Terkini
Mahkamah AS halang sekatan ke atas Francesca Albanese
- Pelapor Khas Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Francesca Albanese telah dikenakan sekatan pada Julai 2025 selepas beliau secara terbuka mengkritik dasar Washington terhadap perang genosid Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.
- Hakim Daerah AS, Richard Leon mendapati bahawa pentadbiran Trump cuba mengawal Albanese daripada bersuara disebabkan oleh ‘idea atau mesej yang dizahirkan’.
- “Albanese tidak melakukan apa-apa selain daripada bersuara. Adalah tidak dipertikaikan bahawa saranan beliau tidak mempunyai kesan mengikat terhadap tindakan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ia tidak lebih daripada sekadar pendapat beliau,” tulis Hakim Leon dalam pendapat memorandumnya.
COLUMBIA – Hakim persekutuan telah menghalang buat sementara waktu sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap Francesca Albanese, seorang pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Palestin.
Pelapor Khas Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu dikenakan sekatan pada Julai 2025 selepas beliau secara terbuka mengkritik dasar Washington terhadap perang genosid Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Memetik laporan Aljazeera, suami dan anak perempuan Albanese memfailkan saman pada Februari terhadap pentadbiran Presiden AS, Donald Trump berhubung sekatan tersebut.
Saman itu berhujah bahawa sekatan tersebut merupakan usaha untuk menghukum Albanese kerana menarik perhatian terhadap pencabulan hak asasi oleh Israel terhadap rakyat Palestin.
Dalam perintah mahkamah pada Rabu, Hakim Daerah AS, Richard Leon memberikan injunksi awal terhadap sekatan tersebut.
Beliau mendapati bahawa pentadbiran Trump cuba mengawal Albanese daripada bersuara disebabkan oleh ‘idea atau mesej yang dizahirkan’.
“Albanese tidak melakukan apa-apa selain daripada bersuara,” tulis Hakim Leon dalam pendapat memorandumnya.
“Adalah tidak dipertikaikan bahawa saranan beliau tidak mempunyai kesan mengikat terhadap tindakan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ia tidak lebih daripada sekadar pendapat beliau.”
Albanese, yang sebelum ini menyatakan bahawa sekatan AS tersebut ‘dirancang untuk melemahkan misinya’ ketika ia mula-mula dikenakan, meraikan keputusan tersebut di media sosial.
“Terima kasih kepada anak perempuan dan suami saya kerana tampil mempertahankan saya, serta semua pihak yang telah membantu setakat ini. “Bersama-sama kita adalah satu,” kata Albanese dalam satu kenyataan di X.
Sejak tahun 2022, Albanese, yang merupakan seorang sarjana undang-undang, telah berkhidmat sebagai pelapor khas bagi Tebing Barat dan Gaza, dengan memantau pencabulan hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin.
Majlis Hak Asasi Manusia PBB memilih beliau untuk memegang jawatan tersebut.
Pentadbiran Trump mengenakan sekatan ke atas beliau pada Julai lalu, dengan melabelkan beliau sebagai ‘tidak layak’ untuk peranannya serta menuduh beliau melakukan ‘aktiviti berat sebelah dan berniat jahat’ terhadap AS dan sekutunya, Israel.
Albanese juga telah menyarankan agar ICC meneruskan pendakwaan jenayah perang terhadap warga Israel dan AS.
Sekatan tersebut menghalang peguam dan pakar hak asasi manusia warga Itali itu daripada memasuki AS, menggunakan bank dan sistem pembayaran negara tersebut serta menghalang sesiapa sahaja di AS daripada melakukan urusan perniagaan dengan beliau.
Suami Albanese dan anak perempuannya, yang merupakan warga AS, mendakwa dalam saman tersebut bahawa sekatan itu secara berkesan telah ‘menyekat akses perbankan beliau dan menjadikannya hampir mustahil untuk memenuhi keperluan kehidupan seharian.’ – The Merdeka Times