Connect with us

Terkini

LCS : Gambar ada namun kapal tiada

Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein menerima kecaman berikutan kenyataannya bahawa Kapal Tempur Pesisir (LCS) pertama akan diperoleh dalam tempoh dua tahun lagi.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein
Foto: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
  • Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dikecam selepas Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkongsi tangkapan skrin ciapan Hishammuddin pada 2017 yang memaparkan gambar yang dikatakan sebagai LCS 1 Maharajalela di Twitter dan mengalu-alukan perolehannya ke dalam armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
  • Bagaimanapun, semalam Hishammuddin memberitahu Dewan Negara bahawa kapal pertama akan siap dalam tempoh satu atau dua tahun, selepas kabinet memberi mandat selama enam bulan untuk menghidupkan semula projek itu.

Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein menerima kecaman berikutan kenyataannya bahawa Kapal Tempur Pesisir (LCS) pertama akan diperoleh dalam tempoh dua tahun lagi.

Ini kerana semasa bertugas sebagai menteri pertahanan kali pertama pada 2017, dia mengumumkan ketibaan kapal LCS yang pertama ketika itu.

Ia kini didedahkan bahawa kapal-kapal tersebut sebenarnya tidak pernah disiapkan.

Pada 2017, Hishammuddin memaparkan gambar yang dikatakan sebagai LCS 1 Maharajalela di Twitter dan mengalu-alukan perolehannya ke dalam armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Yang pertama daripada enam LCS,” katanya ketika itu.

Bagaimanapun, semalam Hishammuddin memberitahu Dewan Negara bahawa kapal pertama akan siap dalam tempoh satu atau dua tahun, selepas kabinet memberi mandat selama enam bulan untuk menghidupkan semula projek itu.

Ciapan dari Twitter berkenaan LCS

Berkongsi tangkapan skrin ciapan Hishammuddin pada 2017, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mempersoalkan bagaimana menteri pertahanan itu boleh mengalu-alukan ketibaan kapal yang tidak wujud ke dalam TLDM.

“Wow. Menteri pakai cermin mata apa?” Soal Lim di Facebook.

Tangkapan skrin pada tahun 2017 itu kini beredar di Twitter

Kira-kira RM6 bilion telah dibelanjakan untuk projek itu, namun tidak ada satu kapal pun yang telah disiapkan.

Projek tersebut mendapat perhatian berikutan penemuan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

PAC antara lain mendapati Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak mengendahkan pandangan TLDM dalam perolehan kapal LCS.

Ini menyebabkan lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak RM9 bilion yang diberikan pada 2011.

PAC juga mendapati kementerian pertahanan pada mulanya memilih reka bentuk jenis Sigma untuk LCS pada Mei 2011 tetapi dua bulan kemudian menukarnya kepada reka bentuk jenis Gowind, daripada pengeluar kapal selam Scorpene Perancis yang sama, sekali gus bercanggah dengan nasihat TLDM.

Keputusan untuk menukar reka bentuk itu dibuat oleh menteri pertahanan ketika itu Ahmad Zahid Hamidi, atas cadangan BNS.

PAC mendapati pelbagai keputusan lain yang dibuat oleh BNS meningkatkan lagi kos, dengan hutang BNS semakin bertimbun.

Malah PAC berkata sehingga kini reka bentuk terpeinci LCS masih belum dimuktamadkan kerajaan dan BNS, menyebabkan pengeluaran perintah variasi (VO) secara berterusan dan terdedah kepada peluang manipulasi.

PAC juga mendapati sebahagian daripada bayaran yang dibuat tidak digunakan dalam perolehan LCS tetapi RM400 juta digunakan oleh BNS untuk menyelesaikan hutang lapuk sebuah lagi projek lama iaitu Kapal Peronda Generasi Baru (NGPV).

Sumber : Malaysia Kini

Author