Antarabangsa
Europride ancam nilai tradisi keluarga – Ketua Gereja Ortodoks Serbia
Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Belgrade, ibu negara Serbia bagi menyuarakan bantahan mereka terhadap acara EuroPride yang akan berlangsung.
- Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Belgrade, ibu negara Serbia bagi menyuarakan bantahan mereka terhadap acara EuroPride yang akan berlangsung.
- “Mereka mahu mencemarkan kesucian perkahwinan dan keluarga serta mengenakan penyatuan yang tidak wajar sebagai pengganti perkahwinan,” – Ketua Gereja Ortodoks Serbia.
SERBIA – Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Belgrade, ibu negara Serbia bagi menyuarakan bantahan mereka terhadap acara EuroPride yang akan berlangsung.
Sebelum ini, Presiden Serbia, Aleksandar Vucic mengumumkan bahawa negara tersebut memutuskan untuk membatalkan atau menunda acara berkenaan yang dijangka akan berlangsung pada pertengahan September di Belgrade.
Namun, penganjur acara tersebut berkeras untuk meneruskan acara itu yang ditetapkan pada Sabtu akan datang.
Keputusan daripada penganjur itu telah menyebabkan penunggang basikal, kumpulan sayap kanan, serta paderi agama Ortodoks berarak di jalan Belgrade sambil memegang salib dan ada juga yang berjanji untuk mengadakan protes sebagai tindak balas kepada keputusan penganjur EuroPride untuk mengadakan acara tersebut.
Ketua Gereja Ortodoks Serbia, Patriarch Porfirije, berkata acara EuroPride mengancam nilai tradisi sesebuah keluarga.
“Mereka mahu mencemarkan kesucian perkahwinan dan keluarga serta mengenakan penyatuan yang tidak wajar sebagai pengganti perkahwinan,” katanya kepada orang ramai.
Pemprotes bernama Djordje pula menambah “Saya tidak mendiskriminasi mereka…tetapi mereka harus melakukannya di rumah dan tidak mendedahkannya.”
Presiden negara itu sebelum ini turut menyatakan kekecewaannya terhadap pembatalan acara berkenaan dan menganggap ia melanggar hak-hak minoriti.
Katanya, acara yang disambut pada setiap tahun itu tidak dapat diteruskan berikutan ancaman daripada golongan pelampau kanan dan bimbang sekiranya berlaku keganasan.
Serbia yang kini sedang berusaha untuk menjadi ahli Kesatuan Eropah sebelum ini berjanji untuk melindungi hak-hak LGBTQ dalam negara itu.
Sumber : Reuters