Terkini
KJ, Izzah, Azmin pemimpin muda yang relevan terajui negara – penganalisis politik
Malaysia masih mempunyai ramai lagi orang muda sama ada dari Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) yang boleh dicungkil bakat untuk mentadbir negara.
- Malaysia punyai ramai lagi orang muda sama ada dari BN, PH atau PN yang boleh dicungkil bakat untuk tadbir negara.
- Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dari BN, wakil dari PH iaitu Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar atau Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara pemimpin lebih segar yang dilihat boleh diketengahkan bagi terajui negara.
- Negara tidak boleh terlalu fokus kepada orang lama sedangkan ramai lagi bakat kepimpinan boleh dilihat melalui pemimpin muda kini – Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis.
- Pemimpin muda perlu diberi ruang lebih baik dalam pentadbiran negara seperti diamalkan politik luar. – Penganalisis politik, Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis.
- Barisan pemimpin muda lebih relevan dengan orang muda yang kini jadi pengundi selaras dengan pelaksanaan Undi18.
- Pemimpin lebih muda dilihat lebih sesuai diletak dalam pentadbiran negara bersesuaian dengan cabaran semasa. – Penganalisis bebas dan kolumnis.
KUALA LUMPUR: Malaysia masih mempunyai ramai lagi orang muda sama ada dari Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) yang boleh dicungkil bakat untuk mentadbir negara.
Atas dasar itu, beberapa penganalisis politik berpendapat, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seharusnya menjadi ‘pusingan terakhir’ bagi pemimpin ‘senior’ beraksi dalam pentadbiran negara.
Menurut mereka, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dari BN; wakil dari PH iaitu Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar atau Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara pemimpin lebih segar yang dilihat boleh diketengahkan bagi menerajui negara. Negara tidak boleh terlalu terikat dengan memfokuskan kepada orang lama sedangkan ramai lagi bakat kepimpinan boleh dilihat melalui pemimpin muda kini.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis, berkata negara tidak boleh terlalu terikat dengan memfokuskan kepada orang lama sedangkan ramai lagi bakat kepimpinan boleh dilihat melalui pemimpin muda kini.
Apatah lagi katanya, pemimpin lebih muda seperti Khairy misalnya sudah dilihat kredibilitinya sebagai pemimpin selain Mohamed Azmin juga yang mempunyai rekod lapangan yang baik ketika mentadbir Selangor sebelum ini.
“Kita perlu menghantar isyarat bahawa perlu adanya kepimpinan baharu yang tidak terikat dengan gaya ‘orang lama’ dan kekal berada pada kerangka pemikiran politik lama.
“Peremajaan dan perubahan dalam parti perlu selaras dengan keterbukaan untuk memberi laluan kepada pemimpin muda,” katanya kepada BH, di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam yang memilih Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai pemimpin yang mampu menerajui negara ini.
Musa dilaporkan berkata, tiga pemimpin itu dilihat memiliki kualiti, daya tahan serta karisma dalam memimpin negara mengharungi cabaran kini.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis pula berkata, pemimpin muda perlu diberi ruang lebih baik dalam pentadbiran negara seperti mana diamalkan oleh politik luar.
Namun katanya, yang menjadi halangan kini adalah sama ada pemimpin senior ini berjiwa besar untuk berkorban demi memberikan mereka peluang mentadbir.
“Jika dibangkitkan bahawa mereka lebih muda, ia bukan soal usia kerana apa yang penting barisan pemimpin muda ini lebih relevan dengan orang muda yang kini menjadi pengundi selaras dengan pelaksanaan Undi18,” katanya.
Penganalisis bebas dan kolumnis, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, pula berkata pemimpin lebih muda dilihat lebih sesuai diletak dalam pentadbiran negara bersesuaian dengan cabaran semasa.
Beliau berkata, pemimpin muda ini boleh menyerlah asalkan pimpinan senior sudi untuk berkorban memberikan laluan demi kepentingan negara.
Sumber: Berita Harian