Terkini
Bukan melayu disaran sertai pasukan beruniform bagi elak sikap perkauman sempit – G Narynen, Penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara
Golongan muda terutama bukan Melayu diseru menjadikan pasukan beruniform sebagai pilihan kerjaya dan tidak menganggapnya khusus untuk Melayu sahaja.

- Mereka (bukan melayu) tidak seharusnya melihat pasukan beruniform dengan pandangan perkauman yang sempit.
- Perlu dijadikan platform yang mengeratkan hubungan persaudaraan sesama kaum.
- Dengan menyertai polis, G Narynen telah berjaya membentuk jati dirinya dan keluarga.
- Sertai polis dapat mengajar kita membentuk jati diri dan berdisiplin yang secara tidak langsung sifat itu turut terpakai dalam urusan seharian kita.
JOHOR BAHRU – Golongan muda terutama bukan Melayu diseru menjadikan pasukan beruniform sebagai pilihan kerjaya dan tidak menganggapnya khusus untuk Melayu sahaja.
Penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara, G Narynen, 66, berkata, mereka tidak seharusnya melihat pasukan beruniform dengan pandangan perkauman yang sempit.
Sebaliknya kata bekas anggota Pasukan 69 Komando (VAT 69) Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerjaya itu perlu dijadikan platform yang mengeratkan hubungan persaudaraan sesama kaum.
“Saya sendiri sepanjang menjadi anggota polis, hubungan dengan rakan-rakan sangat akrab, selain memupuk semangat patriotik kepada negara, karier ini juga memupuk semangat persaudaraan berbilang kaum.
“Jadi kepada orang muda khususnya daripada kaum India, jadikan ini sebagai satu platform untuk meningkatkan kemahiran dan moral insan diri disamping turut berkhidmat kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor Siri 2/2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru pada Rabu.
Bapa kepada tiga anak ini berkata, keputusan menyertai polis pada 1977 ketika berusia 21 sebelum menyertai pasukan komando VAT 69, telah berjaya membentuk jati dirinya dan keluarga.
“Saya masuk polis kerana memang minat dengan pasukan beruniform sejak kecil lagi, walaupun tiada sesiapa dalam keluarga saya yang menjadi polis, namun mereka semua menyokong saya,” katanya.
Beliau yang berasal dari Muar berkata, antara pengalaman manis adalah ketika awal 1980-an semasa terlibat dengan penentangan komunis di hutan seluruh negara sebagai pakar bom.
“Kami bergerak dalam satu pasukan kecil seramai enam orang untuk melakukan kerja-kerja yang perlu demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat Malaysia ketika itu,” katanya yang menjawat jawatan terakhir sebagai Korporal di Ulu Kinta, Perak.
Seorang lagi penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara, Aidah Abd Rahman, 57, berkata, mana-mana wanita yang mahu menyertai pasukan polis perlu membuat persiapan mental dan fizikal.
Ini kerana katanya, ramai dalam kalangan rekrut wanita membuat keputusan keluar daripada pasukan beruniform berkenaan hanya dalam tempoh enam bulan pertama kerana tidak mempunyai ketahanan dalam aspek fizikal.
“Polis ini boleh mengajar kita membentuk jati diri dan berdisiplin yang secara tidak langsung sifat itu turut terpakai dalam urusan seharian kita,” katanya.
Aidah memang berasal daripada keluarga yang boleh digelar dengan panggilan ‘berdarah biru’ kerana latar belakang keluarganya memang terikat dengan pasukan beruniform tersebut.
“Suami saya, Asisten Komisioner Md Khair Othman masih bertugas di Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar, manakala anak lelaki juga Inspektor di Bukit Aman dengan isterinya juga seorang polis,” katanya yang menjawat jawatan terakhir sebagai Sub Inspektor di Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar.
Sumber : Sinar Harian
Terkini
PUTRA tolak cadangan dasar dua kewarganegaraan
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak dengan tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan.

- Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan.
- Ahli Dewan Tertinggi (ADT) merangkap Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti PUTRA, Zarina Zainal Abidin menegaskan sesiapa sahaja iaitu rakyat dikesan memiliki dua kerakyatan perlu melucutkan salah satu daripadanya.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan dengan rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berkata, soal pemilikan dua kerakyatan akan dibincang lebih lanjut dengan menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia akan membabitkan keputusan dasar utama.
- Beliau turut mendesak Perdana Menteri Malaysia dan Kabinet menolak cadangan memansuhkan VISA untuk pelancong Cina dan India.
KUALA LUMPUR — Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak dengan tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan.
Ahli Dewan Tertinggi (ADT) merangkap Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti PUTRA, Zarina Zainal Abidin menegaskan sesiapa sahaja iaitu rakyat yang dikesan memiliki dua kerakyatan perlu melucutkan salah satu daripadanya.
Ini susulan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan dengan rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berkata, soal pemilikan dua kerakyatan akan dibincang lebih lanjut dengan menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia akan membabitkan keputusan dasar utama.
“Sesungguhnya, jawapan tersebut amatlah bersifat lebih untuk meraih populariti dan terlalu berpolitik. Apakah wajar bagi seseorang individu mempunyai dua kerakyatan? Di manakah kecenderungan bagi individu terbabit untuk menumpahkan kesetiaanya?
“Sepatutnya jawapan isu sensitif seumpama ini tidak perlu dilayan dengan jawapan tegas iaitu mana mungkin dan mustahil seseorang boleh memiliki dua kerakyatan malah untuk memohon menjadi rakyat Malaysia mesti memenuhi syarat-syarat yang ketat mengikut undang-undang yang sedia ada selama ini.
“Malah ada gesaan disyaratkan dengan lebih tegas iaitu penguasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zarina menggesa seluruh rakyat Malaysia khususnya kaum Bumiputera untuk menentang cadangan itu serta berpendirian sebarang kajian tidak perlu dilakukan sama sekali kerana ia keputusan muktamad.
Pada masa sama, beliau mendesak Perdana Menteri Malaysia dan Kabinet menolak cadangan memansuhkan VISA untuk pelancong Cina dan India kerana perkara itu lebih mengundang mudarat daripada keuntungan.
Katanya, perkara perlu diberikan keutamaan bukanlah terkait kerakyatan sebaliknya isu 1.2 juta warga negara China yang direkodkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), masuk ke Malaysia dalam tempoh 2018 hingga 2021 namun masih tiada rekod keluar dari negara ini.
Ia merupakan suatu jumlah yang amat menggusarkan dan perlu diambil tindakan telus dan tegas kerana ianya pelanggaran undang-undang dan soal keselamatan negara.
“Ini yang patut diberi keutamaan bukan soal kerakyatan dan dikejutkan pula dengan pengumuman Menteri Pelancongan mengenai cadangan pengecualian Visa kepada pelancong terutama dari Cina dan mungkin dari India atas nama kepentingan merancakkan ekonomi tetapi boleh membawa padah kepada keselamatan negara dan masalah sosial yang kini pun sudah parah dan tidak terkawal.
“Cuba bayangkan jika pelancong Cina masuk tanpa tapisan melalui Visa dengan bebas. Pasti ramai akan hilang dan menetap di Malaysia.
“Isu rasuah yang menjadi barah akan menjadi lebih buruk di kalangan penguatkuasa. Perkara ini amat mengerikan kepada masa depan negara Malaysia,” kata Zarina.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghasilkan satu laporan berkenaan pengecualian visa untuk pelancong China.
King Sing berkata, kerajaan dijangka akan mendraf dasar mengenai hari lawatan yang dibenarkan untuk berada di Malaysia melalui perkhidmatan pengecualian visa. — The Merdeka Times
Sumber : Facebook Parti Bumiputera Perkasa Malaysia – PUTRA
-
Terkini2 days ago
Anak mualaf bersyukur MRM bantu uruskan jenazah ibu
-
Terkini4 days ago
Peniaga terima wang menerusi DuitNow QR akan dicaj bermula 1 November
-
Antarabangsa3 days ago
Penutupan kerajaan AS tidak dapat dielakkan – Biden
-
Antarabangsa3 days ago
Malaysia dijangka beri pengecualian visa kepada pelancong China