Terkini
Letak Nizar di Pekan pilihan tepat – penganalisis
Langkah menetapkan Nizar Najib sebagai calon di Parlimen Pekan dilihat bertujuan memastikan kerusi itu selamat untuk ditandingi semula bapanya apabila dibebaskan daripada penjara kelak.

- Langkah menetapkan Nizar Najib sebagai calon di Parlimen Pekan dilihat bertujuan memastikan kerusi itu selamat untuk ditandingi semula bapanya apabila dibebaskan kelak.
- “Satu masa Najib akan kembali ke tempat dia. Nizar ini macam mewakili ayahnya,” kata, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi Dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali.
- Ujarnya, anak sulung Najib Razak itu dianggap mewakilinya bapanya buat sementara waktu di parlimen berkenaan.
Langkah menetapkan Nizar Najib sebagai calon di Parlimen Pekan dilihat bertujuan memastikan kerusi itu selamat untuk ditandingi semula bapanya apabila dibebaskan daripada penjara kelak.
“Satu masa Najib akan kembali ke tempat dia. Nizar ini macam mewakili ayahnya,” kata, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi Dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali.
Menurutnya, anak sulung Najib Razak itu dianggap mewakilinya bapanya buat sementara waktu di parlimen berkenaan.
“Orang lain takkan berani nak berebut kawasan di situ. Pekan merupakan kawasan legasi Najib Razak dan orang menghormati legasi beliau.
“Orang lain jangan beranganlah nak memperoleh kawasan itu. Keluarga dia saja yang boleh (bertanding di situ).
“Bagi saya, pemilihan Nizar sebagai calon di Pekan juga dilihat tepat untuk membangkitkan sentimen pengundi dan memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Malaysiakini.
Ujarnya, pengundi di Pekan tidak mudah melupakan jasa keluarga Najib di Pekan sejak zaman Tun Razak Hussien lagi.
Malah jelasnya, Najib juga telah menyumbangkan banyak pengorbanan seperti mendirikan kem tentera dan membina pelbagai kemudahan kepada komuniti setempat.
Sementara itu, Dr Awang Azman yang juga penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM) berkata, langkah meletakkan Nizar adalah satu cara bagi memberi laluan kepada pemimpin muda dalam BN.
“Di samping itu, BN mahu menggunakan sentimen dan simpati terhadap Najib yang sedang dipenjarakan untuk meraih sokongan pengundi di kawasan itu.
“Saya berpendapat umur yang muda bukan penghalang bagi Nizar untuk diberi peluang menjadi wakil rakyat.
“Ini kerana Najib juga pernah bertanding di Pekan pada usia muda sebelum kerjayanya dalam politik naik mendadak,” ujarnya.
Mengulas lanjut, pemilihan Nizar dapat mengelakkan perebutan kuasa di antara timbalan ketua bahagian dan pihak-pihak lain yang sudah pasti mengidamkan kerusi tersebut.
Ditanya apakah langkah itu bagi memastikan bekas perdana menteri dapat mengekalkan kerusi itu apabila dibebaskan daripada penjara kelak, Awang berpendapat Najib mampu menandingi mana-mana kerusi parlimen lain.
“Di mana-mana tempat di Pahang atau negeri lain boleh dipilih Najib.
“Ini kerana, banyak ahli politik (dalam Umno) terhutang budi oleh jasanya sebelum ini. Justeru, selain dari kerusi Pekan, banyak tempat lain juga yang boleh dimilikinya.
“Tetapi sudah tentu Pekan memberi kelebihan kerana dari segi kempen, dia tidak perlu bekerja lebih kuat berbanding di kawasan parlimen lain kerana memang sudah ada undi dan asas sudah kuat di situ,” katanya.
Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil pula tidak menolak kemungkinan langkah mempertaruhkan Nizar akan memberi kemenangan percuma kepada BN.
“Keputusan itu menyerupai langkah yang diambil Anwar Ibrahim ketika dipenjarakan apabila dia memilih isterinya, Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti di kerusi parlimen Permatang Pauh.
“Jadi dengan diletakkan anak Najib di situ sebagai menggantikan tempat ayahnya, bukan sesuatu yang pelik tetapi perkara yang biasa,” katanya.
Baru-baru ini, BN mengumumkan Nizar sebagai calon di Pekan bagi menggantikan bapanya yang sedang dipenjarakan.
Pekan adalah kubu kuat BN dan telah dimenangi perdana menteri kedua, Razak Hussien dari 1959 sehingga 1976.
Najib kemudian mengambil alih tempat bapanya sebagai ahli parlimen Pekan dari 1976 sehingga pilihan raya umum lepas.
Selain itu, Najib juga pernah dilantik sebagai menteri besar Pahang dari 1982 hingga 1986.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) sebanyak RM42 juta.
Sumber: Malaysiakini

You must be logged in to post a comment Login