Terkini
Tubuh RCI teliti isu integriti, kebebasan institusi kehakiman, perundangan
Kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk meneliti secara menyeluruh isu berkaitan integriti serta kebebasan institusi kehakiman dan perundangan di negara ini.
- Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan ditubuhkan dalam masa terdekat bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119). – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said
- RCI akan meneliti dakwaan terkandung dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’, tulisan bekas Peguam Negara (AG), Tan Sri Tommy Thomas.
- “RCI akan kemukakan syor menambah baik dan tingkatkan keyakinan masyarakat umum terhadap institusi perkhidmatan perundangan negara.
- “Ia adalah demi memelihara dan menjaga nama baik jawatan Peguam Negara atau Pendakwa Raya dan institusi Jabatan Peguam Negara (AGC), yang adil, bebas dan profesional, termasuk keperluan untuk pinda Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk meneliti secara menyeluruh isu berkaitan integriti serta kebebasan institusi kehakiman dan perundangan di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata RCI itu akan ditubuhkan dalam masa terdekat di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Beliau berkata, RCI itu juga akan meneliti dakwaan yang terkandung dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’, tulisan bekas Peguam Negara (AG), Tan Sri Tommy Thomas.
“Selain itu, RCI ini akan juga antara lain akan mengemukakan syor bagi menambah baik dan meningkatkan keyakinan masyarakat umum terhadap institusi perkhidmatan perundangan negara.
“Ia adalah demi memelihara dan menjaga nama baik jawatan Peguam Negara atau Pendakwa Raya dan institusi Jabatan Peguam Negara (AGC), yang adil, bebas dan profesional, termasuk keperluan untuk meminda Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, di sini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), yang meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini cadangan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Azalina berkata, AGC sudah memberi taklimat berhubung perkara terbabit, termasuk cadangan mengenai langkah seterusnya yang perlu diambil bagi tujuan itu, pada 7 Disember lalu.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pentadbiran terdahulu pada 15 Jun 2022 bersetuju dengan syor Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah supaya Kertas Pertimbangan berkaitan Hasil Kajian Pengasingan Kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara ditangguhkan.
“Ini kerana perkara itu membabitkan implikasi kewangan dan perundangan yang besar serta kajian yang lebih mendalam perlu dijalankan AGC.
“Bagaimanapun, Kerajaan Perpaduan komited terhadap reformasi institusi, antara lainnya pengasingan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya untuk memastikan supaya pendakwaan adalah bebas daripada sebarang konflik kepentingan,” katanya.
Januari lalu, Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan RCI bagi meneliti secara menyeluruh Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’.
Sumber: Berita Harian