Connect with us

Terkini

“Jenayah sharing, grooming, minta gambar dan video lucah dijangka jadi trend pada masa akan datang” – Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan

Peningkatan akses kanak-kanak terhadap telefon pintar dan internet dibimbangi akan menyebabkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang tidak melibatkan sentuhan fizikal seperti penyebaran video dan gambar lucah semakin serius pada masa hadapan.

Wartawan TMT

Published

on

"Jenayah sharing, grooming, minta gambar dan video lucah dijangka jadi trend pada masa akan datang” - Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan
Foto: Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan.
  • Peningkatan akses kanak-kanak terhadap telefon pintar dan internet dibimbangi akan menyebabkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang tidak melibatkan sentuhan fizikal seperti penyebaran video dan gambar lucah.
  • Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya kini kerap menerima laporan mengenai penyebaran gambar dan video lucah membabitkan mangsa kanak-kanak.
  • “Jenayah sharing, grooming, minta gambar dan video bogel dan lucah ini saya jangka akan menjadi trend pada masa akan datang,” – Polis Bukit Aman.

KUALA LUMPUR – Peningkatan akses kanak-kanak terhadap telefon pintar dan internet dibimbangi akan menyebabkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang tidak melibatkan sentuhan fizikal seperti penyebaran video dan gambar lucah semakin serius pada masa hadapan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya kini kerap menerima laporan mengenai penyebaran gambar dan video lucah membabitkan mangsa kanak-kanak.

Beliau berkata, faktor pendorong seperti kemajuan teknologi maklumat, gaya hidup dan internet membuatkan jenayah mudah berlaku, tambahan pula kanak-kanak kini mempunyai akses yang meluas terhadap telefon bimbit dan internet.

“Melalui dalam talian pemangsa akan menjalinkan ‘hubungan istimewa’ dan kemudian meminta gambar dan video bogel mangsa, video dan gambar ini akan tersebar apabila mangsa tidak lagi mahu meneruskan hubungan berkenaan.

“Jenayah sharing, grooming, minta gambar dan video bogel dan lucah ini saya jangka akan menjadi trend pada masa akan datang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Siti Kamsiah berkata, pada 2020, pihaknya menerima 24 laporan polis melibatkan jenayah itu yang disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, dan tahun lepas jumlah itu meningkat kepada 35 manakala sebanyak 11 laporan polis diterima dalam tempoh Januari hingga April tahun ini.

“Untuk memadamkan sesuatu gambar atau video lucah kanak-kanak yang telah disebarkan di internet bukan kerja yang mudah kerana hal ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi antaranya Polis Antarabangsa (Interpol).

“Gambar dan video ini terlebih dahulu akan dimasukkan dalam sistem Interpol dan satu pemberitahuan akan dikeluarkan kepada negara-negara yang berkongsi sistem berkenaan untuk mengesan sekiranya ada penularan gambar atau video berkenaan di negara mereka, jika ada ia perlu diturunkan,” katanya.

Siti Kamsiah berkata, pihaknya juga akan memaklumkan kepada pentadbir media-media sosial untuk turunkan gambar atau video berkenaan sekiranya ada, namun bergantung kepada penilaian pentadbir.

Menurutnya, orang ramai juga boleh membuat laporan terus kepada Internet Watch Foundation iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa.

“Ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu mengenai keselamatan ketika bersosial atau berkawan sebagai persediaan untuk mengelakkan anak-anak mereka menjadi mangsa jenayah itu.

“Kita perlu mengajar anak-anak adab bergaul, batas-batas pergaulan, apa yang boleh dikongsi, apa yang tidak boleh dikongsi seperti hal peribadi, tubuh badan. Permantauan oleh ibu bapa juga penting dan anak itu sendiri perlu mempunyai kawalan kendiri untuk mengelak dia daripada menjadi mangsa jenayah,” katanya.

Siti Kamsiah berkata, jenayah seksual terhadap kanak-kanak bukan satu isu yang kecil kerana di negara ini hampir 60 peratus mangsa jenayah seksual ialah golongan itu.

Menurut data yang diperoleh pada 2020, sebanyak 4,274 mangsa jenayah seksual antaranya melibatkan kes seperti rogol, rogol berkumpulan, sumbang mahram, seks luar tabii dan cabul direkodkan dengan 2,567 daripadanya merupakan mangsa kanak-kanak.

“Pada tahun lepas, terdapat 4,031 mangsa jenayah seksual dan 2,234 daripadanya ialah kanak-kanak dan bagi empat bulan pertama tahun ini direkodkan sebanyak 1,201 mangsa dengan 677 orang terdiri daripada kanak-kanak.

“Angka hampir mencecah 60 peratus itu merupakan sesuatu yang patut diambil serius kerana kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual mengalami pelbagai kesan dari sudut kesihatan mental dan psikologi,” katanya.

