Antarabangsa
Jadi bapa 60 anak, lelaki derma sperma guna nama palsu
Aktiviti seorang penderma sperma yang menggunakan nama palsu untuk menjadi bapa kepada 60 orang anak terbongkar selepas ibu bapa kanak-kanak berkenaan menyedari wajah anak-anak mereka semua kelihatan serupa.
- Aktiviti seorang penderma sperma yang menggunakan nama palsu untuk menjadi bapa kepada 60 orang anak terbongkar selepas ibu bapa kanak-kanak berkenaan menyedari wajah anak-anak mereka semua kelihatan serupa.
- Lelaki itu didakwa menggunakan empat nama berbeza untuk menderma sperma kepada ahli komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ).
- Pakar di Klinik Fertility First di Sydney, Dr. Anne Clark berkata, kliniknya menggunakan penderma itu sekali sahaja tetapi mendakwa lelaki berkenaan juga menawarkan perkhidmatannya melalui kaedah tidak rasmi seperti komuniti di laman Facebook.
- “Punca utama perbuatannya berjaya dihidu selepas kami mengetahui dia bukan sepenuhnya berdarah Kaukasia,” jelasnya.
SYDNEY: Aktiviti seorang penderma sperma yang menggunakan nama palsu untuk menjadi bapa kepada 60 orang anak terbongkar selepas ibu bapa kanak-kanak berkenaan menyedari wajah anak-anak mereka semua kelihatan serupa.
Lapor Mirror UK, lelaki itu didakwa menggunakan empat nama berbeza untuk menderma sperma kepada ahli komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ).
Penerima yang sebahagiannya bertemu penderma berkenaan melalui saluran tidak rasmi, membuat penemuan mengejutkan itu pada majlis barbeku untuk ibu bapa baharu.
Mereka kemudian mula menghubungi klinik rawatan persenyawaan in vitro (IVF) tempatan di Australia untuk melihat sama ada lelaki yang sama melakukan beberapa pusingan pendermaan sperma di klinik itu.
Pakar di Klinik Fertility First di Sydney, Dr. Anne Clark berkata, kliniknya menggunakan penderma itu sekali sahaja tetapi mendakwa lelaki berkenaan juga menawarkan perkhidmatannya melalui kaedah tidak rasmi seperti komuniti di laman Facebook.
“Kami tahu dia mendapat pelbagai hadiah dan percutian tetapi semuanya atas kesalahan jenayah yang dilakukan.
“Punca utama perbuatannya berjaya dihidu selepas kami mengetahui dia bukan sepenuhnya berdarah Kaukasia,” jelasnya.
Seperti juga di United Kingdom (UK), perbuatan memberi atau meminta bayaran mahu pun hadiah bagi setiap sperma manusia adalah menyalahi undang-undang di Australia dan individu yang disabitkan atas kesalahan itu bakal berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun.
Sumber: Utusan Malaysia