Connect with us

Terkini

Keputusan, hukuman ditangguh susulan pemansuhan RUU mati mandatori

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menangguhkan keputusan dan hukuman terhadap lelaki yang didakwa membunuh wanita, ke 16 Jun ini.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Keputusan, hukuman ditangguh susulan pemansuhan RUU mati mandatori
Foto: Tertuduh, Mohd Nur Hussein Mohd Salleh.
  • Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini menangguhkan keputusan dan hukuman terhadap lelaki yang didakwa membunuh wanita, ke 16 Jun ini.
  • Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet sepatutnya menjatuhkan keputusan dan hukuman hari ini ke atas tertuduh, Mohd Nur Hussein Mohd Salleh, 40, yang didakwa membunuh ibu tunggal, Hamidah Abdul Rahman, 53, pada 2017.
  • Peguan mewakili tertuduh, Datuk Naran Singh memohon penangguhan tarikh baharu hukuman dijatuhkan berikutan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 sudah diluluskan di Dewan Rakyat pada 3 April dan di Dewan Negara, semalam biarpun undang-undang berkenaan belum diwartakan.

Ipoh: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menangguhkan keputusan dan hukuman terhadap lelaki yang didakwa membunuh wanita, ke 16 Jun ini.

Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet sepatutnya menjatuhkan keputusan dan hukuman hari ini ke atas tertuduh, Mohd Nur Hussein Mohd Salleh, 40, yang didakwa membunuh ibu tunggal, Hamidah Abdul Rahman, 53, pada 2017.

Bhupindar membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam mewakili tertuduh, Datuk Naran Singh bagi menangguhkan tarikh baharu hukuman dijatuhkan berikutan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 sudah diluluskan di Dewan Rakyat pada 3 April dan di Dewan Negara, semalam biarpun undang-undang berkenaan belum diwartakan.

“Memandangkan semalam RUU terbabit sudah diluluskan dan masih belum gazette (diwartakan) jadi sekiranya diizinkan saya memohon satu tarikh lain supaya pihak kami juga dapat menyediakan (bersedia) sekiranya disabit, untuk membuat rayuan,” kata Naran.

Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani kemudiannya menyatakan pihaknya juga sedia maklum dengan pindaan undang-undang berkenaan justeru menyatakan pihaknya tiada halangan dan menyerahkan ia kepada budi bicara mahkamah.

“Pendakwaan maklum tentang pindaan itu dan menyerahkannya kepada hakim untuk gunakan budi bicara. Kami tiada halangan untuk kita tunggu terlebih dahulu untuk pindaan terbabit dimuktamadkan,” kata Nasrul sebelum hakim meminta Naran mengusulkan tarikh bagi penetapan keputusan itu iaitu pada 16 Jun.

Pada pada 24 Mac 2017, Mohd Nur Hussein mengaku tidak bersalah selepas didakwa membunuh Hamidah di Taman Dato Lew Yan Sip, di sini antara 1 pagi hingga 5 pagi, 13 Mac 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang ketika ini memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 adalah suatu akta omnibus yang merangkumi pindaan kepada Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Kanun Tatacara Jenayah.

RUU terbabit adalah bagi memansuhkan hukuman mati mandatori dengan mengubahnya kepada hukuman yang berhubungan dengan pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan selain mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya

Sumber: Harian Metro 

Author