Terkini
Bajet 2023: KPT harap peruntukan jumlah besar realisasikan pelan pendigitalan
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berharap kerajaan boleh memperuntukkan sejumlah nilai besar dalam Bajet 2023 untuk merealisasikan pelan pendigitalan kementerian itu.
- Jika pendigitalan diletakkan fokus utama dalam sektor pendidikan tinggi, ia perlukan kerjasama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan. – Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar
- “Kedua-kedua kementerian perlu berganding bahu dengan KPT untuk jayakan hasrat dan cita-cita Menteri Pendidikan.”
- “Apabila kita dilanda COVID-19, saya rasa banyak aktiviti terhenti, jadi ketika itu kita tidak boleh beroperasi seperti biasa. Dalam keadaan new normal, maknanya perubahan pada kaedah pembelajaran dan pengajaran itu perlu diterimapakai.”
- “Namun kini fasa endemik, iaitu post COVID-19 kita balik semula, pelajar-pelajar tidak di rumah dan kembali semula secara 100 peratus ke kampus. Jadi perlu ada kaedah pembelajaran dan pengajaran digitalisasi,” katanya.
KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) — Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berharap kerajaan boleh memperuntukkan sejumlah nilai besar dalam Bajet 2023 untuk merealisasikan pelan pendigitalan kementerian itu.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, berkata jika pendigitalan diletakkan sebagai fokus utama dalam sektor pendidikan tinggi, ia memerlukan kerjasama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.
“Kedua-kedua kementerian perlu bersama berganding bahu dengan KPT untuk menjayakan hasrat dan cita-cita Menteri Pendidikan,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Ruang Bicara Wacana Akademia Bernama TV bagi topik Kepimpinan Institusi Pendidikan Tinggi: Aspirasi dan Cabaran Semasa, yang turut dihadiri Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) Prof Datuk Dr Nasrudin Mohammed, di sini, baru-baru ini.
Pada 30 Januari lalu, Menteri KPT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Amanat Tahun Baharu 2023 berkata, pelan pendigitalan KPT sedia ada akan dilonjakkan dengan memfokuskan kepada pendigitalan total dalam semua aspek pengurusan, pendidikan, pembelajaran dan perkhidmatannya.
Abdul Razak berkata, di peringkat KPT, pelan pendigitalan juga adalah perkara penting yang sedang dirangka untuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
“Sekarang ini dalam proses kajian separuh penggal (pendigitalan), kami diminta untuk melihat semula sasaran yang ditetapkan dan menteri menyasarkan supaya pendigitalan adalah satu daripada target di bawah kementerian ini untuk masa hadapan.
“Ini akan diterjemahkan dalam bentuk bajet ataupun peruntukan yang akan kita mohon dalam rolling plan ketiga, keempat dan mungkin melangkau RMK-13,” katanya.
Sementara itu, KPT juga mengambil kira permodenan teknologi dan komunikasi maklumat untuk mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran di Institut Pengajian Tinggi (IPT).
“Apabila kita dilanda COVID-19, saya rasa banyak aktiviti terhenti, jadi ketika itu kita tidak boleh beroperasi seperti biasa. Dalam keadaan new normal, maknanya perubahan kepada kaedah pembelajaran dan pengajaran itu perlu diterimapakai.
“Namun kini fasa endemik, iaitu post COVID-19 kita balik semula, pelajar-pelajar tidak berada di rumah dan kembali semula secara 100 peratus ke kampus. Jadi perlu ada kaedah pembelajaran dan pengajaran digitalisasi,” katanya.
Sementara itu, Nasrudin ketika mengulas mengenai topik Kepimpinan Institusi Pendidikan Tinggi: Aspirasi dan Cabaran Semasa berkata fungsi dan peranan utama AKEPT adalah berteraskan mengurusan bakat terbaik di sektor pendidikan tinggi termasuk aspek pengenalpastian, pemprofilan, pembangunan dan pemantauan bakal-bakal kepimpinan pendidikan tinggi.
“Ini memberikan tumpuan untuk AKEPT mewujudkan program-program bitara atau signature programs yang bukan sahaja tertumpu kepada kepemimpinan universiti awam, termasuk juga ahli lembaga pengarah universiti serta diperkembangkan kepada universiti swasta.
“Selain daripada itu, AKEPT perlu dimartabatkan sebagai Pusat Kecemerlangan atau Center of Excellence bagi kepimpinan pendidikan tinggi bukan sahaja di negara ini, malah di rantau ASEAN,” katanya. – BERNAMA
Sumber: BERNAMA