Terkini
Calon rasa dirinya ‘lebih besar’ dari parti tidak akan dipilih – Zahid Hamidi
Umno tidak akan mengulangi kesilapan memilih calon yang merasakan diri mereka “lebih besar” daripada perjuangan parti dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Ahmad Zahid Hamidi.
- Umno tidak akan mengulang kesilapan memilih calon yang dirasakan ‘lebih besar’ daripada perjuangan parti, kata Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
- Tugas UMNO memilih calon adalah tugas mencabar pemimpin tertinggi parti kerana tidak mahu ‘pisang tidak berbuah dua kali’.
- Calon dipilih perlu mempunyai disiplin tinggi, tidak berkepala besar, berani mempertahankan parti daripada diperlekehkan, tidak bersuara sumbang terhadap kepimpinan mereka.
- Pembersihan dalaman Umno berlaku secara automatik apabila golongan oportunis dikenal pasti melalui sikap, kenyataan dan tindak tanduk mereka.
PETALING JAYA – Umno tidak akan mengulangi kesilapan memilih calon yang merasakan diri mereka “lebih besar” daripada perjuangan parti dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi hantaran di Facebook, Presiden Umno itu mengakui menjadi tugas mencabar untuk pemimpin tertinggi parti membuat keputusan, namun ia perlu digalas bagi memastikan “pisang tidak berbuah dua kali”.
“Insya Allah, ‘Top Five’ Umno akan pastikan calon yang dipilih nanti pemimpin yang mempunyai disiplin tinggi, tidak berkepala besar, berani mempertahankan Umno daripada diperlekehkan, tidak bersuara sumbang terhadap kepimpinan mereka sendiri.
“Selain (itu) mempunyai sokongan akar umbi yang kuat tanpa mengira tempat bertanding,” katanya.
Tanpa menamakan sesiapa, Zahid berkata, apabila Parlimen dibubarkan, ada dalam kalangan wakil rakyatnya “baru sedar” bahawa segala yang dinikmati mereka adalah disebabkan mereka ahli Umno, bukannya ahli parti lain.
“Mana-mana berkepala besar, berasa dirinya lebih besar daripada perjuangan parti sewajarnya tahu kedudukan dirinya,” tegas Zahid.
Tambahnya, pemilihan yang tepat amat perlu bagi memastikan tiada suara sumbang yang mengkritik Umno selepas PRU nanti.
Sementara itu, Zahid berkata, banyak perkara yang telah dipelajari Barisan Nasional (BN) pada PRU 2018 yang menyaksikan mereka tewas.
Bagaimanapun, katanya, perkara utama yang dipelajari ialah “kesedaran mengenai erti kesetiaan terhadap parti”.
“Ketika itulah BN diuji, apabila ramai pemimpin Umno lari lintang pukang menyelamatkan diri. Ada yang melompat parti, ada yang menjadi pengkhianat parti, terdapat juga menjauhkan diri daripada Umno,” katanya.
Menurutnya lagi, pembersihan dalaman Umno berlaku secara automatik apabila golongan oportunis dikenal pasti melalui sikap, kenyataan dan tindak tanduk mereka.
“Sekurang-kurangnya ini dapat menjadi petunjuk arah penting dalam konteks pemilihan calon BN,” katanya.
Sumber : Freemalaysiatoday