Connect with us

Antarabangsa

Sungai utama dunia semakin kering, kiamat iklim?

Sungai yang menjadi sumber air kepada manusia kini terancam dek fenomena perubahan iklim yang mengakibatkan taburan hujan berkurangan selain diburukkan lagi dengan gelombang haba ekstrem yang melanda Amerika Syarikat (AS), Asia, Eropah dan Asia Barat.

Wartawan TMT

Published

on

Sungai utama dunia semakin kering, kiamat iklim?
Foto: Sungai Yangtze di China.
  • Kenaikan luar biasa suhu global antara faktor kemudaratan serius kepada ekosistem 
  • Keadaan sungai semakin surut mengakibatkan kemunculan beberapa objek termasuk tinggalan purba.
  • Paras air Sungai Yangtze di China mendedahkan sebuah pulau yang tenggelam di bandar Chongqing yang turut mempunyai tiga patung Buddha di atasnya dipercayai berusia 600 tahun.
  • Di Sepanyol, paras air menyusut kepada 28 peratus daripada kapasiti asal menemukan batu prasejarah Spanish Stonehenge atau Dolmen of Guadalperal di takungan Valdecanas di tengah wilayah Caceres.
  • Sungai utama di Eropah iaitu Danube mencapai paras paling rendah dalam tempoh hampir seabad mendedahkan lebih 20 kapal perang milik Jerman yang karam ketika Perang Dunia Kedua.
  • Itali mengisytiharkan keadaan darurat di sekitar Sungai Po setelah penemuan bom tinggalan Perang Dunia Kedua seberat 450 kilogram di kawasan perairan cetek.
  • Paras Sungai Tiber di Rom semakin mengering mendedahkan runtuhan jambatan purba dipercayai dibinaMaharaja Nero pada tahun 50 sebelum Masihi yang terletak di tapak jambatan moden, Vittoria Emanuele II.

NEW YORK – Sungai yang menjadi sumber air kepada manusia kini terancam dek fenomena perubahan iklim yang mengakibatkan taburan hujan berkurangan selain diburukkan lagi dengan gelombang haba ekstrem yang melanda Amerika Syarikat (AS), Asia, Eropah dan Asia Barat.

Keadaan itu mengakibatkan kebanyakan sungai utama di seluruh dunia kini semakin surut dan mengering.

Kenaikan luar biasa suhu global antara faktor mengakibatkan situasi tersebut yang dikhuatiri boleh menyebabkan kemudaratan serius kepada ekosistem dan menjejaskan kebergantungan manusia terhadap sungai secara drastik dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Sejak akhir-akhir ini, keadaan sungai yang semakin surut telah mengakibatkan kemunculan beberapa objek termasuk tinggalan purba.

Sebagai contoh, paras air Sungai Yangtze di China mendedahkan sebuah pulau yang tenggelam di bandar Chongqing yang turut mempunyai tiga patung Buddha di atasnya yang dipercayai berusia 600 tahun.

Sungai Yangtze di China

Sungai Yangtze di China

Ketiga-tiga patung tersebut ditemui di bahagian tertinggi pulau digelar Foyeliang tersebut yang dibina ketika dinasti Ming dan Qing.

Pada masa ini, paras Sungai Yangtze dilaporkan semakin surut disebabkan kemarau dan gelombang haba yang melanda wilayah barat laut China.

Rekod taburan hujan di lembangan Yangtze adalah kira-kira 45 peratus lebih rendah berbanding paras normal sejak Julai di samping suhu tinggi diramalkan berterusan untuk tempoh sehingga minggu depan.

Advertisement

Stesen penyiar CCTV pada Jumaat melaporkan data rasmi menunjukkan kira-kira 66 sungai di seluruh 34 daerah di Chingqing kini semakin mengering.

Kemarau yang berterusan selama beberapa minggu di seluruh Eropah turut memberi kesan kepada paras air sungai dan tasik hingga mendedahkan ‘harta karun’ yang sudah lama tenggelam termasuk beberapa objek berbahaya.

