Connect with us

Terkini

Syed Saddiq dipenjara 7 tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun, dua kali sebatan serta didenda RM10 juta selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana ARMADA Bersatu.

Wartawan TMT

Published

on

Syed Saddiq dipenjara 7 tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta
Foto: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
  • Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diperintah oleh Mahkamah Tinggi jalani hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana ARMADA Bersatu.
  • Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid mengenakan hukuman itu selepas mendengar hujahan mitigasi peguam bela Haijan Omar dan Gobind Singh Deo bagi diringankan hukuman dan hujahan pemberatan hukuman oleh pihak pendakwaan.
  • Beliau membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk tangguhkan hukuman penjara dan denda serta sebatan sementara rayuan dikemukakan di Mahkamah Rayuan dan mengarahkan syarat jaminan dikekalkan.

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun, dua kali sebatan serta didenda RM10 juta selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana ARMADA Bersatu.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid mengenakan hukuman itu selepas mendengar hujahan mitigasi peguam bela Haijan Omar dan Gobind Singh Deo bagi diringankan hukuman dan hujahan pemberatan hukuman oleh pihak pendakwaan.

Bagi kesalahan bersubahat pecah amanah wang ARMADA berjumlah RM1 juta, Azhar memerintahkan Syed Saddiq dipenjara tiga tahun dan satu sebatan manakala bagi tuduhan salah guna wang RM120,000 pula, beliau diperintahkan dihukum penjara dua tahun dan juga satu sebatan.

Bagi satu tuduhan pertama pengubahan wang haram pula, Syed Saddiq diperintahkan menjalani hukuman penjara lima tahun dan denda RM5 juta dan tambahan dua tahun penjara jika gagal bayar denda.

Sementara itu, bagi tuduhan kedua pengubahan wang haram, dia perlu menjalani hukuman penjara selama dua tahun dan didenda RM5 juta serta tambahan dua tahun penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Azhar bagaimanapun memerintahkan supaya kedua-dua hukuman penjara bagi kesalahan pengubahan wang haram terbabit, supaya berjalan secara serentak.

Beliau turut membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda serta sebatan sementara rayuan dikemukakan di Mahkamah Rayuan dan mengarahkan syarat jaminan dikekalkan.

Advertisement

Syarat jaminan yang dikenakan terhadap Syed Saddiq sebelum ini ialah dia dikenakan wang 

jaminan sebanyak RM330,000 bagi semua pertuduhan dan dikehendaki menyerahkan pasport sehingga kes selesai serta melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran, sebulan sekali.

Syed Saddiq menyesal, akur dan muhasabah diri dengan keputusan mahkamah

Terdahulu, peguam Syed Saddiq dalam hujahan bagi diringankan hukuman berkata, bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu menyesal, akur dan muhasabah diri dengan keputusan Mahkamah Tinggi mendapatinya bersalah empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana ARMADA Bersatu.

Peguam bela Haijan Omar memohon supaya anak guamnya itu dikenakan hukuman ringan dalam bentuk penjara atau denda sahaja.

Haijan berkata, Syed Saddiq yang belum berkahwin adalah anak bongsu empat beradik dan perlu juga menjaga ibu dan bapanya, masing-masing berusia 66 dan 62 tahun yang juga pesara kerajaan.

Advertisement

Ibu-bapanya turut hadir mahkamah hari ini, di mana bapanya baru sahaja menjalani pembedahan katarak mata manakala ibunya menghidap kanser payudara.

Peguam itu berkata, mahkamah juga perlu menimbangkan jasa anak guamnya yang sebelum ini Menteri Belia dan Sukan sejak 2018 hingga 2020.

“Ketika beliau dilantik menjadi menteri, beliau dikenali di persada antarabangsa sebagai seorang menteri yang paling muda di Asia.

“Ketika berkhidmat, beliau diberi tugas mengetuai pindaan perlembagaan bersejarah di negara iaitu Undi18, yang membuka jalan kepada lebih tiga juta pemuda dan pemudi untuk mengundi bermula Pilihan Raya Umum ke-15.

“Antara sumbangan penting beliau ialah menaikkan elaun ‘internship’ dari RM300 ke RM900 selain melonjak nama Malaysia dalam bidang e-Sport.” katanya.

Haijan berkata, sebagai Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq juga melancarkan beberapa usaha untuk mendapatkan dana bagi menyumbang komputer riba dan tablet kepada beribu-ribu pelajar tidak berkemampuan di kawasan parlimennya.

