Terkini
“PH dan PN hanya pantas menuding jari melibatkan kesalahan orang lain,” – peguam
Keengganan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mengupas laporan hasil siasatan Pasukan Petugas Khas (STF) dan cadangan dikemukakan terhadap tuduhan memoir Tan Sri Tommy Thomas, mendapat reaksi berbeza daripada pakar perundangan.

- Keengganan PH dan PN mengupas laporan hasil siasatan STF dan cadangan dikemukakan terhadap tuduhan memoir Tan Sri Tommy Thomas, mendapat reaksi berbeza daripada pakar perundangan.
- Menurut Peguam, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir, dari perspektif undang-undang, tindakan berdiam diri tidak semestinya bermaksud PH dan PN membuktikannya bersalah.
- Pengamal Undang-Undang, Datuk Hasnal Rezua Merican, pula berkata, keengganan PH dan PN mengulas perkara tersebut adakah bukti manifestasi pilih kasih yang diamalkan oleh kedua-dua parti berkenaan.
- “PH dan PN hanya pantas menuding jari apabila melibatkan kesalahan orang lain.
- STF mengkategorikan 19 isu penting dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama, iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional; serta kenyataan berbaur hasutan.
KUALA LUMPUR: Keengganan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mengupas laporan hasil siasatan Pasukan Petugas Khas (STF) dan cadangan dikemukakan terhadap tuduhan memoir Tan Sri Tommy Thomas, mendapat reaksi berbeza daripada pakar perundangan.
Menurut Peguam, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir, dari perspektif undang-undang, tindakan berdiam diri tidak semestinya bermaksud PH dan PN membuktikannya bersalah.
“Wujud kemungkinan, PH dan PN sekadar ingin meneliti rumusan dicapai hasil siasatan STF berkenaan.
“Rumusan itu adalah tidak wajar memandangkan nukilan dalam memoir Tommy Thomas mungkin pandangan peribadinya dan tiada kaitan dengan pendirian PH dan PN sebagai parti politik.
“Mungkin lebih wajar untuk kita menunggu reaksi rasmi PH dan PN sebelum membuat suatu rumusan yang pramatang,” katanya kepada Berita Harian.
Sementara itu, Pengamal Undang-Undang, Datuk Hasnal Rezua Merican, berkata, keengganan PH dan PN mengulas perkara tersebut adakah bukti manifestasi pilih kasih yang diamalkan oleh kedua-dua parti berkenaan.
“PH dan PN hanya pantas menuding jari apabila melibatkan kesalahan orang lain.
“Bagaimanapun, apabila isu ketelusan pentadbiran keadilan terkait dengan tindakan dan perbuatan PH serta PN, kedua-dua parti ini hanya mengambil sikap berdiam diri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa tindakan berdiam diri PH dan PN menunjukkan seolah-olah dua parti itu bersalah.
Hasil siasatan STF kini didedahkan kepada awam apabila Kabinet menyahklasifikasikan hasil siasatan itu pada 13 Oktober lalu.
Berdasarkan siasatan dibuat STF, pasukan itu mengkategorikan 19 isu penting dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama, iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional; serta kenyataan berbaur hasutan.
Antara lain, bekas Peguam Negara itu dikatakan secara nyata mendedahkan maklumat, fakta dan dokumen kerajaan, termasuk komunikasi dan perbincangan antara bekas Peguam Negara itu dan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja, Perdana Menteri serta Ketua Hakim Negara.
Mengulas lanjut, Hasnal Rezua berkata, isu campur tangan eksekutif di dalam pentadbiran keadilan, pemilihan hakim kanan tanpa mengikuti proses serta tindakan selektif menempatkan kes yang berkepentingan merupakan perbuatan yang jelas tidak berperlembagaan.
“Malah, ia juga menodai kebebasan sistem kehakiman,” katanya.
Sumber: Berita Harian
