Terkini
PRU-15: Usah rujuk TikTok, hadir ceramah bagi nilai calon terbaik – Dr Zulkifli
Seramai 6.9 juta pengundi baharu berusia 18 hingga 20 tahun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dinasihatkan supaya tidak hanya bergantung aplikasi TikTok atau carian di internet untuk menilai calon di kawasan masing-masing.

- Pengundi baharu dinasihatkan tidak bergantung aplikasi TikTok atau carian internet bagi menilai calon menjelang PRU-15.
- Senator Datuk Seri Dr Zulkifli menyarankan golongan berkenaan perlu hadir ke sesi rapat umum dan ceramah parti bertanding.
- Ia susulan masih ramai pengundi baru kabur dalam hal pengundian.
- Penyertaan di sesi rapat umum membolehkan bakal pengundi menerima maklumat melalui pertanyaan.
KUALA LUMPUR – Seramai 6.9 juta pengundi baharu berusia 18 hingga 20 tahun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dinasihatkan supaya tidak hanya bergantung aplikasi TikTok atau carian di internet untuk menilai calon di kawasan masing-masing.
Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika pentadbiran kerjaan Perikatan Nasional (PN) menerusi catatan di Facebook, menyarankan golongan berkenaan hadir ke sesi rapat umum dan ceramah semua calon daripada pelbagai parti yang bertanding.
Ini kerana, katanya, masih ramai pengundi baru kabur dalam hal pengundian, selain menyifatkan penyertaan di sesi rapat umum dan ceramah membolehkan golongan berkenaan menerima maklumat melalui pertanyaan serta perbualan dengan pengundi lebih senior daripada pelbagai parti.
Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan turut mengakui tertarik dengan kesungguhan segelintir golongan muda yang juga pengundi kali pertama membuat penelitian menerusi internet dan di aplikasi TikTok untuk menilai calon dan parti yang perlu diundi.
“Secara idealnya, kita mahukan pemimpin yang terbaik untuk kita dan masa depan generasi kita. Namun demikian, secara realistiknya ia umpama memilih antara dua kelemahan.
“Pilihlah yang lebih ringan atau kurang kelemahannya, asalkan mereka berjaya membuktikan kesungguhan mengutama dan memperkukuh ekonomi, mensejahterakan rakyat dan memelihara agama.
Selamat berkempen dan selamat mengundi,” katanya.
Mengulas peratusan terbesar pengundi baharu adalah masyarakat Melayu, beliau menjangkakan, isu berkaitan bangsa dan Islam akan mendominasi PRU15, seperti sebelumnya selain mengakui suara pengundi muda tidak terlalu besar tetapi akan menjadi cabaran terhadap sesetengah parti yang mendakwa mewakili golongan muda.
Beliau juga berpandangan peranan pengundi muda amat luas, selain tidak menafikan kemungkinan landskap politik negara boleh berubah berikutan gelombang dicetuskan golongan itu, terutama di aplikasi Twitter dan Tiktok.
“Orang muda ada bisanya tersendiri, cuma mereka tidak boleh selesa dengan ‘fyp’ di Tiktok semata-mata kerana pengundi luar bandar sudah pun menzahirkan kuasa mereka dalam PRU-14.
“Islam memberikan ruang luas untuk demokrasi namun sudah pasti ia datang dengan beberapa syarat. Demokrasi adalah natijah daripada perjuangan yang panjang untuk meraih kebebasan dan hak.
“Kebebasan dan hak ini juga menjadi asas kepada politik Islam yang mengangkat tema hak dan kebebasan sesuai dengan syariat-Nya,” katanya.
Zulkifli turut menasihatkan semua parti politik untuk memperbaharui niat masing-masing bagi menghadapi kempen PRU15. Ini kerana terdapat dua tunjang utama politik di negara ini, iaitu rakyat dan agama, selain menegaskan agar tidak memperjudikan nasib orang ramai sehingga menjadi mangsa ‘janji Puteri Gunung Ledang’ dikemuka pemimpin politik tidak bertanggungjawab.
Beliau juga mahu parti yang menerajui Kerajaan Pusat kelak, tidak mengkesampingkan atau berkompromi untuk memandang ringan terhadap Islam selaku agama Persekutuan, selain menjelaskan isu moral dan akhlak adalah asas pembinaan negara stabil, maju serta seimbang.
“Usik-mengusik biasa semasa kempen tetapi adab dan akhlak hendaklah dipelihara. Tidak perlu keterlaluan membenci dan memusuhi kerana hakikatnya kempen cuma perlawanan kebijaksanaan dalam mengatur strategi mempromosi parti masing-masing di lapangan dan media sosial.
“Nasihat dan pandangan ini mungkin berbeza nadanya atau lebih matang. Sedikit pengalaman (saya) dalam Kabinet, walaupun tidak melangkah masuk atas tiket politik (dan ia) mengajar saya sepak terajang dunia politik yang penuh warna-warni,” katanya.
Sumber: Berita Harian

You must be logged in to post a comment Login