Terkini
Rakam dan muat naik gambar, video dan audio kanak-kanak perlu kebenaran ibu bapa
Semua institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mendapatkan surat kebenaran ibu bapa atau penjaga sebelum merakam gambar, video dan audio serta memuat naik ke platform media sosial.

- Semua institusi di bawah KPM perlu mendapatkan surat kebenaran ibu bapa atau penjaga sebelum merakam gambar, video dan audio serta memuat naik ke platform media sosial.
- Menterinya, Fadhlina Sidek berkata KPM lebih awal mengeluarkan garis panduan itu pada 21 Ogos lalu untuk menguruskan isu gangguan seksual dan memberi perlindungan kepada keselamatan kanak-kanak terutama di sekolah.
- “Proses kebenaran daripada ibu bapa (surat akuan) diperlukan sekiranya ada program atau kandungan pendidikan yang membabitkan kanak-kanak,” katanya dipetik media tempatan pada Selasa selepas merasmikan pelancaran Hab STEM di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tanjong Karang.
KUALA LUMPUR — Semua institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mendapatkan surat kebenaran ibu bapa atau penjaga sebelum merakam gambar, video dan audio serta memuat naik ke platform media sosial.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata KPM lebih awal mengeluarkan garis panduan itu pada 21 Ogos lalu untuk menguruskan isu gangguan seksual dan memberi perlindungan kepada keselamatan kanak-kanak terutama di sekolah.
“Dalam garis panduan ini, kita sudah mengingatkan guru berkaitan dengan kebenaran yang diberikan ibu bapa apabila ingin membuat content (kandungan).
“Kita sangat mengambil berat mengenai isu kebenaran ini kerana kita tidak mahu ia menjadi isu besar, kerana ada kaitan isu keselamatan khususnya kanak-kanak (ketika berada di sekolah).
“Proses kebenaran daripada ibu bapa (surat akuan) diperlukan sekiranya ada program atau kandungan pendidikan yang membabitkan kanak-kanak,” katanya dipetik media tempatan pada Selasa selepas merasmikan pelancaran Hab STEM di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tanjong Karang.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada 6 September lalu dilaporkan berkata guru di institusi pendidikan tidak terkecuali daripada mematuhi undang-undang, termasuk tidak menghasilkan kandungan di platform media sosial melibatkan kanak-kanak.
Fahmi berkata KPM perlu memastikan tenaga pengajarnya mematuhi Akta Kanak-Kanak 2001 apabila mahu menghasilkan kandungan untuk dimuat naik dalam media sosial.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching juga dilaporkan meminta ibu bapa dan penjaga kanak-kanak membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya rakaman gambar dan video anak-anak mereka dijadikan kandungan media sosial tanpa kebenaran.
Nie Ching berkata MCMC mempunyai kuasa untuk menurunkan kandungan media sosial melibatkan kanak-kanak yang dimuat naik tanpa kebenaran ibu bapa dan penjaga mereka bagi memastikan tiada mana-mana pihak dieksploitasi demi kepentingan peribadi.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata garis panduan itu bukan saja perlu dipatuhi guru malah semua pihak supaya lebih berhati-hati apabila menghasilkan kandungan yang membabitkan pelajar dan kanak-kanak.
Pada 10 September lalu, seorang pemandu bas yang memuat naik rakaman video penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’, didakwa di Mahkamah Sesyen Muar.
Lelaki berumur 24 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. — The Merdeka Times
