Kolumnis
Kemiskinan haid bukan sekadar tidak mampu beli tuala wanita! – Pakar Sosiologi
Masih ramai dalam kalangan wanita tidak tahu menguruskan haid dengan cara yang betul.
- Kemiskinan haid meliputi aspek yang lebih kompleks, terutama dalam memastikan pengurusan haid yang selamat, bersih dan bermaruah.
- “Jika kita tidak serius menangani permasalahan ini, ia akan mengakibatkan krisis kesihatan dalam kalangan wanita,” – Dr Sh Fatimah Alzahrah Syed Hussien.
- Perspektif negatif tentang haid yang masih menebal dalam kalangan masyarakat dengan menganggap isu itu adalah masalah peribadi, mengehadkan ruang perbincangan.
- Masih ramai dalam kalangan wanita tidak tahu menguruskan haid dengan cara yang betul.
KUALA LUMPUR: Kekeliruan tentang kemiskinan haid dilihat masih tinggi dalam masyarakat apabila isu tersebut hanya dipandang dari satu sudut, iaitu kekangan membeli barangan peribadi untuk kebersihan ketika haid.
Menurut pakar sosiologi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Sh Fatimah Alzahrah Syed Hussien, pandangan itu tidak tepat kerana kemiskinan haid meliputi aspek yang lebih kompleks, terutama dalam memastikan pengurusan haid yang selamat, bersih dan bermaruah.
Katanya ada empat elemen asas yang perlu ditangani dalam menyelesaikan isu kemiskinan haid, iaitu akses kepada produk sanitari, ilmu dan didikan tentang haid, akses kepada infrastruktur sanitari, dan privasi untuk menukar tuala wanita.
“Kekeliruan tentang kemiskinan haid ini yang perlu diperjelaskan kepada masyarakat kerana jika kita tidak serius menangani permasalahan ini, ia akan mengakibatkan krisis kesihatan dalam kalangan wanita, seterusnya memberi impak buruk kepada kehidupan seharian mereka,” katanya .
Beliau yang sedang mengkaji kemiskinan haid dalam kalangan belia, berkata stigma dan perspektif negatif tentang haid yang masih menebal dalam kalangan masyarakat dengan menganggap isu itu adalah masalah peribadi, mengehadkan ruang perbincangan.
Ketiadaan usaha untuk membincangkan isu kemiskinan haid secara terbuka menjadikan isu itu sukar diatasi dan ini juga yang menyebabkan masih ramai dalam kalangan wanita tidak tahu menguruskan haid dengan cara yang betul, katanya.
Beliau berkata kesan jangka panjang ialah masalah kesihatan, terutama jangkitan kuman apabila kebersihan sewaktu haid tidak diuruskan dengan sebaiknya.