Connect with us

Terkini

Minggu Solidariti Palestin dapat sambutan ibu bapa pelajar

Minggu Solidariti Palestin yang diadakan membabitkan 148 buah sekolah rendah dan menengah di daerah ini dianjurkan dengan tertib dan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Minggu Solidariti Palestin dapat sambutan ibu bapa pelajar
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Minggu Solidariti Palestin membabitkan 148 buah sekolah rendah dan menengah di daerah ini dianjurkan dengan tertib dan ikut garis panduan ditetapkan.
  • Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (KPIBK) Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar berkata, program diadakan sejak Ahad lalu mendapat sambutan baik daripada golongan ibu bapa.
  • Pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau bantahan daripada pihak atau golongan ibu bapa pelajar tentang program anjuran KPM itu.
  • “Ibu bapa pelajar bukan sahaja menyambut baik Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan hingga Jumaat ini, malah memberi komitmen cukup baik bagi memastikan kelancaran majlis. Malah, ada ibu bapa yang turut memberi sumbangan bagi tabung kemanusiaan yang turut disediakan pihak sekolah,” katanya.

JOHOR BAHRU: Minggu Solidariti Palestin yang diadakan membabitkan 148 buah sekolah rendah dan menengah di daerah ini dianjurkan dengan tertib dan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (KPIBK) Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar berkata, program yang diadakan sejak Ahad lalu mendapat sambutan baik daripada golongan ibu bapa.

Pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau bantahan daripada pihak atau golongan ibu bapa pelajar tentang program anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) itu.

“Ibu bapa pelajar bukan sahaja menyambut baik Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan hingga Jumaat ini, malah memberi komitmen cukup baik bagi memastikan kelancaran majlis. Malah, ada ibu bapa yang turut memberi sumbangan bagi tabung kemanusiaan yang turut disediakan pihak sekolah,” katanya.

Yahya berkata, penganjuran Minggu Solidariti Palestin itu amat bermakna dalam menerapkan nilai kemanusiaan sejagat, perpaduan, keharmonian dan insaniah dalam kalangan pelajar.

“Kami menyokong sepenuhnya Minggu Solidariti Palestin, cuma unsur budaya perang seperti mengangkat replika senjata, itu tidak boleh diterima seperti yang ditetapkan KPM.

Sebelum ini, DAP dilaporkan menggesa KPM mengambil tindakan tatatertib terhadap penganjur yang mempamerkan unsur kekerasan dan bersenjata di sekolah yang dikatakan terbabit dalam Minggu Solidariti Palestin.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, DAP menentang sebarang bentuk keganasan khususnya di peringkat sekolah membabitkan pelajar.

Baru-baru ini, KPM dilaporkan akan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober hingga 3 November bertujuan mendidik nilai-nilai manusiawi, termasuk hak asasi manusia dan sifat ihsan dalam kalangan pelajar.

Selain sekolah, arahan itu juga membabitkan kolej vokasional, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.

Sumber: Utusan Malaysia

Author