Connect with us

Terkini

Peluang Najib dapat pengampunan diraja tipis – peguam

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memohon untuk mendapatkan pengampunan diraja, namun perlu menjalani hukuman penjara dalam tempoh tertentu terlebih dahulu, kata pengamal undang-undang.

Wartawan TMT

Published

on

Peluang Najib dapat pengampunan diraja tipis - peguam
Foto: Sumber Bernama.
  • Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memohon mendapatkan pengampunan diraja, namun perlu jalani hukuman penjara terlebih dahulu untuk tempoh tertentu.
  • “Semua individu yang didapati bersalah dan dijatuhi hukuman berhak memohon pengampunan diraja di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.” – peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla
  • Najib perlu failkan permohonan itu dalam tempoh 14 hari bermula dari tarikh keputusan rayuan akhirnya, jika masih ingin memegang kerusi Parlimen Pekan.
  • Di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Ahli Parlimen dan ADUN secara automatik hilang kelayakan apabila dijatuhi hukuman penjara 12 bulan atau lebih, atau didenda tidak kurang daripada RM2,000.
  • “Adalah tidak munasabah dari segi praktikalnya untuk mendapat pengampunan bagi kes SRC, sedangkan beliau masih mempunyai kes lain di mahkamah dan ada yang masih di peringkat perbicaraan.”

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memohon untuk mendapatkan pengampunan diraja, namun perlu menjalani hukuman penjara dalam tempoh tertentu terlebih dahulu, kata pengamal undang-undang.

Menurut peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, proses pengampunan akan mengambil masa kerana ia tertakluk kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

“Semua individu yang didapati bersalah dan dijatuhi hukuman berhak memohon pengampunan diraja di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, mereka perlu melalui hukuman penjara terlebih dahulu dalam tempoh tertentu, baru Lembaga Pengampunan dalam mesyuarat berkala akan meminta laporan daripada pihak penjara untuk disediakan dan dinasihatkan kepada Seri Paduka termasuk laporan bertulis daripada Peguam Negara sebelum pengampunan diberikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Mohamed Haniff Khatri berkata, Najib perlu memfailkan permohonan itu dalam tempoh 14 hari bermula dari tarikh keputusan rayuan akhirnya, bagi memastikan kerusi Parlimen Pekan yang disandangnya tidak digugurkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara automatiknya akan hilang kelayakan apabila mereka dijatuhi hukuman penjara 12 bulan atau lebih, atau didenda tidak kurang daripada RM2,000.

“Sekiranya Najib masih berminat untuk memegang kerusi Parlimen Pekan, menjadi tanggungjawab beliau untuk memfailkan atau memohon pengampunan dalam tempoh 14 hari,” kata Mohamed Haniff Khatri.

Bagaimanapun, peguam itu berkata, Najib turut berdepan beberapa kes lain di mahkamah antaranya 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pindaan laporan audit 1MDB dan kes berkaitan International Petroleum Investment Company (IPIC), yang menyukarkan beliau untuk mendapatkan pengampunan.

“Adalah tidak munasabah dari segi praktikalnya untuk mendapat pengampunan bagi kes SRC, sedangkan beliau masih mempunyai kes lain di mahkamah dan ada yang masih di peringkat perbicaraan,” katanya.

Berkongsi pendapat sama ialah peguam Fahmi Abd Moin, yang turut memaklumkan bekas Perdana Menteri itu boleh mendapatkan pengampunan melalui Lembaga Pengampunan.

“Permohonan untuk mendapatkan pengampunan boleh difailkan oleh Najib menerusi ahli keluarga, peguamnya atau wakil beliau (Najib), namun ia perlu mematuhi beberapa syarat tertentu di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, pengampunan ini bukan diberi secara automatik kerana beliau (Najib) perlu menjalani hukuman penjara dalam beberapa tempoh masa,” kata peguam itu dan menambah Yang di-Pertuan Agong mesti mendapatkan nasihat dan persetujuan semua ahli Lembaga Pengampunan sebelum membuat keputusan.

Sementara itu, peguam Datuk Geethan Ram Vincent berkata, Najib boleh mendapatkan pengampunan diraja tetapi beliau masih perlu menghadapi kes lain seperti perbicaraan 1MDB dan laporan audit. 

Sumber : Bernama

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Berhikmahkah baca ayat al-Quran di hadapan tempat ibadat agama lain?

