Connect with us

Terkini

(VIDEO) Isu Cina pandang rendah Melayu: ‘Kenyataan Kok Seong adalah realiti dan fakta’ – Aktivis India

Seorang aktivis berbangsa India menyangkal tuduhan bahawa Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong bersifat rasis kerana mengatakan masyarakat Cina memandang rendah kepada Melayu hinggakan mereka enggan berintegrasi dan mempelajari bahasa Melayu.

Hidayah Sani

Published

on

Isu Cina pandang rendah Melayu:
Foto: Aktivis berbangsa India, Krishna Krish (kanan).
  • Seorang aktivis berbangsa India menyangkal tuduhan bahawa Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong bersifat rasis kerana mengatakan masyarakat Cina memandang rendah kepada Melayu hinggakan mereka enggan berintegrasi dan mempelajari bahasa Melayu.
  • Krishna Krish berkata semua yang dikatakan Kok Seong itu adalah realiti, fakta dan hasil kajian beliau yang dilakukan bertahun-tahun.
  • Katanya, beliau sendiri sebagai aktivis dan anak muda yang bergaul dengan masyarakat Cina berdepan sendiri realiti dikongsikan Kok Seong di mana itulah mentaliti kelompok bukan Melayu.
  • “Jadi apa saya boleh katakan perpaduan kita atau semangat masyarakat bukan Melayu iaitu Cina dan India terhadap bahasa Melayu mahupun budaya tempatan adalah sangat-sangat rendah dan kian lama ia makin kian pudar dan kian teruk.
  • “Kita kena buat sesuatu untuk pastikan ia tidak menjadi lagi teruk dan ia secara tidak langsungnya menjadi punca kepada insiden 13 Mei yang satu lagi,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini pada Khamis.
  • Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pada 4 Mac lalu dilaporkan melabel Kok Seong sebagai rasis dan didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan berkenaan masyarakat Cina.

KUALA LUMPUR — Seorang aktivis berbangsa India menyangkal tuduhan bahawa Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong bersifat rasis kerana mengatakan masyarakat Cina memandang rendah kepada Melayu hinggakan mereka enggan berintegrasi dan mempelajari bahasa Melayu.

Krishna Krish berkata semua yang dikatakan Kok Seong itu adalah realiti, fakta dan hasil kajian beliau yang dilakukan bertahun-tahun.

Katanya, beliau sendiri sebagai aktivis dan anak muda yang bergaul dengan masyarakat Cina berdepan sendiri realiti dikongsikan Kok Seong di mana itulah mentaliti kelompok bukan Melayu.

“Jadi apa saya boleh katakan perpaduan kita atau semangat masyarakat bukan Melayu iaitu Cina dan India terhadap bahasa Melayu mahupun budaya tempatan adalah sangat-sangat rendah dan kian lama ia makin kian pudar dan kian teruk.

“Kita kena buat sesuatu untuk pastikan ia tidak menjadi lagi teruk dan ia secara tidak langsungnya menjadi punca kepada insiden 13 Mei yang satu lagi,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini pada Khamis.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pada 4 Mac lalu dilaporkan melabel Kok Seong sebagai rasis dan didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan berkenaan masyarakat Cina.

Ini susulan Kok Seong baru-baru ini dalam satu klip video di TikTok @themerdekatimes mengatakan orang Cina tidak memandang tinggi kepada bangsa Melayu, sebaliknya mereka memandang hina, melihat bangsa Melayu sebagai tidak berkebolehan, tidak bijak seperti mereka, malas dan sebagainya yang menyebabkan mereka enggan mempelajari bahasa Melayu dan berintegrasi dalam masyarakat Melayu.

Kok Seong berkata demikian ketika mengulas punca utama perpaduan kaum masih tidak sempurna hari ini selepas menyatakan penubuhan sekolah vernakular tidak boleh melebihi sekolah kebangsaan kerana ia hanya aliran sampingan, seharusnya tidak boleh mengatasi bilangan sekolah kebangsaan yang menjadi aliran utama sistem pendidikan negara.

Beliau juga tidak menafikan bahawa sekolah vernakular sememangnya menjadi penghalang kepada usaha mewujudkan perpaduan negara dan kaum.

Menafikan kenyataan itu, Teresa Kok menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap Kok Seong yang disifatkannya sebagai mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Mengulas lanjut, Krishna berkata antara punca sebahagian ahli politik, termasuk Teresa Kok dan masyarakat India melihat pandangan Kok Seong itu sebagai rasis adalah kerana mereka sendiri tidak dapat menerima kenyataan hakikat masyarakat mereka tidak boleh berbahasa Melayu.

Beliau berkata situasi itu adalah realiti dan ahli politik seperti Teresa Kok tidak dapat menerima kenyataan tersebut disamping memikul ‘tanggungjawab’ mempertahankan pemikiran sebegitu demi  mendapatkan sokongan berterusan kaum mereka.

“Saya lihat bukan sahaja YB Teresa tapi sebahagian orang ini, mereka adalah kesinambungan generasi dahulu yang memangnya kurang kesedaran, kurang menekankan kepentingan ataupun integrasi ataupun kepentingan asimilasi dengan tradisi budaya yang sedia ada. 

“Dan kita bayangkan ada kelompongan yang belum diisi yang belum diselesaikan (dahulu) jadi ia terus sambung ke generasi seterusnya,” katanya.

Krishna berkata keretakan perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum berpunca daripada kita semua kurang mengenali dan diberikan pendedahan tentang antara satu sama lain, termasuk berkenaan tradisi setiap kaum dan sejarah tanah air ini.

“(Punca lain) Kebanyakan dasar-dasar kerajaan (tentang perpaduan dan bahasa) dan juga pemimpin terdahulu yang mereka perkenalkan hanya mempunyai nilai aesthetic iaitu ia hanya cantik dilihat tapi pelaksanaanya semua ‘ke laut’ dalam bahasa kita.

“Yang kedua ialah sekolah vernakular, iaitu sama ada suka atau tidak kita memang kena terima realiti, sekolah vernakular ia memang menjarakkan hubungan antara anak-anak kita, generasi muda. 

“Sebab kalau kita lihat negara di Asia Tenggara, tidak kira Thailand, Singapura, Indonesia, ataupun Filipina, Myanmar, semuanya hanya mempunyai sekolah aliran yang sama… dekat situlah mereka boleh menghasilkan anak yang betul-betul sayangkan berbakti kepada tanahnya,” katanya.

Krishna berkata solusi bagi permasalahan ini adalah sebagaimana Kok Seong pernah nyatakan sebelum ini iaitu kesemua kelompok masyarakat hari ini perlu memikul tanggungjawab dan mempunyai mentaliti bahawa bahasa merupakan pengukuh bangsa dan penguat negara.

Katanya, apabila disentuh berkenaan perpaduan dan memartabatkan bahasa kebangsaan setiap daripada kita kena mulakan inisiatif sendiri, sekalipun berbeza ideologi politik atau kepentingan pastikan apabila berkaitan bahasa identiti negara semua masyarakat mengutamakan perkara itu.

“Kerajaan, pihak berkepentingan dan NGO juga saya mencadangkan untuk melebihkan program-program berbentuk atau yang menuju kepada perpaduan dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

“…Kerajaan harus lebih serius terutama pemimpin-pemimpin Melayu, kita perlu mempunyai visi dan misi yang jelas, bagaimana aku nak memartabatkan bahasa kebangsaan, bagaimana nak menggunakan dasar-dasar yang lebih strategik,” kata aktivis berbangsa India itu. — The Merdeka Times

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending