Antarabangsa
Serangan terhadap Kristian meningkat di bawah pemerintahan berhaluan kanan Israel
Ketua Gereja Roman Katolik di Israel memberi amaran yang kebangkitan kerajaan sayap kanan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memburukkan kehidupan penganut Kristian di tempat kelahiran agama itu, demikian lapor ABC News.

- Ketua Gereja Roman Katolik di Israel, Uskup Pierbattista Pizzaballa memberi amaran yang kebangkitan kerajaan sayap kanan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memburukkan kehidupan orang Kristian.
- Perkara ini dilihat tidak selari dengan komitmen Israel terhadap kebebasan beribadat, yang termaktub dalam deklarasi penubuhannya 75 tahun lalu.
- Penganut Kristian merasakan pihak berkuasa tidak melindungi tapak mereka daripada serangan dan ketegangan meningkat selepas serbuan polis Israel di perkarangan suci Masjid Al-Aqsa mencetuskan kemarahan di kalangan umat Islam dan konfrontasi serantau minggu lalu.
Ketua Gereja Roman Katolik di Israel memberi amaran yang kebangkitan kerajaan sayap kanan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memburukkan kehidupan penganut Kristian di tempat kelahiran agama itu, demikian lapor ABC News.
Uskup Pierbattista Pizzaballa yang berpengaruh dan dilantik Vatican memberitahu The Associated Press bagaimana serangan terhadap komuniti Kristian berusia 2,000 tahun di rantau itu semakin meningkat dengan kerajaan sayap kanan Israel mengganggu paderi dan merosakkan harta agama pada kadar lebih pantas.
“Kekerapan serangan ini, pencerobohan, telah menjadi sesuatu yang baru,” kata Uskup Pizzaballa.
Kebimbangan Uskup Pizzaballa dilihat tidak senada dengan komitmen Israel terhadap kebebasan beribadat, yang termaktub dalam deklarasi penubuhannya 75 tahun lalu.
Kerajaan Israel menegaskan ia mengutamakan kebebasan beragama dan hubungan dengan gereja-gereja, yang mempunyai hubungan kuat di luar negara.
“Komitmen Israel terhadap kebebasan beragama adalah penting bagi kami selama-lamanya,” kata Pengarah Jabatan Agama Dunia di Kementerian Luar Israel, Tania Berg-Rafaeli.
“Ia berlaku untuk semua agama dan semua minoriti yang mempunyai akses percuma ke tapak suci”.
Bagaimanapun, penganut Kristian merasakan pihak berkuasa tidak melindungi tapak mereka daripada serangan dan ketegangan meningkat selepas serbuan polis Israel di perkarangan suci Masjid Al-Aqsa mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam dan konfrontasi serantau minggu lalu.
Pada Mac lalu, sepasang warga Israel telah menyerang seorang paderi dengan batang besi sebelum ditangkap.
Pada Februari, seorang Yahudi Amerika menghempas patung Jesus setinggi 10 kaki ke lantai, memukul bahagian mukanya dengan tukul berkali-kali di Gereja Flagellation di Via Dolorosa.
Warga gereja Armenia menemui graffiti berunsur kebencian pada dinding biara mereka dan paderi mengatakan mereka diintai, diludah dan dipukul semasa mereka berjalan ke gereja.
Pada Januari lalu, penganut Yahudi memusnahkan 30 salib di tanah perkuburan Kristian yang bersejarah.
Demikian dan banyak lagi serangan terhadap agama Kristian yang dilaporkan semakin meningkat di negara itu.
Sumber: ABC News
