Connect with us

Terkini

Hormati hak orang Islam dalam isu Bon Odori

Pengarah Perhubungan Islam Pertubuhan Al-Khadeem, Adli Mohd Saad, menegur individu bukan Islam untuk menghormati pendapat orang Islam dalam isu berkaitan sambutan Bon Odori.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Ustaz Adli Saad
  • Pengarah Perhubungan Islam Pertubuhan Al-Khadeem, Adli Mohd Saad, meminta individu bukan Islam menghormati hak ilmuan Islam dalam menyediakan garis panduan untuk umat Islam, khususnya.
  • Sifat hormat-menghormati merupakan rukun asas dalam menjaga keharmonian dalam masyarakat berbilang agama dan kaum.
  • Institusi Islam yang diberi kuasa seperti JAKIM dan Menteri Hal Ehwal Agama, Idris Ahmad, mempunyai tanggungjawab untuk menasihati umat Islam agar menjalani hidup berlandaskan perintah Allah dan ajaran Nabi Muhammad SAW.
  • Hanya individu yang mempunyai pengetahuan tentang agama Islam berhak bercakap tentangnya.

KUALA LUMPUR – Pengarah Perhubungan Islam Pertubuhan Al-Khadeem, Adli Mohd Saad, menegur individu bukan Islam untuk menghormati hak dan pendapat orang Islam dalam isu berkaitan sambutan Bon Odori. Teguran ini dibuat rentetan komentar sinis menyindir umat Islam yang melarang penyertaannya.

Beliau menekankan kepentingan hormat-menghormati bagi menjaga keharmonian yang dikecapi. Menurutnya, rakyat Malaysia dapat menjalani kehidupan dalam keadaan aman dan harmoni kerana kita sentiasa menerapkan nilai tolak ansur dengan pilihan agama masing-masing.

Adli menegaskan bahawa sifat hormat-menghormati adalah teras akidah dalam Islam. Umat Islam diperintahkan untuk menghormati ibu bapa, orang tua, rakan sekerja, jiran tetangga, haiwan dan alam sekitar. Selain itu, Islam juga menuntut umat Islam untuk menghormati nilai kepercayaan penganut agama lain.

Setiap individu mempunyai hak untuk menyembah apa-apa yang mereka percaya dan menyambut perayaan agama serta tradisi tanpa campur tangan dari kaum atau agama lain.

Namun begitu, masalah terjadi apabila wujud campur tangan dari individu bukan Islam yang mempersoalkan garis panduan yang dibuat khusus untuk orang Islam.

“Mengapa orang bukan Islam yang memberi komen tentang garis panduan yang dibuat oleh seorang menteri beragama Islam khusus untuk orang Islam?,” soal beliau sambil mengaitkan perkara ini dengan isu Bon Odori.

“Kami (orang Islam) tak pernah masuk campur. Oleh itu, kami meminta budi bicara yang sama dari individu bukan Islam.

“Bagaimana perasaan anda (individu bukan Islam) jika kami meminta seorang Hindu untuk membantu umat Islam dalam proses penyembelihan lembu semasa perayaan Aidiladha atas dasar keharmonian?

“Tetapi, orang Islam tidak pernah berbuat demikian, bahkan tidak pernah meminta individu bukan Islam untuk meninggalkan agama mereka atau memaksa mereka mempercayai Islam,” ujarnya lanjut.

Bagi membetulkan fahaman sesetengah pihak yang menganggap Bon Odori hanyalah festival kebudayaan tanpa melibatkan unsur agama, Adli memetik kenyataan yang dibuat oleh rakannya yang berbangsa Jepun.

Bon Odori asalnya dilakukan untuk memperingati roh nenek moyang yang telah mati. Ia kini telah berkembang menjadi festival melibatkan tarian yang mengutamakan pergerakan kaki, di mana simbolik melangkah ke tanah adalah ritual untuk menghantar nenek moyang bagi mencari jalan pulang”.

Adli turut menerangkan bahawa ajaran Islam jelas mengenai apa yang dibolehkan atau sebaliknya. Tiada masalah untuk mendoakan kesejahteraan orang yang telah meninggal dunia, tetapi Islam melarang elemen tarian ritual seperti yang dibuat (semasa Bon Odori) untuk roh orang mati.

“Walaupun negara di Timur Tengah kini sudah mula menerima idea Barat supaya dilihat lebih liberal, inklusif dan pragmatik (halo, konsert BTS!), ini bukanlah nilai Islam yang sebenar. Setiap perkara yang dilakukan oleh orang Islam perlu berlandaskan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW,” jelasnya lagi.

Tetapi wujud segelintir pihak yang mempersoalkan prinsip keharmonian dalam Islam.

“Islam menggalakkan umatnya untuk menerima tradisi dan budaya orang lain selagi tidak bertentangan dengan ajaran agama,” jawabnya.

Berdasarkan Surah Al-Kafirun, 109: 6, yang bermaksud: “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”

Oleh itu, institusi Islam yang diberi kuasa seperti JAKIM dan Menteri Hal Ehwal Agama, Idris Ahmad, mempunyai tanggungjawab untuk menasihati umat Islam agar menjalani hidup berlandaskan perintah Allah dan ajaran Nabi Muhammad SAW.

Adli mengingatkan bahawa garis panduan tersebut hanya terpakai kepada umat Islam. Individu-individu dari agama lain bebas untuk menyertai perayaan tersebut dan melakukan apa yang mereka mahu.

Menyesali tentang pendapat orang Islam liberal yang mengatakan Bon Odori boleh disambut, beliau mengatakan bahawa setiap individu mempunyai pendapat yang berbeza. Tetapi bagi orang Islam yang ingin mendapatkan keredaan Tuhan, pendapat lain tidak diperlukan kerana mereka tahu apa yang harus dilakukan dan dijauhi.

Beliau turut menekankan bahawa orang Islam itu sendiri tidak sempurna, tetapi Islam sebagai agama adalah wahyu yang sempurna daripada Pencipta Yang Maha Kuasa berdasarkan Surah Al-Maidah 5:3, “… Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu…”.

“Bagi sesiapa yang mahu mengatakan apa-apa tentang Islam, maka mereka mesti dibimbing oleh al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW serta mempunyai pengetahuan tentang agama ini,” tegasnya.

Adli menyatakan hasratnya, berharap rakyat Malaysia belajar menghormati pendapat dan hak orang Islam. Keharmonian agama dikecapi dengan sikap menghormati kepercayaan masing-masing dan tidak memaksa orang lain menerima pendapat apatah lagi tanpa kajian mendalam mengenai perkara tersebut seperti mana yang dinyatakan Sultan Selangor.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *