Connect with us

Terkini

Mahu dinilai kerana prestasi, bukan legasi keluarga politik – Nizar Najib

Mahu kedudukan sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dinilai berdasarkan prestasi dan kebolehan sebagai ahli UMNO, bukannya legasi keluarga Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan bapanya Datuk Seri Najib Razak.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Mahu dinilai kerana prestasi, bukan legasi keluarga politik - Nizar Najib
Foto: Nizar Najib.
  • Mohd Nizar menyerahkan kepada kepimpinan UMNO untuk menentukan kedudukannya sebagai calon PRU15 dan bersedia sekiranya dicalonkan.
  • Menurutnya, beliau dipertimbangkan untuk bertanding di Parlimen Pekan atau salah satu daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
  • Beliau juga mahu kedudukan sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dinilai berdasarkan prestasi dan kebolehan sebagai ahli UMNO, bukannya legasi keluarga Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan bapanya Datuk Seri Najib Razak.

PETALING JAYA: Mahu kedudukan sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dinilai berdasarkan prestasi dan kebolehan sebagai ahli UMNO, bukannya legasi keluarga Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan bapanya Datuk Seri Najib Razak.

Itu hasrat Ketua Pemuda UMNO Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib yang menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan kedudukannya sebagai calon PRU15.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd Nizar berkata beliau dipertimbangkan untuk bertanding di Parlimen Pekan atau salah satu daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 

“Ramai cakap saya daripada keluarga politik tetapi ia tak semestinya menjamin kejayaan dalam bidang tersebut. Akhirnya orang menilai kita berdasarkan prestasi dan perkhidmatan. Yang penting bukan ahli keluarga, tetapi penerimaan orang ramai terhadap seseorang wakil rakyat. 

“Malah, kepemimpinan parti selalu tekankan konsep WALI iaitu seseorang calon dikira mempunyai potensi untuk menang dan disukai rakyat, itu kriteria ditekan oleh parti. Sekalipun dipilih, kita kena tunjukkan prestasi agar diterima warga pengundi, bukannya menumpang pengaruh legasi Tun Razak,” katanya semalam. 

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Mohd Nizar dan adiknya, Nooryana Najwa tidak dicalonkan bagi menggantikan ayahnya di kerusi Parlimen Pekan pada PRU-15. 

Sebaliknya, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly berkata, terdapat lima nama daripada UMNO Bahagian Pekan termasuk Najib dikemukakan untuk kerusi itu. 

Mengulas hal tersebut, Mohd Nizar berkata, setiap pihak boleh mengeluarkan kenyataan masing-masing, sebaliknya yang menentukan adalah kepimpinan UMNO Pusat setelah melihat senarai nama dikemukakan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri dan bahagian. 

Dalam pada itu, ujarnya, bukan tugas mudah memperkukuh Parlimen Pekan dan empat kerusi DUN iaitu Pulau Manis, Peramu Jaya, Bebar dan Chini yang masih dikuasai BN walaupun berdepan tsunami politik pada PRU14.. 

Jelasnya, kerusi-kerusi tersebut berisiko tewas di tangan lawan sekiranya BN gagal memahami sentimen dan denyut nadi rakyat. 

“Secara tradisi memang betul kubu kuat UMNO, namun tidak bermaksud kita boleh duduk selesa tanpa persediaan. Parlimen Pekan pernah dua DUN tewas pada 1999 iaitu ketika gelombang reformasi, malah ayahanda saya, Datuk Seri Najib menang tipis 241 undi,” katanya. 

Justeru sambungnya, BN dan UMNO sendiri perlu memikat pengundi muda yang diketahui sukar menyertai mana-mana parti politik dan terdedah kepada maklumat media sosial di samping golongan itu pernah tertarik dengan janji-janji manis Pakatan Harapan ketika PRU14.

“Setelah pelaksanaan pendaftaran pengundi automatik dan penurunan had umur 18 tahun, Pekan menyaksikan pertambahan jumlah pemilih sehingga 119,000 orang termasuk 7,000 pengundi berumur 18 hingga 20 tahun berbanding 89,000 pengundi ketika PRU14. 

“Bagaimana usaha kita menarik mereka? UMNO dan BN perlu bijak menggunakan medium tertentu seperti Tik Tok dan Twitter untuk menarik perhatian golongan agar menyokong kita. Selain itu, BN perlu memberikan tawaran yang memenuhi kehendak orang muda,” katanya.

Sumber: Utusan

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *