Terkini
Kerja 18 jam sehari, dipukul, antara derita rakyat Malaysia jadi hamba ‘scammer’ negara jiran
Diugut, dipukul dan dipaksa bekerja selama 18 jam setiap hari antara kesengsaraan yang ditempuh salah seorang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di Laos.

- “Sekarang dia dekat sana kerja 18 jam, rambut dipotong botak. Tidur enam jam sahaja dan 18 jam kena paksa buat kerja ‘scam’,” – Waris mangsa.
- “Kalau mengantuk dipukul, dia orang (sindiket) bagi tiga bulan… kalau tak capai sasaran akan dijual ke ejen lain.”
- “Tindakan kerajaan tangani isu ini tidak memadai dan kurang efektif,” – Setiausaha Agong MHO.
- Negara-negara terlibat merupakan ahli dalam ASEAN, kalau kita boleh ada hubungan perdagangan kenapa tak boleh ada hubungan keselamatan?
- “Ada NGO dihantar berunding tetapi rundingan itu membuka kepada yuran tebusan. Mangsa yang pergi bekerja ini kebanyakannya orang miskin dan tidak mampu bayar RM70,000 ke RM100,000 ini.”
- Memorandum akan dihantar kepada Perdana Menteri untuk tamatkan sindiket gunakan platform ASEAN.
KUALA LUMPUR – Diugut, dipukul dan dipaksa bekerja selama 18 jam setiap hari antara kesengsaraan yang ditempuh salah seorang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di Laos.
Waris mangsa, Low Teck Lin, 44, berkata, anak saudaranya itu pada mulanya pergi ke Dubai untuk bekerja sebelum ke Thailand dan akhirnya dijual kepada ejen di Laos sejak tiga bulan lalu.
“Sekarang dia dekat sana kerja 18 jam, rambut dipotong botak. Tidur enam jam sahaja dan 18 jam kena paksa buat kerja ‘scam’.
“Kalau mengantuk akan dipukul, dia orang (sindiket) bagi tiga bulan… kalau tak capai sasaran akan dijual ke ejen lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemasyarakatan Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, pada Rabu.
Sementara itu, Setiausaha Agong MHO, Datuk Hishamuddin Hashim menyifatkan tindakan kerajaan dalam menangani isu tersebut sebagai tidak memadai dan kurang efektif.
Hishamuddin menegaskan, tindakan lebih drastik perlu diambil pihak berkenaan dan menggesa kerajaan menggunakan hubungan diplomatik menerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk mencari penyelesaian terbaik.
Katanya, pada era modenisasi ketika ini perbuatan sindiket berkenaan tidak ubah seperti penghambaan iaitu mangsa dipaksa untuk bekerja malah ada yang dijual kepada sindiket lain.
“Negara-negara terlibat merupakan ahli dalam ASEAN, kalau kita boleh ada hubungan perdagangan kenapa tak boleh ada hubungan keselamatan?
“Pada MHO, apa yang dilakukan kerajaan hanya menggunakan saluran biasa tidak memadai kerana sindiket ini dilindungi pihak berkuasa negara masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu Hishamuddin memberitahu, pihak sindiket meminta bayaran sekitar RM70,000 hingga RM100,000 sebagai syarat untuk melepaskan mangsa.
“Ada badan bukan kerajaan (NGO) yang dihantar untuk berunding tetapi rundingan itu membuka kepada yuran tebusan. Mangsa yang pergi bekerja ini kebanyakannya orang miskin dan tidak mampu bayar RM70,000 ke RM100,000 ini,” katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, MHO akan menghantar surat rasmi kepada Kementerian Luar Negara dan kedutaan negara-negara terlibat dalam usaha menyelesaikan masalah ini.
“Kita akan ke setiap kedutaan termasuk Laos, Myanmar, Kemboja dan kita akan bawa wakil NGO untuk menyatakan bantahan ini minggu hadapan.
“Kita akan hantar memorandum kepada Perdana Menteri untuk gunakan platform ASEAN untuk tamatkan sindiket ini,”ujar beliau.
Sumber : Sinar Harian
Terkini
PUTRA tolak cadangan dasar dua kewarganegaraan
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak dengan tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan.

- Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan.
- Ahli Dewan Tertinggi (ADT) merangkap Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti PUTRA, Zarina Zainal Abidin menegaskan sesiapa sahaja iaitu rakyat dikesan memiliki dua kerakyatan perlu melucutkan salah satu daripadanya.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan dengan rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berkata, soal pemilikan dua kerakyatan akan dibincang lebih lanjut dengan menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia akan membabitkan keputusan dasar utama.
- Beliau turut mendesak Perdana Menteri Malaysia dan Kabinet menolak cadangan memansuhkan VISA untuk pelancong Cina dan India.
KUALA LUMPUR — Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak dengan tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan.
Ahli Dewan Tertinggi (ADT) merangkap Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti PUTRA, Zarina Zainal Abidin menegaskan sesiapa sahaja iaitu rakyat yang dikesan memiliki dua kerakyatan perlu melucutkan salah satu daripadanya.
Ini susulan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan dengan rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berkata, soal pemilikan dua kerakyatan akan dibincang lebih lanjut dengan menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia akan membabitkan keputusan dasar utama.
“Sesungguhnya, jawapan tersebut amatlah bersifat lebih untuk meraih populariti dan terlalu berpolitik. Apakah wajar bagi seseorang individu mempunyai dua kerakyatan? Di manakah kecenderungan bagi individu terbabit untuk menumpahkan kesetiaanya?
“Sepatutnya jawapan isu sensitif seumpama ini tidak perlu dilayan dengan jawapan tegas iaitu mana mungkin dan mustahil seseorang boleh memiliki dua kerakyatan malah untuk memohon menjadi rakyat Malaysia mesti memenuhi syarat-syarat yang ketat mengikut undang-undang yang sedia ada selama ini.
“Malah ada gesaan disyaratkan dengan lebih tegas iaitu penguasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zarina menggesa seluruh rakyat Malaysia khususnya kaum Bumiputera untuk menentang cadangan itu serta berpendirian sebarang kajian tidak perlu dilakukan sama sekali kerana ia keputusan muktamad.
Pada masa sama, beliau mendesak Perdana Menteri Malaysia dan Kabinet menolak cadangan memansuhkan VISA untuk pelancong Cina dan India kerana perkara itu lebih mengundang mudarat daripada keuntungan.
Katanya, perkara perlu diberikan keutamaan bukanlah terkait kerakyatan sebaliknya isu 1.2 juta warga negara China yang direkodkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), masuk ke Malaysia dalam tempoh 2018 hingga 2021 namun masih tiada rekod keluar dari negara ini.
Ia merupakan suatu jumlah yang amat menggusarkan dan perlu diambil tindakan telus dan tegas kerana ianya pelanggaran undang-undang dan soal keselamatan negara.
“Ini yang patut diberi keutamaan bukan soal kerakyatan dan dikejutkan pula dengan pengumuman Menteri Pelancongan mengenai cadangan pengecualian Visa kepada pelancong terutama dari Cina dan mungkin dari India atas nama kepentingan merancakkan ekonomi tetapi boleh membawa padah kepada keselamatan negara dan masalah sosial yang kini pun sudah parah dan tidak terkawal.
“Cuba bayangkan jika pelancong Cina masuk tanpa tapisan melalui Visa dengan bebas. Pasti ramai akan hilang dan menetap di Malaysia.
“Isu rasuah yang menjadi barah akan menjadi lebih buruk di kalangan penguatkuasa. Perkara ini amat mengerikan kepada masa depan negara Malaysia,” kata Zarina.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghasilkan satu laporan berkenaan pengecualian visa untuk pelancong China.
King Sing berkata, kerajaan dijangka akan mendraf dasar mengenai hari lawatan yang dibenarkan untuk berada di Malaysia melalui perkhidmatan pengecualian visa. — The Merdeka Times
Sumber : Facebook Parti Bumiputera Perkasa Malaysia – PUTRA
-
Terkini2 days ago
Anak mualaf bersyukur MRM bantu uruskan jenazah ibu
-
Terkini4 days ago
Peniaga terima wang menerusi DuitNow QR akan dicaj bermula 1 November
-
Antarabangsa3 days ago
Penutupan kerajaan AS tidak dapat dielakkan – Biden
-
Antarabangsa3 days ago
Malaysia dijangka beri pengecualian visa kepada pelancong China