Di Sepanyol, ahli arkeologi teruja dengan penemuan batu prasejarah yang digelar Spanish Stonehenge atau Dolmen of Guadalperal di bahagian takungan Valdecanas di tengah wilayah Caceres setelah paras air menyusut kepada 28 peratus daripada kapasiti asal.

Paras air dunia semakin mengering

Spanish Stonehenge atau Dolmen of Guadalperal di bahagian takungan Valdecanas di tengah wilayah Caceres.

Difahamkan, ia pertama kali ditemui ahli arkeologi Jerman, Hugo Obermaier pada 1926, namun kawasan tersebut ditenggelami banjir setahun selepas itu di bawah projek pembangunan luar bandar ketika era pemerintahan pemimpin diktator, Francisco Franco.

Keadaan kemarau di Jerman juga telah mendedahkan hunger stones di sepanjang tebing Sungai Rhine sejak beberapa minggu lalu.

Batu yang tertera angka tahun itu menjadi simbol penderitaan rakyat ketika menghadapi kemarau sebelum ini dan ia dapat dilihat di Worms, selatan Frankfurt dan Rheindorf berhampiran Leverkusen.

Sebatang lagi sungai utama di Eropah iaitu Danube telah mencapai paras paling rendah dalam tempoh hampir seabad, sekali gus mendedahkan lebih 20 kapal perang milik Jerman yang karam ketika Perang Dunia Kedua berhampiran bandar pelabuhan Prahovo.

Advertisement
Sungai Danube

Sungai Danube

Kapal tersebut dikatakan antara ratusan yang terkandas di Danube pada 1944.

Sementara itu, Itali telah mengisytiharkan keadaan darurat di sekitar Sungai Po setelah penemuan bom tinggalan Perang Dunia Kedua seberat 450 kilogram di kawasan perairan cetek.

Sungai Po

Sungai Po

Sebagai langkah berjaga-jaga, kira-kira 3,000 penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran perkampungan utara Borgo Virgilio yang terletak hampir dengan bandar Mantua telah dipindahkan ketika pakar cuba memusnahkan bom tersebut.

Sebuah lagi tinggalan kapal perang tentera Jerman yang karam pada 1943 turut ditemui di Sungai Po selepas paras air semakin surut sejak beberapa minggu lalu.

Sungai Tiber di Rom

Sungai Tiber di Rom

Sementara itu, paras Sungai Tiber di Rom yang semakin mengering mendedahkan runtuhan jambatan purba yang dipercayai telah dibina oleh Maharaja Nero pada tahun 50 sebelum Masihi yang terletak di tapak jambatan moden, Vittoria Emanuele II.

Sumber : Sinar Harian / Agensi

Antarabangsa

Kumpulan hak asasi manusia tuduh Beijing bunuh,dera etnik Uyghur Muslim di kem tahanan Xinjiang

Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.

Wartawan TMT

Published

on

Kumpulan hak asasi manusia tuduh Beijing bunuh,dera etnik Uyghur Muslim di kem tahanan Xinjiang
Foto: Gulbahar Haitiwaji (kiri), Qelbinur Sidik (kanan).
  • Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.
  • Kumpulan hak asasi manusia menuduh Beijing melakukan penderaan, termasuk buruh paksa, pengawasan besar-besaran dan menempatkan sejuta atau lebih etnik Uyghur yang kebanyakan Islam dalam rangkaian kem tahanan di Xinjiang.
  • Keadaan di Xinjiang ‘sepatutnya memberi amaran kepada dunia mengenai kepimpinan di bawah PKC’.
  • Panel Dewan mendengar pengalaman diceritakan seorang wanita Uyghur, Gulbahar Haitiwaji yang berkongsi dia menghadapi penderaan dan pendidikan patriotik yang dipaksa sepanjang berada di dalam kem tersebut.

WASHINGTON: Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.

Kumpulan hak asasi manusia menuduh Beijing melakukan penderaan, termasuk buruh paksa, pengawasan besar-besaran dan menempatkan sejuta atau lebih etnik Uyghur yang kebanyakan Islam dalam rangkaian kem tahanan di Xinjiang.

Ahli Kongres, Mike Gallagher yang juga Pengerusi Republikan Jawatankuasa Pilihan Dewan Perwakilan mengenai Parti Komunis China (PKC), memberitahu pemberita sebelum perbicaraan, keadaan di Xinjiang ‘sepatutnya memberi amaran kepada dunia mengenai kepimpinan di bawah PKC’.

China bersungguh-sungguh menafikan penderaan di Xinjiang dan berkata, ia menubuhkan ‘pusat latihan vokasional’ untuk membendung keganasan, pemisahan dan radikalisme agama.

Perbicaraan itu adalah yang terbaru dalam siri acara yang dirancang untuk dua tahun akan datang, manakala Republikan yang mengawal Dewan Perwakilan untuk meyakinkan rakyat Amerika, bahawa mereka perlu mengambil berat untuk menyaingi China dan untuk ‘memisahkan secara terpilih’ ekonomi negara.

Panel Dewan mendengar pengalaman yang diceritakan seorang wanita Uyghur, Gulbahar Haitiwaji yang bercakap melalui penterjemah, apa yang dikatakannya selama bertahun-tahun di kem di mana dia menghadapi penderaan dan pendidikan patriotik yang dipaksa.

Etnik Uzbekistan, Qelbinur Sidik yang ditugaskan sebagai guru di kem sedemikian melalui penterjemah, turut menggambarkan keadaan seperti penjara yang menurutnya tahanan menghadapi penyeksaan dan soal siasat.

Advertisement

Kedua-dua wanita itu berjaya melakukan perjalanan ke Eropah dan kini mereka menetap di sana.

Keterangan juga didengar daripada peguam terkemuka Amerika Uyghur, Nury Turkel dan penyelidik Jerman, Adrian Zenz, yang berusaha mendokumentasikan tahap kem tahanan di Xinjiang dan Naomi Kikoler dari Muzium Memorial Holocaust AS.

Jurucakap Kedutaan China di Washington, Liu Pengyu, berkata saksi yang dirancang jawatankuasa itu telah ‘mencipta pembohongan berkaitan Xinjiang’ berdasarkan motif politik tersembunyi.

“Kami berharap rakyat Amerika dapat mengenali wajah sebenar pasukan anti-China ini dan tidak terpedaya dengan khabar angin dan pembohongan,” kata Liu sambil menambah, hak asasi manusia semua kumpulan etnik di Xinjiang sudah ‘dilindungi sepenuhnya’.

Kerajaan AS dan parlimen di Britain, Kanada dan negara lain menyifatkan pencegahan kelahiran dan dasar penahanan besar-besaran China di Xinjiang sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu menyatakan China mungkin sudah melakukan jenayah terhadap kemanusiaan di rantau itu.

Advertisement

Jawatankuasa dwipartisan tidak akan menulis undang-undang tetapi akan membuat cadangan dasar, pada garis masa keras terhadap China adalah salah satu daripada beberapa dasar dengan sokongan dwipartisan dalam Kongres AS yang sangat berpecah belah.

Kikoler dari muzium holocaust berkata, kerajaan China menggunakan taktik halus untuk ‘memusnahkan orang Uyghur dengan sengaja’ termasuk pengawasan dan penahanan besar-besaran, penyeksaan, pemindahan kanak-kanak dan mengehadkan kelahiran.

Zenz berkata, walaupun kerajaan China mengatakan pihaknya menutup kem di Xinjiang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun ia adalah pusat ‘pendidikan semula’ keselamatan rendah, selain ada perluasan serentak penjara dengan keselamatan lebih tinggi atau kemudahan buruh paksa.

“Kita boleh mengandaikan ratusan ribu sudah dipindahkan ke kemudahan ini, yang telah diperluaskan secara dramatik,” katanya sambil menyatakan terdapat tanda-tanda tahanan beramai-ramai memuncak pada 2018. – REUTERS

Sumber: Berita Harian

Advertisement
Teruskan Membaca
Advertisement

Kata Kunci

Advertisement

Trending