Advertisement

Seorang lagi peguam bela Syed Saddiq, Gobind Singh Deo dalam hujahannya, memohon mahkamah menimbangkan faktor mitigasi di mana semua pihak menerima bahawa Syed Saddiq tidak menggunakan duit untuk tujuan peribadi.

Gobind berkata, bukti menunjukkan wang itu digunakan untuk membantu orang ramai ketika pandemik COVID-19 dan tujuan kebajikan lain.

“Kami juga memohon mahkamah menimbangkan pembelaan tertuduh sebelum menjatuhkan hukuman,” katanya.

Pendakwaan doa Syed Saddiq jadi lebih baik selepas jalani hukuman

Sementara itu, pendakwaan memohon hakim Mahkamah Tinggi mengambil kira faktor kepentingan awam sebelum menjatuhkan hukuman ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang didapati bersalah terhadap empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana ARMADA Bersatu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika mengemukakan hujahan pemberatan hukuman terhadap Syed Saddiq, berkata ia adalah kerana banyak kes membabitkan ahli politik yang didakwa di mahkamah dan masyarakat mahukan hukuman berbentuk deterrent (pencegahan) dijatuhkan kepada pesalah.

Advertisement

“Dalam kes ini, ahli politik diberi amanah tetapi mengkhianatinya. Tidak kira sama ada seseorang itu berumur 30 tahun atau 50 tahun, jika diberi amanah jangan khianatinya.

“Oleh itu, mahkamah perlu memberi hukuman berbentuk pencegahan supaya ahli parlimen lain yang ingin melakukan kesalahan sama akan berfikir dua tiga kali.

“Tertuduh juga tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan wang yang ada dalam akaun. Saya berdoa apabila tertuduh menjalani hukuman penjara itu, beliau akan menjadi seorang anak yang baik, ahli parlimen yang baik dan masyarakat yang baik. Beliau masih muda dan boleh berubah,” katanya.

Pendakwaan minta jel hingga 4 tahun setiap pertuduhan

Terdahulu, Wan Shaharuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara setahun hingga empat tahun bagi setiap pertuduhan selain memohon hukuman berjalan secara berasingan.

Bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, pendakwaan pula mencadangkan Syed Saddiq didenda RM2 juta dan tiga hingga lima sebatan, bagi kesalahan salah guna harta, denda maksimum RM500,000 dengan lima sebatan manakala dua kesalahan pengubahan wang haram, masing-masing didenda RM2 juta.

Advertisement

Sumber: Berita Harian

Author

Terkini

Kibar bendera Israel, lelaki dipenjara enam bulan

Seorang lelaki dipenjara enam bulan dan didenda RM500 di Mahkamah Majistret di sini, tadi, atas kesalahan mempamer bendera Israel, Oktober lalu.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Tertuduh, Harma Zulfika Deraman (baju kelabu).
  • Seorang lelaki dipenjara enam bulan dan didenda RM500 di Mahkamah Majistret di sini, tadi, atas kesalahan mempamer bendera Israel, Oktober lalu di mana hukuman itu akan bermula selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara lima tahun mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
  • Tertuduh, Harma Zulfika Deraman, 30, turut berdepan hukuman tambahan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
  • Majistret Zur Azureen Zainalkefli membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
  • Tertuduh didakwa mempamer bendera Israel di tempat awam iaitu bertentangan dengan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.
  • Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai aksesori kenderaan di Kampung Padang Lebam, Bukit Payung, di sini jam 1 petang, 19 Oktober lalu.

Marang: Seorang lelaki dipenjara enam bulan dan didenda RM500 di Mahkamah Majistret di sini, tadi, atas kesalahan mempamer bendera Israel, Oktober lalu.

Tertuduh, Harma Zulfika Deraman, 30, turut berdepan hukuman tambahan penjara tiga bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, hukuman itu akan bermula selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara lima tahun mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Majistret Zur Azureen Zainalkefli membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mempamer bendera Israel di tempat awam iaitu bertentangan dengan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai aksesori kenderaan di Kampung Padang Lebam, Bukit Payung, di sini jam 1 petang, 19 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 8(1)(i) akta yang sama.

Advertisement

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superintendan Othman Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki menggantung dan mengibar bendera Israel di sebuah premis sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Turut tular di media sosial beberapa keping gambar menunjukkan bendera rejim Zionis itu digantung dengan tertuduh turut memiliki rekod lampau berkaitan kes dadah.

Tertuduh kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan dadah mengikut Seksyen 39C ADB 1952 yang bermula sebulan lalu serta turut dikenakan satu sebatan.

Sumber: Harian Metro

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending