Connect with us

Terkini

KPDN beri amaran tegas kepada pihak manipulasi bekalan beras 

Mana-mana individu atau syarikat dalam rantaian bekalan beras putih tempatan yang dikenal pasti memanipulasi bekalan barangan itu boleh dikenakan tindakan perundangan mengikut Akta Perihal Dagangan 2001 (Akta 703).

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

KPDN beri amaran tegas kepada pihak manipulasi bekalan beras 
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Mana-mana individu atau syarikat dalam rantaian bekalan beras putih tempatan yang dikenal pasti memanipulasi bekalan barangan itu boleh dikenakan tindakan perundangan mengikut Akta Perihal Dagangan 2001 (Akta 703).
  • Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, memberi amaran supaya golongan berkenaan sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil ke atas mereka.
  • “Mana-mana pihak didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama boleh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta 730 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan, jika sabit kesalahan.
  • “Seksyen berkenaan turut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM250,000 bagi syarikat, jika sabit kesalahan sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
  • BH semalam melaporkan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengesyaki wujud tindakan memanipulasi bekalan beras putih tempatan dengan menukarkan bungkusannya kepada kampit beras import.

KUALA LUMPUR: Mana-mana individu atau syarikat dalam rantaian bekalan beras putih tempatan yang dikenal pasti memanipulasi bekalan barangan itu boleh dikenakan tindakan perundangan mengikut Akta Perihal Dagangan 2001 (Akta 703).

Justeru, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, memberi amaran supaya golongan berkenaan sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil ke atas mereka.

“Mana-mana pihak didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama boleh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta 730 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan, jika sabit kesalahan.

“Seksyen berkenaan turut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM250,000 bagi syarikat, jika sabit kesalahan sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

BH semalam melaporkan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengesyaki wujud tindakan memanipulasi bekalan beras putih tempatan dengan menukarkan bungkusannya kepada kampit beras import.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, dipetik berkata tindakan itu dipercayai dilakukan segelintir pihak tidak bertanggungjawab demi meraih keuntungan mudah.

Sebelum ini, BH mendedahkan segelintir pemborong beras didakwa cuba memanipulasi harga kawalan ditetapkan kerajaan dengan menukar kampit beras tempatan kepada kampit beras import kerana mahu mengaut keuntungan besar.

Taktik itu dipercayai dilakukan kerana harga beras import tidak dikawal kerajaan, sebaliknya hanya diapungkan, manakala harga beras tempatan ditetapkan pada RM26 untuk beg 10 kilogram (kg).

Sementara itu, Fuziah berkata, penguat kuasa kementeriannya dengan kerjasama Kawalselia Padi dan Beras (KPB) sudah melancarkan Ops Jamin khusus bagi menangani isu berbangkit membabitkan bekalan beras di negara ini.

Katanya, kerjasama bersepadu itu bertujuan meningkatkan kapasiti penguatkuasaan dan pemantauan di seluruh negara bagi memastikan pengguna sentiasa mendapat keterjaminan bekalan beras mencukupi dengan harga stabil serta terkawal.

Beliau berkata, Ops Jamin juga berperanan untuk mengenal pasti keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat pemborong hingga peruncit.

“KPDN memberi jaminan akan menggiatkan pemeriksaan di bawah Ops Jamin bagi membanteras isu penukaran label kampit beras yang dikhuatiri berlaku susulan pelarasan harga baharu bagi beras putih import (BPI).

“Kita juga memberi amaran tegas kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit supaya sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, sebanyak 1,053 pemeriksaan di bawah Ops Jamin sudah dilaksanakan, membabitkan pemeriksaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit di seluruh negara, sehingga kelmarin.

“Sejumlah 47 aduan yang diterima membabitkan aduan harga, bekalan dan lain-lain berkaitan beras sudah disalurkan kepada KPKM untuk tindakan lanjut.

“Mana-mana individu melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalselia Padi dan Beras (Akta 522) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM25,000, penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya bagi orang persendirian, jika sabit kesalahan.

“Seksyen sama turut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 bagi mana-mana syarikat, jika disabitkan bersalah,” katanya.

Sebarang maklumat mengenai isu kekurangan bekalan atau kenaikan harga beras boleh disalurkan ke hotline Ibu Pejabat KPB Putrajaya di talian 03-8870 1751/1748/1183 atau WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *