Terkini
“Tak mahu lawan abang, “ – Ustaz Kazim
Penceramah bebas ustaz Kazim Elias berkata penarikan dirinya daripada mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut kerana tidak mahu bertanding di kerusi yang turut meletakkan adik-beradiknya sebagai calon.

- Penceramah bebas ustaz Kazim Elias berkata penarikan dirinya daripada mewakili BN di Parlimen Larut kerana tidak mahu bertanding di kerusi yang turut meletakkan adik-beradiknya sebagai calon.
- “Pengundi-pengundi di Larut, saya minta maaf. Walaupun (bukan sebagai calon), saya berjanji turun ke Larut sebagai pendakwah. Saya akan bantu apa yang boleh untuk sahabat dan saudara-mara saya di Larut, Kubu Gajah, Selama dan Batu Kurau.”
PETALING JAYA: Penceramah bebas ustaz Kazim Elias berkata penarikan dirinya daripada mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut kerana tidak mahu bertanding di kerusi yang turut meletakkan adik-beradiknya sebagai calon.
Menurutnya, beliau berpegang kepada prinsip itu sekali gus menyebabkannya menarik diri bagi memberi laluan kepada abang, Mohd Najmuddin yang bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di DUN Batu Kurau, bawah Parlimen Larut.
“Pengundi-pengundi di Larut, saya minta maaf. Walaupun (bukan sebagai calon), saya berjanji turun ke Larut sebagai pendakwah. Saya akan bantu apa yang boleh untuk sahabat dan saudara-mara saya di Larut, Kubu Gajah, Selama dan Batu Kurau.
“Insya-Allah, Larut dan seluruh kawasannya tetap di hati saya,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Kazim sebelum ini dinamakan BN untuk mewakili parti itu di Parlimen Larut pada PRU15 menentang calon PN yang juga penyandang kerusi, Hamzah Zainudin.
Bagaimanapun, tidak sampai 24 jam selepas pengumuman dibuat Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi pada majlis di Kuala Lumpur, beliau menarik diri dan diganti Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika menandatangani watikah dan akujanji sebagai calon BN, dia sama sekali tidak mengetahui abangnya turut menandatangani watikah dan akujanji dengan parti lain.
“Sebelum saya menerima tawaran dan pelawaan daripada kepimpinan Umno negeri, saya menyatakan prinsip bahawa saya tidak mahu bertanding melibatkan ahli keluarga dalam satu Parlimen atau DUN. Itu apa yang diamanahkan arwah ibu kepada kami khususnya saya.
“Saya tidak akan bertanding sesama keluarga kerana akan menimbulkan persepsi tidak berapa cantik dalam kalangan masyarakat khususnya di Parlimen Larut yang kebanyakannya adalah keluarga, saudara-mara dan anak-anak murid kami,” katanya.
Katanya, selepas membuat keputusan, satu surat telah dihantar kepada Zahid bagi memaklumkan perkara itu namun tidak sempat diterima sebelum namanya diumumkan sebagai calon.
“Tidak timbul isu misalnya saya ditolak di mana-mana bahagian dan cawangan kerana (pencalonan) saya dipersetujui oleh semua khususnya di BN negeri dan Pusat, begitu juga di bahagian. Jadi tidak timbul isu ‘flip flop’ setuju, tidak setuju,” katanya.
Sumber : Utusan