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Tangkap layar video yang tular menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Dalam video berkenaan, lelaki itu membaca ayat khusus yang berkaitan teguran Nabi Ibrahim kepada kaumnya yang menyembah berhala dalam Surah al-Anbiyaa’ 21:66-67

Nabi Ibrahim AS berkata: ‘Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?’” 

Tidak dinafikan apa yang dimaksudkan ayat ini adalah benar dan merupakan fakta dalam ajaran Islam. 

Malah, tiada masalah sekalipun jikalau seseorang Muslim ingin membaca al-Qur’an kerana sememangnya ia perkara yang digalakkan dan diimani setiap Muslim.  

Penulis percaya barangkali niat pempengaruh itu adalah untuk menyampaikan mesej Tawhid dengan membaca petikan ayat al-Qur’an yang khusus menceritakan tentang sindiran Nabi Ibrahim AS kepada pengamal berhala. 

Meskipun niat tersebut mungkin baik, tindakan membaca al-Qur’an di rumah ibadat agama lain adalah tidak sesuai apatah lagi di hadapan patung berhala yang dianggap Tuhan oleh penganut agama terbabit. 

Lebih-lebih lagi, jika tindakan ini bertujuan untuk, konten dan meraih views di media sosial, ia menambahkan lagi ketidak sensitiviti terhadap keagamaan. Tanpa mengetahui realiti setempat, jelas ini bukan dakwah, ini adalah tindakan provokasi yang tidak sepatutnya berlaku.  

Berdakwah biarlah berhikmah 

Setiap daripada kita pasti memiliki pendekatan berdakwah yang pelbagai dalam usaha menarik golongan yang diseru kepada Islam.  

Namun, setiap pendekatan itu juga perlu digariskan mengikut saranan Allah yang menyuruh umat Islam supaya berdakwah secara berhikmah atau bijaksana. 

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl 16:125).

Hikmah dalam konteks ayat ini adalah meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya dengan panduan akal. 

Sebagaimana  yang dinyatakan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari (7/205), “Makna yang paling benar dari Al-Hikmah adalah bahwa Al-Hikmah adalah menempatkan sesuatu pada tempatnya.” 

Sa’id Hawwa pula mengatakan, al-hikmah itu ialah maqalah (pendapat atau perkataan) yang sahih dan jitu, iaitu dalil yang menerangkan kebenaran yang menghilangkan syubhat (kesamaran), atau khitab (ucapan, perkataan atau perbicaraan) yang munasabah kepada setiap golongan manusia berdasarkan kedudukan mereka.

Sebagai contoh, sesuaikah sekiranya kita berdakwah kepada orang bukan Muslim yang asing dan baru pertama kali berjumpa dengan membaca petikan ayat al-Qur’an seperti: 

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu.” (Surah An-Nisa’ 4:56)  

Sememangnya petikan ayat al-Qur’an ini adalah dalil yang sahih. Namun mari kita fikirkan secara logik, adakah bukan Muslim terbabit akan semakin mendekati Islam atau sebaliknya, menjauhi Islam? 

Dan bolehkah pendekatan dakwah sebegini kita katakan sebagai dakwah secara bijaksana yang meletakkannya di tempat yang sepatutnya? 

Sedangkan, kita perlu menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan audiens mengikut konteks sosial dan realiti setempat. Bukan main terjah berdakwah tanpa mengambil tahu latar belakang kepercayaan setempat. 

Dalam usaha berdakwah, amat penting untuk kita sentiasa mempertimbangkan sensitiviti agama lain dan menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka. 

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan.” (Surah Al-An’am 6:108) 

Tetapi, apakah menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka bermaksud Muslim menerima kepercayaan mereka? Sudah tentu tidak. Sebabnya jelas, akidah yang berbeza dan prinsip Islam juga jelas iaitu ‘bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku’. 

Pendekatan dakwah yang bijaksana dan penuh hikmah adalah pendekatan yang bukan sahaja mampu menyampaikan mesej Islam dengan lebih efektif, tetapi juga dapat mengukuhkan hubungan kewujudan bersama secara aman dengan penganut agama lain.

Kita harus sentiasa berhati-hati dan bijak dalam memilih cara berdakwah agar mesej yang disampaikan tidak menimbulkan salah faham mahupun ketegangan. – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending