaan bahawa tertuduh hanya mahu memberi pengajaran (teach a lesson) kepada mangsa adalah tidak berasas kerana kecederaan yang dialami terbukti cukup parah dan secara semula jadi membawa maut.
“Isunya bukan sama ada tertuduh berniat untuk membunuh, sebaliknya sama ada kecederaan yang disengajakan itu sudah memadai dalam keadaan biasa untuk menyebabkan kematian.
“Bukti perubatan jelas menunjukkan ia memang membawa maut,” katanya dipetik media tempatan hari ini.
Menurut Duncan, alasan provokasi juga tidak terpakai kerana apa yang berlaku bukan reaksi spontan, sebaliknya serangan berlarutan dan berulang kali.
Beliau turut menolak hujah bahawa mangsa mungkin terselamat sekiranya menerima rawatan segera, kerana keterangan pakar hanya menyebut ia satu kemungkinan, bukan kepastian.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 28 Ogos ini untuk prosiding hukuman sementara menunggu laporan akhlak daripada Pegawai Kebajikan Masyarakat mengikut peruntukan Seksyen 90(12) Akta Kanak-Kanak 2001.
13 remaja itu dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama kolej berkenaan pada jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.— The Merdeka Times