Antarabangsa
USAID umum bantuan baru ke atas Gaza
Amerika Syarikat (AS) melalui Agensi Pembangunan Antarabangsa (USAID), Selasa, mengumumkan bantuan baharu bernilai puluhan juta untuk Semenanjung Gaza susulan serangan baharu Israel.

- Amerika Syarikat (AS) melalui Agensi Pembangunan Antarabangsa (USAID), Selasa, umum bantuan baharu bernilai puluhan juta untuk Semenanjung Gaza susulan serangan baharu Israel.
- Pentadbir Agensi Pembangunan Antarabangsa AS, Samantha Power, umum bantuan baharu bernilai AS$21 juta (RM98 juta) merangkumi bekalan bantuan dan tempat tinggal serta makanan untuk penduduk Gaza.
- Beliau berkata, bantuan itu tambahan kepada AS$100 juta (RM467 juta) diumumkan Presiden AS, Joe Biden, pada 18 Oktober lalu.
- “Ketika operasi ketenteraan Israel berterusan, orang awam Palestin mesti dilindungi. Terlalu ramai orang awam yang tidak bersalah menjadi korban,” katanya kepada pemberita.
KAHERAH: Amerika Syarikat (AS) melalui Agensi Pembangunan Antarabangsa (USAID), Selasa, mengumumkan bantuan baharu bernilai puluhan juta untuk Semenanjung Gaza susulan serangan baharu Israel.
Pentadbir Agensi Pembangunan Antarabangsa AS, Samantha Power, mengumumkan bantuan baharu bernilai AS$21 juta (RM98 juta) merangkumi bekalan bantuan dan tempat tinggal serta makanan untuk penduduk di Gaza.
Beliau berkata, bantuan itu adalah tambahan kepada AS$100 juta (RM467 juta) yang diumumkan Presiden AS, Joe Biden, pada 18 Oktober lalu.
“Semasa pemberhentian perang minggu lalu, kami melihat kemajuan penting yang sudah lama dinantikan ke arah menangani krisis kemanusiaan yang teruk di Gaza.
“AS kini melakukan segala-galanya berdasarkan kuasa kami untuk memajukan tindakan itu.
“Ketika operasi ketenteraan Israel berterusan, orang awam Palestin mesti dilindungi. Terlalu ramai orang awam yang tidak bersalah menjadi korban,” katanya kepada pemberita.
Pengumuman itu dibuat Power ketika lawatan ke bandar El-Arish, Mesir, iaitu pintu masuk ke Rafah, lintasan sempadan yang dibuka semula tetapi pada kapasiti terhad sejak perang bermula.
Power mengiringi penghantaran bekalan oleh tentera AS membabitkan 16.3 tan metrik lagi bantuan tambahan selain yang diumumkan sebelum ini termasuk bekalan perubatan, pakaian musim sejuk dan makanan.
Pada masa sama, beliau berkata pihaknya sudah berkomunikasi dengan pegawai Bulan Sabit Merah Mesir dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai cara untuk mempercepatkan bantuan masuk ke Gaza.
“Tahap bantuan yang dicapai semasa gencatan senjata perlulah setanding dengan apa yang akan berlaku pada masa hadapan,” katanya.
Isnin lalu, Jabatan Negara AS memaklumkan, selepas rayuan AS, Israel akhirnya membenarkan kemasukan bahan api yang sangat diperlukan ke Semenanjung Gaza.
Namun, AS berdepan kritikan keras dari dunia Arab kerana sokongan ketenteraan dan diplomatiknya kepada Israel, yang melakukan serangan dahsyat ke atas Palestin.
Israel meneruskan kempen ketenteraannya pada Jumaat lalu, selepas menuduh Hamas mengingkari syarat perjanjian untuk membebaskan tebusan. – AFP
Sumber: Berita Harian

You must be logged in to post a comment Login