Terkini
‘Dakwaan wanita transgender ada potensi hamil tidak masuk akal’
- Kenyataan mengejutkan itu dikeluarkan Pesuruhjaya Diskriminasi Jantina, Dr. Anna Cody semasa sesi pendengaran Senat Australia ketika menjawab persoalan berhubung tafsiran undang-undang perlindungan membabitkan isu kehamilan oleh Senator Michaelia Cash.
- “Jika seseorang dilayan secara tidak adil atas dasar kehamilan atau potensi kehamilan, maka itu adalah diskriminasi yang menyalahi undang-undang atas dasar kehamilan,” jelas Dr. Cody sambil menegaskan bahawa fokus undang-undang tersebut adalah mengenai layanan tidak sah oleh pihak majikan.
- Bagaimanapun, hujah tersebut dipersoalkan oleh Cash yang menyifatkan tafsiran berkenaan sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.
CANBERRA – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Australia mencetuskan kontroversi apabila menyatakan bahawa lelaki yang mentakrif diri sebagai wanita (wanita transgender) boleh mendakwa didiskriminasikan atas dasar ‘potensi kehamilan’.
Kenyataan mengejutkan tersebut dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Diskriminasi Jantina, Dr. Anna Cody semasa sesi pendengaran Senat Australia ketika menjawab persoalan berhubung tafsiran undang-undang perlindungan membabitkan isu kehamilan oleh Senator Michaelia Cash.
Dalam satu video yang menyiarkan sesi itu, Cody menjelaskan bahawa skop perlindungan undang-undang kehamilan bukan sahaja merangkumi isu kehamilan sedia ada, malah melibatkan aspek ‘potensi kehamilan’.
“Jika seseorang dilayan secara tidak adil atas dasar kehamilan atau potensi kehamilan, maka itu adalah diskriminasi yang menyalahi undang-undang atas dasar kehamilan,” jelas Cody sambil menegaskan bahawa fokus undang-undang tersebut adalah mengenai layanan tidak sah oleh pihak majikan.
Bagaimanapun, hujah tersebut dipersoalkan oleh Cash yang menyifatkan tafsiran berkenaan sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.
Beliau menegaskan bahawa struktur biologi seorang lelaki tidak memungkinkannya untuk hamil sekali gus mempersoalkan bagaimana golongan tersebut boleh dikaitkan dengan istilah berkenaan.
“Seorang lelaki biologi tidak boleh hamil. Tetapi jika mereka tidak boleh hamil, bagaimana pula mereka boleh menjadi berpotensi hamil?” soal Senator Cash.
Cody kemudiannya memperincikan bahawa perlindungan undang-undang tersebut tidak terpakai kepada lelaki biologi secara umum yang memohon sesuatu jawatan.
Sebaliknya, beliau menjelaskan situasi tersebut khusus buat individu wanita transgender yang mungkin dianggap atau diandaikan oleh majikan mempunyai keupayaan untuk hamil.
“Seorang wanita trans mungkin diandaikan sebagai hamil atau mampu untuk hamil,” kata Cody.
Cash membalas penjelasan tersebut dengan menyatakan bahawa kelonggaran tafsiran itu tidak masuk akal memandangkan kedua-dua kelompok tersebut adalah lelaki biologi.
Beliau turut menyindir jawapan berkenaan dengan mengaitkannya dengan subjek sains di sekolah.
“Jika saya salah, saya perlu kembali ke sekolah kerana saya terlepas pelajaran itu dalam subjek biologi. Jadi, apa yang menghalang seorang lelaki daripada memakai pakaian wanita, berjalan masuk, dan menuntut perlindungan ini?” kata Cash. – The Merdeka Times