Ujar beliau, kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual berpotensi mengalami masalah psikologi seperti kebimbangan, ketakutan, sentiasa berada dalam keadaan marah dan berkelakuan ganas.

“Mangsa-mangsa ini juga dikhuatiri mempunyai fungsi sosial yang lemah, masalah pembelajaran, kemurungan, terjebak dalam penyalahgunaan dadah dan alkohol dan revictimization (kemungkinan akan menjadi pemangsa apabila dewasa atau terus menjadi mangsa),” katanya. 

Sumber: Bernama

Author

Terkini

Kerajaan Madani perlu setia kepada aspirasi gerakan Islam – MP PKR

Kerajaan Madani perlu setia kepada aspirasi gerakan Islam yang selama ini berdekad-dekad dipinggirkan, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang dari Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Pasir Gudang dari Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim (kanan).
  • Kerajaan Madani perlu setia kepada aspirasi gerakan Islam yang selama ini berdekad-dekad dipinggirkan, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang dari Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim.
  • Hassan berkata jika tanpa sokongan kelompok reformasi Islam yang setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini, Presiden PKR itu juga mungkin tidak akan menjadi Perdana Menteri ke-10 (PMX) hari ini.
  • Justeru PMX dan pendukung kerajaan Madani di Putrajaya diminta supaya mengenangkan jasa individu yang berjuang untuk Islam demi membina negara yang adil dan bersifat Madani.
  • “Pandangan golongan Islam yang membawa idea reformasi tidak patut dipandang ringan atau dianggap picisan.
  • “Jika tiada sokongan golongan reformasi Islam yang setia kepada Anwar Ibrahim selama ini rasanya, ikut hukum adat, Anwar mungkin tak sampai jadi Perdana Menteri kesepuluh,” kata Hassan kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
  • Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Samsudin di Kongres BERSIH pada Sabtu yang mengingatkan kerajaan bahawa sebarang agenda reformasi dibawakan kelompok gerakan Islam hari ini tidak boleh dianggap sebagai agenda picisan.

KUALA LUMPUR — Kerajaan Madani perlu setia kepada aspirasi gerakan Islam yang selama ini berdekad-dekad dipinggirkan, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang dari Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim.

Hassan berkata jika tanpa sokongan kelompok reformasi Islam yang setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini, Presiden PKR itu juga mungkin tidak akan menjadi Perdana Menteri ke-10 (PMX) hari ini.

Justeru, beliau meminta PMX dan pendukung kerajaan Madani di Putrajaya supaya mengenangkan jasa individu yang berjuang untuk Islam demi membina negara yang adil dan bersifat Madani.

“Gerakan Islam adalah satu komponen penting dalam gerakan reformasi di Malaysia. 

“Gerakan Islam adalah pendukung utama Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beliau menjadi Presiden ABIM kemudian Timbalan Perdana Menteri Malaysia sehingga dipecat pada September 1998.

“Gerakan Islam antara golongan yang setia kepada perjuangan reformasi yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim. 

“Kini Anwar Ibrahim sudah jadi Perdana Menteri Malaysia, justeru Kerajaan Madani sekarang perlu setia kepada aspirasi gerakan Islam yang selama berdekad-dekad dipinggirkan,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Samsudin di Kongres BERSIH pada Sabtu yang mengingatkan kerajaan bahawa sebarang agenda reformasi dibawakan kelompok gerakan Islam hari ini tidak boleh dianggap sebagai agenda picisan.

Sebaliknya, kerajaan perlu mengutamakan agenda dibawakan gerakan Islam ataupun Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) supaya ia dapat dijadikan rujukan dalam tampuk pemerintahan hari ini.

Ahmad Fahmi berkata ini kerana gerakan Islam mempunyai kedudukan dan peranan signifikan untuk ke hadapan, bukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai ‘serpihan’ atau ‘ditepi-tepian’.

Kenyataan beliau itu turut disambut baik kelompok bukan Muslim daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong bahawa kerajaan tidak boleh menganggap sebarang agenda reformasi dibawakan kelompok gerakan Islam hari ini sebagai agenda picisan.

Hassan menyatakan beliau senada dengan Presiden ABIM bahawa pandangan, tuntutan dan aspirasi reformasi dibawakan gerakan Islam mesti diberi tempat oleh kerajaan yang berkuasa ketika ini.

“Pandangan golongan Islam yang membawa idea reformasi tidak patut dipandang ringan atau dianggap picisan.

“Jika tiada sokongan golongan reformasi Islam yang setia kepada Anwar Ibrahim selama ini rasanya, ikut hukum adat, Anwar mungkin tak sampai jadi Perdana Menteri kesepuluh.

“Lalu PMX dan pendukung kerajaan Madani di Putrajaya sekarang kenangkanlah jasa orang yang selama ini berjuang untuk Islam demi membina sebuah negara yang adil yang bersifat Madani,” katanya. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending