Terkini
Pelaksanaan pembelajaran hibrid, yuran universiti wajar dikurangkan 50 peratus
Yuran pengajian di universiti awam negara wajar dikurangkan sehingga ke 50 peratus sekiranya sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal dilaksanakan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
- Yuran pengajian di universiti awam negara wajar dikurangkan sehingga ke 50 peratus sekiranya sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal dilaksanakan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
- Presiden Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Nur Nazirah Abdullah, berkata setiap universiti awam perlu melihat keperluan pelajar iaitu akses fasiliti yang akan digunakan sekiranya pelaksanaan pembelajaran itu dilakukan.
- Akses fasiliti pelajar apabila pembelajaran hibrid dan jadual anjal berlangsung adalah seperti menggunakan akses fasiliti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perpustakaan, peralatan sukan sahaja.
- “Fasiliti sedemikian digunakan pada semester atau tahun yang mereka belajar secara fizikal sahaja. Jadi yuran pengajian semestinya perlu dikurangkan apabila KPT melaksanakan sistem pembelajaran itu.
- “Jika pelajar hanya perlu hadir tahun satu dan tahun terakhir, ini bermakna caj seperti penggunaan fasiliti ICT, sukan, perpustakaan dan pengangkutan wajar dikurangkan sebanyak 50 peratus,” katanya kepada BH, di sini, semalam.
KUALA LUMPUR: Yuran pengajian di universiti awam negara wajar dikurangkan sehingga ke 50 peratus sekiranya sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal dilaksanakan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Presiden Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Nur Nazirah Abdullah, berkata setiap universiti awam perlu melihat keperluan pelajar iaitu akses fasiliti yang akan digunakan sekiranya pelaksanaan pembelajaran itu dilakukan.
Katanya, akses fasiliti pelajar apabila pembelajaran hibrid dan jadual anjal berlangsung adalah seperti menggunakan akses fasiliti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perpustakaan, peralatan sukan sahaja.
“Fasiliti sedemikian digunakan pada semester atau tahun yang mereka belajar secara fizikal sahaja. Jadi yuran pengajian semestinya perlu dikurangkan apabila KPT melaksanakan sistem pembelajaran itu.
“Jika pelajar hanya perlu hadir tahun satu dan tahun terakhir, ini bermakna caj seperti penggunaan fasiliti ICT, sukan, perpustakaan dan pengangkutan wajar dikurangkan sebanyak 50 peratus,” katanya kepada BH, di sini, semalam.
Nur Nazirah berkata, beberapa faktor perlu dikaji dalam pelaksanaan sistem pembelajaran sedemikian, terutama berkaitan pelajar luar bandar dan B40 yang diketahui antara yang paling ramai berjaya melayakkan diri ke institusi ini.
“Maka, KPT juga perlu menyediakan lebih banyak inisiatif yang berasaskan teknologi/gajet atau memperkasakan lebih banyak jaringan internet yang baik bagi kawasan luar bandar.
“Jaringan internet termasuk rangkaian telekomunikasi dan pusat akses internet yang lebih banyak serta menyeluruh. Persoalannya, adakah Sabah dan Sarawak sudah berjaya mencapai tahap jaringan sepatutnya?” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Graduan Muda (GRADUAN), Alvin Yap Chee Wah, berkata walaupun yuran pengajian universiti berkurangan akibat sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal, pelajar berkemungkinan akan kehilangan ‘soft skill’ dalam bentuk pergaulan dan semangat untuk bekerja berkumpulan apabila mereka keluar sebagai graduan nanti.
Katanya, tidak semua pengajian sesuai untuk menjalani pengajian secara jadual anjal kerana di universiti pelajar akan membentuk kemahiran tertentu yang akan menjadi nilai tambah dalam pasaran kerjaya suatu hari nanti.
“Jika kita bercakap mengenai yuran pengajian yang lebih rendah pastinya ia memberi manfaat juga tetapi apabila kita bercerita mengenai kemahiran tertentu yang perlu dimiliki oleh pelajar, ia penting untuk masa hadapan mereka.
“Saya berpandangan sedemikian, kerana melihat sendiri keadaan pelajar yang belajar secara dalam talian sebelum ini, yang dikesan mempunyai ‘soft skill’ yang agak kurang terutama pergaulan mereka. Sebenarnya kerja berkumpulan menyiapkan tugasan penting untuk tujuan menyelesaikan masalah dan juga membentuk cara kerja yang bagus serta persaudaraan,” katanya.
Beliau berkata, pendidikan di universiti adalah untuk menghasilkan seorang graduan yang berdaya saing tinggi dan pelbagai cara boleh dilakukan untuk menyelesaikan aspek kewangan pelajar di universiti.
“Antaranya kita ada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang bertanggungjawab untuk meringankan beban keluarga B40 dan inisiatif lain berbanding mengorbankan kemahiran yang diperlukan oleh graduan hari ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian