Connect with us

Terkini

Masih ramai pengundi muda tidak tahu sudah didaftarkan mengundi – PM

Masih ramai pengundi muda berumur 18 tahun dan ke atas di seluruh negara yang tidak tahu bahawa nama mereka tersenarai dalam daftar pemilih, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Wartawan TMT

Published

on

Masih ramai pengundi muda tidak tahu sudah didaftarkan mengundi - PM
Foto: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
  • Semenjak pertukaran sistem dimana warga Malaysia yang telah mencapai umur 18 tahun telah disenaraikan sebagai pengundi secara automatik dalam daftar pemilih 
  • Membuat ramai pengundi muda berumur 18 tahun dan ke atas di seluruh negara yang tidak tahu bahawa nama mereka tersenarai dalam daftar pemilih.
  • “Beberapa kali saya berjumpa pengundi muda terutama pelajar, mereka tak tahu pun nama mereka sudah ada dalam daftar pemilih,”- PM

LABUAN – Masih ramai pengundi muda berumur 18 tahun dan ke atas di seluruh negara yang tidak tahu bahawa nama mereka tersenarai dalam daftar pemilih, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, warga Malaysia yang telah mencapai umur 18 tahun harus tahu bahawa mereka telah disenaraikan sebagai pengundi secara automatik dalam daftar pemilih.

“Ramai pengundi muda mungkin tak tahu pun nama mereka telah tersenarai dalam daftar pemilih.

“Beberapa kali saya berjumpa pengundi muda terutama pelajar, mereka tak tahu pun nama mereka sudah ada dalam daftar pemilih,” katanya selepas Majlis Amanat Jelajah Keluarga Malaysia di Dewan Konvensyen Kompleks Ujana Kewangan di sini pada Ahad.

Ismail Sabri berkata, ia merupakan tanggungjawab jentera Barisan Nasional (BN) untuk mendekati dan memberi penjelasan kepada pengundi muda seluruh negara.

“Jentera parti komponen BN harus mendekati dan memaklumkan pengundi muda ini di kawasan masing-masing dan memastikan mereka keluar mengundi bulan depan.

“Kalau tidak, mungkin mereka tidak akan tahu dan tidak keluar mengundi, jadi itulah yang kita akan lakukan, memberi makluman kepada mereka,” katanya.

Berhubung jumlah pengundi berdaftar yang didakwa mengalami peningkatan secara mendadak di Sabah, beliau meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan siasatan.

“Peningkatan mendadak bukan daripada pengundi muda… kalau dalam kalangan pengundi muda, kita faham tetapi pengundi yang didaftarkan… dalam hal ini, SPR harus buat siasatan dan kalau didapati ada keraguan, kita serah kepada SPR untuk ambil tindakan sewajarnya,” kata beliau.

Pada 20 Oktober lepas, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri itu akan mendapatkan maklumat lanjut daripada SPR berhubung jumlah pengundi berdaftar yang didakwa mengalami peningkatan secara mendadak.

Beliau berkata, pihaknya maklum mengenai kebimbangan beberapa pihak berhubung perkara itu dan kerajaan negeri memerlukan maklumat lanjut mengenainya.

Media sebelum ini melaporkan Presiden Parti Maju Sabah, Datuk Yong Yeck Lee menyifatkan peningkatan jumlah pengundi di Sabah yang akan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 sebagai amat mengejutkan.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, daftar pemilih yang dikeluarkan SPR menunjukkan peningkatan pengundi baharu di Sabah sebanyak 53.9 peratus iaitu daripada 1.1 juta orang pada 2018 kepada kira-kira 1.7 juta tahun ini.

Peningkatan luar biasa itu menyebabkan beliau mengesyaki wujud pengundi yang dihasilkan melalui skandal Projek IC (Kad Pengenalan) yang pernah menjadi isu di Sabah sebelum ini.

Katanya, berdasarkan kajian awal daftar pemilih 2022, kebanyakan pengundi baharu itu berumur antara 30-an hingga 60-an. – Bernama

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending