Terkini
Digugurkan bertanding Sungai Buloh, Sivarasa akur keputusan Anwar
Penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh dari PKR, R Sivarasa menerima keputusan Presiden partinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak meletakkannya mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

- Penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh dari PKR, R Sivarasa akur dengan keputusan Presiden partinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak meletakkannya mempertahankan kerusi itu pada PRU-15.
- Namun, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengakui jawatankuasa calon mencadangkannya untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh.
- “Maaf. Saya tidak mahu komen. Saya sudah terima keputusan Presiden saya,” katanya.
- Ditanya mengenai mengenai kenyataan Anwar bahawa penggugurannya sebagai calon akibat masalah kesihatan, Sivarasa enggan mengulasnya.
- Anwar pada minggu lalu mengumumkan PH meletakkan R Ramanan yang juga bekas Bendahari Agung MIC untuk kerusi itu.
SUNGAI BULOH: Penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh dari PKR, R Sivarasa menerima keputusan Presiden partinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak meletakkannya mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau akur dengan keputusan itu biarpun Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengakui jawatankuasa calon mencadangkannya untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh.
“Maaf. Saya tidak mahu komen. Saya sudah terima keputusan Presiden saya,” katanya ringkas bagi mengulas kenyataan Rafizi itu yang mahu beliau terus mempertahankan kerusi itu.
Rafizi pada sidang medianya hari ini mengakui beliau dan jawatankuasa calon mencadangkan Sivarasa untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebaliknya Presiden PKR mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara itu dan Rafizi menghormatinya kerana kuasa menetapkan calon adalah kuasa Presiden dalam mana-mana parti.
Katanya, perbincangan mengenai calon Sungai Buloh adalah antara yang paling panjang dan rumit sepanjang proses memilih calon.
PKR sebelum ini memberi bayangan parti itu berkemungkinan menukar calon bertanding di Parlimen Sungai Buloh, selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan Khairy Jamaluddin sebagai calon di kawasan itu.
Ditanya mengenai mengenai kenyataan Anwar bahawa penggugurannya sebagai calon akibat masalah kesihatan, Sivarasa enggan mengulasnya.
Anwar hari ini memaklumkan Ketua Cabang PKR Sungai Buloh itu mengalami masalah kesihatan yang mungkin memberi kesan kepada PH dalam mempertahankan Parlimen berkenaan.
Anwar pada minggu lalu mengumumkan PH meletakkan R Ramanan yang juga bekas Bendahari Agung MIC untuk kerusi itu.
Pada PRU-14, Parlimen Sungai Buloh dimenangi oleh Sivarasa selepas memperoleh majoriti 26,634 undi menewaskan Nuridah Salleh dari PAS, A Prakash Rao mewakili BN dan Zainurizzaman Moharam dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Sumber: Berita Harian
