Terkini
Larang Ridhuan Tee keluar TV, salah guna kuasa dalam kebebasan bersuara
Kebebasan media mestilah tertakluk di bawah Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak kebebasan bercakap dan bersuara kepada setiap warganegara Malaysia.
- Profesor Sains Politik UPM, Datuk Dr Jayum Anak Jawan menyelar tindakan Menteri Digital dan Komunikasi yang “menggam” Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah daripada bersiaran di televisyen.
- Jayum menyifatkan tindakan Fahmi Fadzil sebagai “takut” dengan ideologi disampaikan Tokoh Maulidur Rasul dan Maah Hijrah itu.
- “Ini budaya yang tidak baik dan salah guna kuasa untuk menutup mulut orang daripada bersuara,” katanya.
- Timbalan Pengarah KITA UKM, Profesor Dr Kartini Aboo Talib pula berpendapat Ahli Majlis Dakwah Negara itu “digam” berdasarkan sebab yang kukuh.
KUALA LUMPUR – Kebebasan media mestilah tertakluk di bawah Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak kebebasan bercakap dan bersuara kepada setiap warganegara Malaysia.
Ia dibenarkan selagi tidak melanggar Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan di mana rakyat Malaysia dilarang untuk mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu dan bumiputera.
Selain itu, isu kedaulatan raja-raja, kewarganegaraan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga tidak boleh disentuh.
Profesor Sains Politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Dr Jayum Jawan menyelar tindakan menteri berkenaan yang “menggam” pendakwah terkenal, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah daripada bersiaran di televisyen.
“Menteri (Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil) reput, lebih teruk daripada menteri UMNO yang sudah.
“Apa sangat Ridhuan Tee itu. Tiada ke sarjana lain yang boleh mereka gandingkan untuk berdebat dengan Ridhuan Tee.
“Majlis Profesor Negara ada 2,500 ahli akademik, tak kan seorang dari 2,500 itu tiada yang boleh kalahkan Ridhuan Tee,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.
Jayum menyifatkan tindakan Fahmi sebagai “takut” dengan ideologi yang disampaikan Tokoh Maulidur Rasul dan Maah Hijrah itu.
“Ini budaya yang tidak baik dan salah guna kuasa untuk menutup mulut orang daripada bersuara,” katanya.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib berpendapat Ahli Majlis Dakwah Negara itu “digam” berdasarkan sebab yang kukuh.
“Beliau (Ridhuan Tee) apabila memberi pandangan adakalanya tidak munasabah dan ada yang merasakan pandangannya bersifat menghasut.
“Beliau perlu menambah baik cara penyampaian dengan disertai data dan fakta pada masa hadapan,” katanya.
Diminta mengulas mengenai tindakan Fahmi, jelasnya, ia mungkin telah diteliti dan disertai dengan bukti oleh jawatankuasa penyiaran sebelum keputusan “digam” diumumkan.
“Bebas bersuara tidak bermakna boleh menyuarakan apa sahaja. Ada tata cara bebas bersuara selagi mana ia tidak bertujuan menghina atau menjatuhkan martabat mana-mana pihak,” katanya. – The Merdeka Times.