Terkini
Penyokong pembangkang akui KJ calon “heavyweight” tapi..
Jika diukur sentimen dan suhu politik di Parlimen Sungai Buloh, calon Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin Abu Bakar nampaknya amat popular di mata ramai.

- Jika diukur sentimen dan suhu politik di Parlimen Sungai Buloh, calon Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin Abu Bakar nampaknya amat popular di mata ramai.
- Mana tidaknya, satu Malaysia mengenali Menteri Kesihatan “tall, dark and handsome” yang lebih dikenali dengan panggilan “KJ” itu, malah Pakatan Harapan (PH) diura-urakan menukar calon di saat-saat akhir dek gentar dengan saingan di “kubu kuat” mereka itu.
- Diakui lawan sebagai calon “heavyweight”, KJ, sekalipun amat popular, tidak seharusnya selesa dengan kelebihan PH sebagai penyandang di Sungai Buloh.
- Dapatkah KJ menawan hati 158,090 rakyat Sungai Buloh seperti Rembau selama tiga penggal pada PRU15 nanti?
SUNGAI BULOH – Jika diukur sentimen dan suhu politik di Parlimen Sungai Buloh, calon Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin Abu Bakar nampaknya amat popular di mata ramai.
Mana tidaknya, satu Malaysia mengenali Menteri Kesihatan “tall, dark and handsome” yang lebih dikenali dengan panggilan “KJ” itu, malah Pakatan Harapan (PH) diura-urakan menukar calon di saat-saat akhir dek gentar dengan saingan di “kubu kuat” mereka itu.
Diakui lawan sebagai calon “heavyweight”, KJ, sekalipun amat popular, tidak seharusnya selesa dengan kelebihan PH sebagai penyandang di Sungai Buloh.
‘Kerusi panas’ itu sebelum ini dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), R Sivarasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dengan majoriti 26,634 undi.
Bagaimanapun, untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, penyandang Parlimen Sungai Buloh itu digugurkan kerana masalah kesihatan.
Begitupun, KJ tidak boleh leka dengan kelebihan yang ada kerana masih banyak kekurangan memandangkan beliau juga merupakan muka baharu dalam dunia politik.
Dapatkah KJ menawan hati 158,090 rakyat Sungai Buloh seperti Rembau selama tiga penggal pada PRU15 nanti?
Daripada jumlah itu, sebanyak 9.25 peratus pemilih adalah pengundi muda berumur 18 hingga 20 tahun.
Menurut bekas Setiausaha Dewan Pemuda PAS Sungai Buloh, Muhammad Hezry Md Yasin, KJ merupakan calon ‘heavyweight’ yang dipertaruhkan BN di kawasan panas itu.
“Kami semua bersetuju bahawa KJ merupakan calon heavyweight untuk kita bertanding, tapi siapa tahu, lawan tetap lawan.
“Kita serahkan kepada Allah swt, gerakkan kerja dan buat seperti pilihan raya umum biasa. Macam PN khususnya PAS menang tak megah, kalah tak rebah,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Sabtu lalu.
Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara KJ mewakili BN, Datuk R. Ramanan (PH-PKR), Mohd Ghazali Md Hamin (PN-Pas), Mohd Akmal Mohd Yusoff (GTA-Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas, Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff serta Nurhaslinda Basri.
Ahli jawatankuasa Wanita BN Bahagian Sungai Buloh, Suhaila Mohd Saat pula berkata, aura menteri kesihatan itu di Sungai Buloh memang kuat.
“Saya tengok masa mula-mula KJ diperkenalkan sebagai calon, dia punya gelombang memang besar. Ini satu perubahan besar bagi kami di Sungai Buloh.
“Selama ini kita (kawasan Sungai Buloh) sendu sedikit. Sekarang, insya-ALLAH KJ boleh menang pada PRU15,” katanya.
Bersemangat menyokong Barisan Nasional, mantan Naib Pengerusi Pemuda BN, Datuk Harridz Mohan Abdullah pula menyifatkan pengaruh KJ lebih luas.
“Untuk R Ramanan, saya tiada komen sebab beliau merupakan kawan saya. Dulu kami pernah bersama-sama sebab beliau MIC.
“Bagi saya, jenama R. Ramanan dan KJ, KJ tetap mempunyai liputan yang luas, antara pengundi lama dan pengundi baru tetap akan mengundi KJ,” ujarnya.
Setiausaha Wanita BN Bahagian Sungai Buloh, Yap Bee Huan, meluahkan rasa gembira apabila menteri kesihatan dicalonkan bagi parlimen berkenaan.
“Saya teruja dengan pencalonan KJ. Mesti sokong punya. Rasa bersyukurlah dan kami sangat hargai kesudian beliau sanggup mewakili Sungai Buloh.
“Saya sangat positif sebab semasa wabak COVID-19, KJ menangani pandemik dengan sangat baik, jadi kami yakin dengannya,” katanya.
Ketua Wanita Awan Sungai Buloh, Shamsiah Mislan pula menyalahkan KJ ekoran angka kematian akibat COVID-19 meningkat.
“Saya tak rasa macam menyokong KJ sebab daripada KJ dalam PKP banyak berlaku kematian, mungkin kerana vaksin atau dalam PKP kita terlalu sempit dengan keadaan itu.
“Saya sokong R Ramanan sebab dalam PH, kita juga dalam kawasan Sungai Buloh, kita memang sokong penuhlah dengan R Ramanan,” katanya.
Bagi memastikan bekas Bendahari Agong MIC itu menang, Shamsiah berkata beliau turut sama berkempen dari rumah ke rumah dan melakukan pelbagai program lapangan.
Timbalan Ketua Amanah Sungai Buloh, Thanabal Krishnan pula berkata, pencalonan bekas wakil rakyat DUN Rembau itu bukanlah satu ancaman.
“Kami mahu PH menang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM ke-10. Itu tujuan kita.
“Tidak kisah siapa calon pun, kita berpegang kepada parti. Lawan tetap lawan. Saya tetap akan menyokong calon PH,” katanya mengakhiri perbualan. – The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login