Connect with us

Terkini

Siti Kassim, Wong Tack, Rani Kulup antara calon Bebas yang tidak beri impak besar pada PRU15

Meskipun jumlah calon Bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini lebih besar iaitu 108 orang, penganalisis berpandangan, mereka tidak berdepan laluan mudah untuk ke Parlimen.

Wartawan TMT

Published

on

Siti Kassim, Wong Tack, Rani Kulup antara calon Bebas yang tidak beri impak besar pada PRU15
Foto: Siti Kassim, Wong Tack, Rani Kulup & Tian Chua.
  • Meskipun jumlah calon Bebas bertanding PRU15 lebih besar iaitu 108 orang, penganalisis berpandangan, mereka tidak berdepan laluan mudah ke Parlimen.
  • Penganalisis Politik Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, berkata senario politik Malaysia, parti lazimnya jadi faktor utama mempengaruhi keputusan pengundi, manakala calon memainkan peranan kedua.
  • Calon Bebas di Sabah dan Sarawak mungkin jadi pilihan kerana perkhidmatan diperlukan penduduk tempatan adalah berbeza berbanding manfaat diinginkan pengundi di Semenanjung.
  • “Pastinya, pecahan undi akan berlaku dalam kalangan calon dinamakan, namun calon Bebas tidak akan jadi faktor utama kepada penubuhan kerajaan lebih stabil.”
  • Penganalisis Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Ismail Sualman, berkata berdasarkan beberapa tinjauan, calon Bebas `kurang menjadi tarikan’ kalangan pengundi kerana tidak berupaya bawa perubahan, sebaliknya hanya melepaskan kemarahan mereka kepada kerajaan semasa.

KUALA LUMPUR – Meskipun jumlah calon Bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini lebih besar iaitu 108 orang, penganalisis berpandangan, mereka tidak berdepan laluan mudah untuk ke Parlimen.

Nama besar seperti Wong Tack, yang bertanding di kerusi Parlimen Bentong; peguam, Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim dan pempengaruh media sosial, Nur Fathiah Syazwana Shaharudin atau dikenali dengan gelaran Cleopatra, masing-masing mencuba nasib di Parlimen Batu, tidak akan berupaya memberi impak besar dalam pilihan raya.

Penganalisis Politik Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, berkata dalam senario politik Malaysia, parti lazimnya menjadi faktor utama yang mempengaruhi keputusan pengundi, manakala calon memainkan peranan kedua.

Bilangan calon Bebas pada PRU15 mengatasi jumlah calon Bebas yang bertanding kerusi Parlimen pada PRU14 iaitu seramai 24 orang dan 79 orang pada PRU13.

Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk aktivis dan profesional terkenal serta ahli politik berpengalaman yang memilih untuk bertanding atas tiket Bebas selepas tidak dicalonkan oleh parti politik masing-masing seperti Tian Chua di kerusi Parlimen Batu dan Datuk Zahidi Zainul Abidin di Padang Besar.

Azmi bagaimanapun berkata, calon Bebas di Sabah dan Sarawak mungkin menjadi pilihan kerana perkhidmatan yang diperlukan oleh penduduk tempatan adalah berbeza berbanding manfaat yang diinginkan oleh pengundi di Semenanjung.

Sebagai contoh, penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Datuk Ali Biju, yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada akhir tahun lalu, masih berjaya meraih kira-kira 2,000 undi.

Menyifatkannya sebagai petanda demokrasi yang baik di negara ini, Azmi berkata, calon Bebas mampu `mewarna-warnikan’ persaingan di kerusi masing-masing.

“Pastinya, pecahan undi akan berlaku dalam kalangan calon yang dinamakan, namun calon Bebas tidak akan menjadi faktor utama kepada penubuhan kerajaan yang lebih stabil,” katanya.

Penganalisis Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Ismail Sualman, berkata berdasarkan beberapa tinjauan, calon Bebas `kurang menjadi tarikan’ dalam kalangan pengundi kerana mereka tidak berupaya membawa perubahan, sebaliknya hanya melepaskan kemarahan mereka kepada kerajaan semasa.

“Calon Bebas boleh (menang) jika mempunyai jentera yang kukuh di belakang mereka,” katanya. 

Sumber : Bernama

 

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending